Wednesday, August 12, 2009

Menulis Sampai Ke Syurga [1]

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Dengan terledaknya blog, adalah revolusi
penulisan


Dulu, saya pernah bercita-cita menjadi seorang pujangga, dalam ertinya yang luas, mahu menjadi seorang pengarang, dalam ertinya yang sederhana dan mahu menjadi penulis, dalam ertinya yang kecil. Dan sekarang, jika saya mengukur diri sendiri, dapatlah dikatakan saya berjaya mencapai cita-cita tersebut dalam ertinya yang kecil itu. Bolehlah dikatakan sebagai penulis menurut timbangan orang sekarang, kerana saya menulis di alam maya ini menggunakan medium web log atau disingkatkan orang menjadi lebih mudah dan popular iaitu blog.



Dan di dunia maya ini, para penulis blog biar apapun genrenya lebih dikenali dengan nama blogger atau kalau kita pindahkan ia ke dalam bahasa ibunda, pemblog. Namun istilah Inggerisnya lebih diterima oleh minda dan lidah kita, sebab ia universal dan lebih glamour pula. [O ya boleh baca tulisan lama saya, yang kalamnya bukan pena tetapi satu mesin yang sangat berguna, bukan komputer]

Justeru, apakah yang tuan tulis atau penulis yang bagaimanakah tuan. Adapun saya, tuan bacalah sendiri, apa motif dan genre tulisan. Ah, tuan usahlah bertanya, jadi segan pula. Saya ini menulis mengikut gerak Tuhan. Diberi ilham, saya menulis terus-terus sampai malam sampai ke siang, syukur alhamdulillah. Tak diberi ilham, saya diam.

Kalau kita tinjau dan perhatikan, menulis blog atau blogger seolah-olah menjadi satu karier pula dan menjadi satu kemestian dan kemudahan jika kita mahu dianggap orang yang mengikuti zaman.

Dan kalau kita rajin menjelajah dunia blog ini, terlihatlah oleh kita warna dan suasana yang pelbagai dengan variasi gaya, motif, bentuk, kaedah dan jenis tulisannya. Yang kadang-kadang tak terfikirkan pula oleh akal kita yang sederhana ini. Setengahnya, kagum kita pada isi dan cara tulisan. Setengahnya, ralit kita pada grafik, rekabentuk dan segala gadjet widgetan. Setengahnya pula, terpana pula kita dengan motif dan tujuan penulisan.

Sungguh, dunia penulisan telah berubah, sesuai dengan zaman dan bergerak menurut zamannya pula. Zaman ini, dengan terledaknya blog adalah revolusi. Dengan ini, saya isytiharkan sendiri, zaman ini adalah revolusi penulisan.
Orang tidak lagi merasa canggung untuk menulis. Semua orang mahu menulis. Siapa sahaja cuba bilang; pelajar sekolah, mahasiswa, pensyarah, doktor, guru, ustaz, surirumah, penganggur, peniaga dan pembeli, pengarah dan kuli, pengurus, politikus, artis, pelakon dan penyanyi, pemuzik, chef, wedding fotografer, tukang-tukang, menteri, usahawan dan angkasawan sekalipun.





Bukan sekadar tidak canggung menulis, bahkan orang tidak lagi merasa ralat menulis apa saja tajuk, cerita, motif dan tujuan. Ikut apa saja yang keluar dari lubuk hati dan kotak minda, turut apa saja yang mengalir dari telaga hati dan tasik minda. Entah betul entah tidak fakta dan isi, tidaklah orang selidiki dan peduli lagi, meski ada yang sampai tuduh-menuduh, saling memfitnah dan berbalah-balah sesama sendiri, demi mempertahankan diri. Banyak yang tercatat itu penuh emosi, tak kurang pula yang disaji, ilmiah dan fikiran sendiri.

Justeru, karier menulis sekarang bukan lagi kepunyaan yang pandai menulis, yang ada buah fikiran dan yang berbakat sahaja. Bukan kepandaian mengarang yang utama sekarang, tetapi taip dan tekan saja papan kekunci. Apa saja yang di dalam hati, apa saja yang di dalam minda boleh dicurahkan tanpa segan silu lagi. Ya, boleh apa dan saja, asal sanggup jari menulis.

