Sunday, June 28, 2009

Michael Jackson : Adakah Al-Fatehah Untuknya

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Sesungguhnya, Kami telah berikan kepadamu, tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan Al-Quran
yang agung.”
(Al-Hijr : 87)

Mengetahui berita kematiannya, saya agak terperanjat juga tetapi tidaklah terkilan benar sebagaimana berita kematian dan perginya seorang mujahid Islam ini, almarhum Syeikh Fathi Yakan. Pun begitu, terdetik di hati saya ini, rasa terharu dan simpati kepada beliau kerana terlepaslah beban dan derita yang ditanggung semasa hayatnya.

Saya sebetulnya, sudah lama jatuh kasihan kepadanya, mengingatkan bermacam-macam isu dan peristiwa yang berlaku terhadapnya. Lebih-lebih lagi, beliau sebagaimana yang diwar-warkan telah kembali kepada fitrahnya, menjadi seorang Islam.

Sejauh mana benar atau ikhlas Islamnya beliau, tidaklah saya pandang dan persoalkan sangat. Kita husnuzan dan kita serahkan saja kepada-Nya. Namun, dari hati ini yang paling dalam, ya saya memang berharap beliau menjadi seorang Islam yang benar-benarnya.




Beliau, sebelum kenalnya saya dengan dakwah Islam dan jatuh cintanya saya dengan nasyid dan lainnya adalah antara penyanyi kegemaran saya, ketika beliau berada di puncak dan zamannya. L
agu Beat It, Billie Jean sambil melihat gerak tarinya yang sofistikated dan kreatif adalah siulan saya, meski tak pernah habis nyanyi liriknya. Sesekali, tangan dan kaki ini bergerak, bergoyang juga bila orang-orang tiada.

Tetapi sungguh, Allah itu Maha Kaya, diubahnya rentak minat saya kepada rentak yang menuju kepada-Nya. Diberi sinar cahaya-Nya ke dalam hati saya, sampai saya berpaling dari hiburan lagha itu kepada mendengar firman-firman-Nya. Ya Allah, pertama kali dalam hidup saya sewaktu berumur 14 tahun, diberi oleh-Mu rasa kelazatan yang sukar hendak diceritakan, tatkala mendengar firman-firman-Mu. Terima kasih kepada-Mu ya Tuhan.

Dan sekarang, tidak pernah saya rasa lagi rasa yang sebegitu asyik dan merdu apabila mendengar bacaan-bacaan firman-Nya. Sinar yang Kau beri telah aku kotori, ya Allah ampunilah aku, ampunilah aku, ampunilah aku, hamba-Mu yang dhaif hina ini.


Justeru, setelah ‘berkerat rotan’ dengannya dan yang lainnya, saya hanya mengikuti beliau dari jauh. Tahu jugalah antara lagu-lagu terkini dan perkembangan hidupnya, sekadar tahu sajalah. Tahulah sebab membaca kisahnya di dada akhbar dan di paparan internet, itupun sepintas lalu. Juga ketika itu saya berdoa untuknya agar diberi hidayah sebagaimana diberinya hidayah kepada Cat Steven, Yusof Islam.


Ya tuan-tuan, berat mata kita memandang, berat lagi bahu dia memikul. Bayangkan hidupnya dari kecil hingga saat matinya, penuh kontroversi, banyak duka dari suka. Ketika menjadi pujaan dan idola dunia, kehendaknya jadi pelbagai, nafsunya besar yang amat sampai-sampai hitam warnanya hendak diubah, perkahwinannya yang berkecai, hartanya yang bertambun makin lama makin habis, kes mahkamah yang belum selesai dan saman-menyaman. Dia menyanyi dan menari untuk menghibur, dia sendiri tidak terhibur. Cuba tuan-tuan bayangkan, bagaimana jiwanya, adakah bahagia.

Telah meninggal beliau, telah terlepaslah pula bebannya di dunia ini setelah sengsara beberapa lama. Saya bersyukur kepada Tuhan. Namun, beban di sana tidaklah tahu pula kita bagaimana. Kita serahkan saja kepada-Nya, kerana Dia sesungguhnya, Tuhan yang maha Pengampun lagi Maha Pengasih kepada hambanya.

Kematiannya, jika benar beliau Islam sebagaimana kenyataan abangnya Jermaine Jackson, sebenarnya satu rahmat dan kemenangan buat Islam dan umatnya. Berita ini hendaknya ditulis dan dikhabarkan ke seluruh alam, bagaimana seorang idola dan raja pop yang dipuji dan dipuja pelbagai bangsa, umur dan gender, akhirnya kembali kepada fitrahnya.

