Tuesday, February 10, 2009

Suara Rasa Dari Jendela Seni

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Segala puji bagi-Mu ya Allah!

Buat renungan sahabatku di medan seni, jauh di mata dekat di hati. Buat tilikan taulanku yang rendah diri dan baik hati – bacalah alam ini, sebagaimana Firman Tuhanmu.

Pandanglah alam ini dari rasa jendela seni. Nescaya berkatalah hati pada diri sendiri betapa indahnya alam ini, betapa rapinya ciptaan Ilahi, betapa agungnya ALLAH sendiri. Rupanya yang dicari ada di sisi, tidak ke sana, tidak ke sini. Terpegun kagum jadi nanar. Tak terluahkan oleh lidah ini, tak tergambarkan akal ini, tak terkarangkan tangan ini. Hanya yang berbakat sahaja sanggup menyatakan rasa ini, mengikut ke mana bakatnya jatuh, menurut pula ke mana rasanya tumpah. Dan hanya yang sanggup itulah itulah yang berjiwa seni, hanya yang sanggup itulah anugerah diberi.

Berdebur ombak di pantai, hijau tumbuhan di rimba, berdesir angin di angkasa, subur tanah di bumi, merah mentari di ufuk, terang rembulan di langit, siapakah pula yang sanggup merasa sanggup pula menyata. Dan kalau anda seorang pengarang, tertumpahlah dakwat hitam di atas kertas putih. Dan jikalau anda seorang penyair, terangkumlah kata-kata indah di ruang kasa. Dan andainya anda seorang pelukis, tercalitlah campuran warna di kanvas yang tak terlukiskan orang kebanyakan. Tak tertahan, anugerah itu datang mencurah-curah laksana air kali mengalir ke lembah, tanpa disekat tanpa dibatas. Bukan paksaan, bukan keluhan tetapi itulah dipanggil orang – ilham.

Dan terlihatlah oleh kita pada hari ini, manusia sangat asyik hatinya. Lalai pada Tuhan, mengisi hati nurani dan sedap telinga dengan irama dan hiburan yang bermacam-macam. Tegaklah bulu roma ini, berpinarlah mata ini, hibalah hati ini melihatkan kejadian itu. Kadang-kadang berubah peribadi dan cara pakainya baik lelaki mahupun perempuan, baik tua ataupun muda, tak mengira usia dan tak mengenal siapa, hilang rasa malunya – pada masyarakat dan Tuhan. Tatkala itu, nafsu dan syaitanlah yang menjadi raja. Akan karamlah sebuah jiwa – rosak. Akan karatlah rasa hati – gelap dan akan hapuslah rasa seni – kosong.

Suara Ilham
Kemudian, terbit pula dari sana sekumpulan anak-anak muda kita, berperibadi gagah, berpandangan jauh dan menjadi syiar pula buat mengisi kekosongan ini, ilham dari ALLAH barangkali. Lahir mereka ke tengah masyarakat laksana sekumpulan bangau putih di tengah gagak-gagak hitam. Kadang-kadang, sanjungan jadi santapan. Kadang-kadang caci hamun jadi makanan. Teguhkan hati, pantang mundur!

Tercetus dari ilham, sanggup pula menyatakan pada khalayak, buat mereka yang lalai. Dari rasa hati yang bersih murni, dari momentum ilham tadi – minta diluahkan, mereka menyatakan rasa itu dengan suara-suara harmoni, dengan kata-kata yang menambat hati pendengar kepada kemuliaan akhlak, keagungan Rasul dan kebesaran Ilahi.

Nyatalah kepada kita, mereka itu dianugerah ALLAH, ilham yang seni. Padahal mereka sendiri, sebenarnya ilham dari rasa seni tadi. Demikian lahirlah suara-suara harmoni diberi nama – Raihan, diberi nama – Hijjaz, diberi nama – Rabbani dan banyak lagi buat menyemarakkan lagi alam ini dengan suara-suara indah memuji-muja Ilahi.



Suara rasa dari jendela seni – suatu ilham, suatu hiburan dan suatu persembahan semacam syiar yang mengutamakan kekuatan mesej, keutuhan peribadi dan keharmonian irama lebih dari penggunaan alat-alat muzik semata. Bukan akal jadi sasaran, tetapi jiwa itulah. Bukan minda jadi tumpuan, tetapi hati itulah. Maju terus pemuda Rabbani, maju terus sahabat Mujahid, maju terus sahabat Amal. Seruanku – moga-moga ALLAH memberkati. Moga-moga cita dan cinta kalian di sanalah bersemadi.

Ilham Rasa,
Abuyon
Keramat Wangsa, Isnin, 13 Oktober 1997
3.46 pagi




Entry di atas adalah antara tulisan saya untuk cuba-cuba menulis, yang dicetuskan oleh kuatnya pengaruh Buya Hamka dalam diri ini. Beliaulah sumber inspirasi saya. Pernah pada satu ketika, saya obses mengumpul buku-buku beliau, saya selongkar kedai-kedai buku di KL, Pustaka Antara antara yang masih saya ingat hingga balik kampung di Terengganu. Alhamdulillah, banyak bukunya menjadi koleksi saya termasuklah setengah dari tafsirnya, Al-Azhar.

Tulisan ini saya dedikasikan khas kepada Ustaz Amal kerana beliau adalah sebagaimana yang saya nukilkan di atas. Yang utamanya, kerana beliau istiqamah dengan perjuangannya, dengan konsep solonya. Sedangkan solo yang lain, hilang dan ghaib. Ustaz, pada masa tersebut rasanya ustaz bersama Raihan. Tabik ustaz!

Tulisan ini juga saya tujukan kepada kawan-kawan yang berjiwa seni yang terkandung di dalamnya roh Islamiah samada penyairnya, penulisnya, pelukisnya, penasyidnya dan lainnya.

Dari tarikan nafas,
@buyon

4 comments:

  1. Raja Iblis, cuma..
    ada di..
    fikriyah, mata, telinga..
    perasaan
    'Insan', yang besifat hayat.

    Raja Iblis.. tiada
    pada' Insan..
    buta, kelu, tuli..

    Maka..
    matikan dirimu,
    sebelum kamu..
    'DIMATIKAN'.

    ReplyDelete
  2. Subhanallah, dalam maknanya tu, seperti pisau menikam di hati. Soalan, apa yang nak dimatikan tu ...

    ReplyDelete
  3. Saya pun suka baca karya HAMKA..Terutama buku yg judulnya "Falsafah Hidup"..ada suggestion lain?..

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah, banyak karya beliau dalam koleksi saya. Pandangan hidup muslim, Peribadi, Falsafah Hidup sebagai saudara, Tasauf Moden, Lembaga Hidup, Lembaga Budi, Kenang-kenangan Hidup (Biografi yang ditulis sendiri oleh Hamka), Tafsir Al-Azharnya dan ada lagi. Novelnya, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah,Tuan Direktor dan lainnya.

    http://www.hamkacenter.com/hamka/biografi.html

    ReplyDelete