Terkadang, tidak terfikir oleh kita demikian isi dan patah perkataan yang ditulis di sini, di dunia blog ini apatah lagi dimeriahkan pula ia dengan video dan gambar yang bermacam warna dan aksi. Ada yang OK, alhamdulillah tetapi banyak pula yang KO, innalillah. Ah, pandai-pandailah tuan membawa diri. Jika tak sanggup offkan saja PC.

Ya, sesiapa sahaja boleh menulis sekarang. Kenapa jadi begitu, mengapa jadi begini, satu persoalan yang relevan yang memerlukan jawapan yang relevan pula. Inilah jawapnya, kerana ledakan teknologi maklumat dan komunikasi. Kerana keajaiban teknologi tanpa wayar, yang murah, berkesan dan serasi. Kerana teknologi satu sentuhan dan di hujung jari.

Melalui blog, orang tak payah menghantar tulisan, ke syarikat penerbitan dan percetakan. Orang tak perlu menunggu-nunggu kelulusan, editor dan suntingan. Orang tak payah ada kemahiran, penulisan dan karangan. Tulis saja dan klik butang, hasil tulisan sudah pun dapat diterbitkan. Tak perlu pun menunggu lama satu atau dua jam, sudah dapat dibaca dan dinikmati orang.

Tuan, ini saya mahu khabarkan. Seorang penulis, sangatlah bahagia jika tulisannya dibaca orang. Tanyalah mana-mana penulis atau pengarang, bagaimana jiwa mereka bila tulisan atau karangan dibaca dan ditilik-tilik orang. Lebih-lebih lagi diberi komentar atau ulasan. Seolah-olah beroleh satu kepuasan, yang tiada tara dan tak usah balasan atau ganjaran. Ya, dibaca orang pun sudah cukup dan padan.

Kalau dulu, pembacanya boleh dibilang. Berapa naskhah cetakan, yang ada di kedai dan yang ada di tangan atau tersimpan di stor penerbitan. Itupun kalau siap penulisan. Yang banyaknya tulis separuh jalan dan karya itu disimpan atau terbuang. Itupun kalau berjaya tapisan. Kalau tidak, jangan harap dapat diterbit dibaca orang.



Tetapi sekarang, pembacanya tak usah lagi dibilang. Tiap yang ada PC, yang ada talian, lebuhraya maklumat samada yang berwayar atau tidak, itulah bilangan. Kalau sanggup, tuan bilanglah dari benua Amerika sampai benua Asia. Cuba bayangkan pembacanya berapa ramai tak terbilang. Justeru, tiada lagilah bimbang samada dibaca orang ataupun tidak. Kalau tak sejuta, seorang pun padan.

Ha tuan, ini peringatan dari saya untuk saya dan tuan. Kedua untuk tuan, pertama untuk sayalah. Adat orang berpesan, sebelum orang dia dululah. Adalah penulisan atau kalam yang kita tuliskan itu akan dipertanggungjawabkan di hadapan Tuhan. Sebab kalam-kalam ini memang dari Tuhan. Ditulis-Nya semua di loh mahfuz. Diberi-Nya pula kita pena dan kalam.

Jadi, tulisnya jangan sebarang. Sebab tiap yang terlancar dari kalam, akan dihitung dan akan dihisab satu per satu dan dalam-dalam. Sebagaimana sebutan kita akan dicatat oleh yang kiri dan yang kanan satu per satu dan dalam, demikianlah halnya tulisan.

Kalau orang menyebut bercinta sampai ke syurga. Suka pula saya menyebut, menulis sampai ke syurga. Tetapi tuan, bukan senang. Isinya mesti berbau harum syurga, kalamnya pula mesti acuan syariat Tuhan.

“Aku menulis bukan kerna nama.”

Ya, biar terdetik dalam hati kita yang bersih yang putih, bahawa kita menulis kerana Tuhan. Justeru, jangan pula sebaliknya, menulis kerana syaitan atau menulis sampai ke neraka, na’uzubillah. Wah, tuan endingnya dahsyat. Haraplah maaf ya, kalau-kalau tergeser kalam, terlajak pena.

Salam revolusi dari saya, ayuh bersama kita menjadi blogger kerana Islam, kerana Tuhan.

Dari tarikan nafas,
@buyon




Anak sulungku meminta, "Buya, wak ke
abang blog se"