Kematiannya pasti menarik sejumlah peminat fanatiknya jika tidak memeluk Islam pun, sekurang-kurangnya berminat dengan Islam. Barangkali, itulah bakti beliau kepada Islam dan Tuhannya, sesudah meninggalnya. Moga Allah SWT mengiranya sebagai amal soleh, modal dan bekalannya ke sana. Ah, kalau tiada angin, masakan pohon boleh bergoyang.




Kematiannya, jika beliau sebagaimana beliau sebelumnya, kita sama-sama hayati petikan sajak ini, oleh Allahyarham Usman Awang tatkala terkesan dengan berita pembunuhan John F. Kennedy, Presiden Amerika Syarikat pada tahun 1963.

________

Jika kita menyesali kematian atas seorang

Dan hati tidak berdenyut untuk kematian yang lain

Maka kemanusiaan tidak wujud di mahkota kebenaran

Sebab bukan kemanusiaan bila ada perbatasan


Menangislah

Dunia telah didandankan
Kehidupan adalah kematian
Yang berdarah


Justeru tuan-tuan, adakah Al-Fatehah untuknya, Mikaeel Jackson. Adakah tuan-tuan telah bersedekah Sab’ul Mathani itu kepadanya. Setakat patah tulisan ini ditaip, Al-Fatehah belumlah saya hadiahkan kepadanya meski telah saya dahulukan dengan mengucap inna lillahi wa inna ilaihi raji’un, sejurus mengetahui berita kematiannya.


Maka cukuplah bagi saya, sabda Rasulullah SAW ini, “Barangsiapa mengucap laailaaha illallaah, maka ia masuk syurga.”

Dari tarikan nafas,
@buyon

Monday, June 15, 2009

Fathi Yakan : Nama Dan Buku Besarnya

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Matinya seorang waris

Tiba-tiba handset saya berbunyi. Bukan nada dering tetapi nada Bullfrog yang seringkali menyebabkan kawan-kawan terpinga-pinga. Kelihatan gadget itu bergetar-getar di atas meja komputer. Yup, bunyi tanda masuk sms, mesej ringkas : 1 message received

“Salam. Berita yang baru diterima daripada Syria. Al-Fatehah kepada tokoh gerakan Islam yang sangat kita segani, syeikh Fathi Yakan telah meninggal dunia sebentar tadi.”

Sent: 13-June-2009
08:21:20 pm


Satu saat, dua tiga, empat lima saat. Mulut ini masih terkatup, lidah kelu. Mata ini masih tajam menatap skrin pada handset. Betulkah? Hati ini masih ragu-ragu kerana, pernah beberapa kali terkena. Tok Guru dikatakan meninggal, siapa lagi, lupa. Tujuh, lapan saat. Eh, yang menghantar mesej itu seorang sahabat. Ya Allah, takkan dia main-main, dia sahabat, dia boleh dipercayai.

Allah, jantung ini berdetak, mengepam darah merah, deras ke seluruh penjuru daerah tubuh ini. Bagai tersedar dari lamunan, serentak melantun dari mulut ini jeritan, ya Allah dan kalimah innalillahi wa inna ilahi raji’uun.

Sembilan, sepuluh saat. Saya membaca ummul kitab, al-fatehah. Mata tidak menitiskan airnya, sungguh. Ah, mata mengapa engkau keras, sungguh keji. Ah, mata betapa engkau tegar, tidak tersentuh untuk sebuah kematian yang ini. Ah, mata sungguhlah engkau ini durjana.

Tetapi hati ini dari lubuknya yang paling dalam, menjerit-jerit, ya Allah, Allah, Allah, Allah. Aduhai ummah, sungguhlah hari ini hari yang gelap untuk kita, malang sungguh. Aduhai ummah, sungguhlah hari ini khabar yang gembira buat musuh. Kematian beliau sungguh satu kehilangan, yang amat, yang amat. Kata pepatah Melayu, patah tumbuh, hilang berganti tidak terpakai di sini. Hilangnya tiada pengganti. Meski akan ada peribadi-peribadi lain yang akan menyambung tugas beliau, tetaplah tidak sama. Nama besar Fathi Yakan di zaman moden ini, payahlah kita mencari gantinya.



Sumber foto : Voice of Fatih

Saya tidaklah kenal peribadi Fathi Yakan sebagaimana saya kenal peribadi Hassan Al-Banna. Hassan Al-Banna, inilah orang yang memperkenalkan saya kepada dakwah dan Islam melalui buku dan memoirnya yang ditulis orang. Hassan Al-Banna, inilah orang yang membentuk dan mencanai fikrah dan jiwa saya tentang harakah Islamiyyah, seusia 13 tahun sampailah sekarang. Meski belum menjadi, barangkali tetapi itulah acuannya.

Kenapa tidak kenal dan hafal peribadi seorang Fathi Yakan. Itu salah saya, salah sendiri. Yang benarnya, saya belum pernah berjumpa dan membaca memoir tentang Fathi Yakan yang ditulis orang. Kalau ada, sekali lagi salah saya, salah sendiri. Pun begitu, barangkali memang sudah aturan Tuhan begitu. Barang yang ada dan hidup tidak pula disapa dan dipuja. Bila tiada barulah terkenang dan kesal di dada.

Teringat pula kepada seniman tersohor kita, P. Ramlee. Sekian lama menjadi arwah, baru diberi gelaran Tan Sri ke apa, sudah mati apa pula guna. Tuannya sudah mati, kita baru hendak mengkaji, buku dan peribadi. Tuannya sudah mati, kita baru nampak, jasa dan hati budi. Masa ada, orang keji. Masa tiada, orang puji. Memang, orang-orang seperti beliau Fathi Yakan, sudah tiada, barulah timbul segala yang jadi legasi. Jadi legenda, jadi bahan rujuk dan jadi model yang ampuh sekali. Lihat Hassan Al-Banna, lihat Imam Al-Ghazali.

Adapun Fathi Yakan, saya mengenal beliau melalui bukunya yang tersohor itulah. Bukunya itulah yang mencerahkan saya mengenai Islam yang tercinta. Bukunya itulah yang mengertikan saya menjadi seorang Islam, dalam erti yang luas dan benar. Bukunya pengetahuan Islam saya di dada. Bukunya kefahaman Islam saya di kepala. Bukunya teks usrah saya dan sesiapa.

Ya, bukunya itulah. Seingat saya, sudah beberapa naskhah saya membeli bukunya yang satu itu. Tidak pernah lekat. Ada yang hilang dalam simpanan, ada yang dihadiahkan kepada orang [paling bahagia, buku ini pernah dihadiahkan kepada seorang isteri rakan yang mualaf, lama dahulu saat mereka masih pengantin baru], ada yang hilang dalam pinjaman, ini yang banyak. Pun begitu, ada dua lagi dalam koleksi saya, dua-dua isteri saya yang punya.

Beliau, Fathi Yakan saya mahu serupakan seperti Imam Al-Ghazali. Lihatlah kawan-kawan, Imam Al-Ghazali dengan bukunya Ihya Ulumuddin. Pengetahuan dan makrifat yang terkandung di dalamnya, yang sudah beratus-ratus tahun dikarang, mengalir kepada kita sampai ke hari ini. Bukunya, disyarah, dibahas, diajar, diterjemah, diulas dan yang utamanya, diamalkan. Hingga diperikan cendekiawan, jika sesat dan keliru dalam tarikat dan makrifat sesiapa atau jamaah, bukunya itulah tempat rujukan. Bukunya itulah tempat kembali ke pangkal jalan. Bukunya itulah tempat kembali jernihnya fahaman dan manis lazatnya rasa berTuhan. Nyatanya, bukunya itu penuh barakah dan penuh kurnia dari Tuhannya.

Demikian Imam Al-Ghazali, begitulah juga Al-Ustaz Fathi Yakan. Bukunya itu, Madha Ya’ni Intima’I Lil-Islam, terkandung di dalamnya pengetahuan dan makrifat, yang telah mengalir kepada kita hari ini dan esok, untuk generasi seterusnya. Bukunya, disyarah, dibahas, diajar, diterjemah dan diulas di sekolah, di pusat-pusat pengajian tinggi dan di mana-mana. Bukunya, menjernihkan fikrah dan jiwa kita terhadap harakah dan dakwah, Iman dan Islam. Buku besar, penuh barakah yang telah menjadikan nama beliau, besar. Buku besar, penuh kurnia yang sudah membina beberapa generasi.

Seorang warismu telah pergi, seorang warismu telah meninggal, warismu ya Rasul, warismu ya Rasulullah. Beliau telah meninggalkan kami, saat kami masih perlu, pimpin dan tunjuk ajarnya. Fathi Yakan warismu, yang tiada duanya telah pergi.

Sebelas, dua belas saat. Sekali lagi saya membaca fatehah. Bakti satu-satunya saya kepada beliau. Ya Allah, semoga beliau termasuk di kalangan para syuhada dan solehin. Semoga beliau dicucuri rahmat-Mu, sebanyak-banyaknya dan limpah kurnia-Mu, sebesar-besarnya. Semoga beliau bertemu-Mu dalam rehatnya dengan senyuman, paling manis. Semoga beliau bertemu-Mu dalam syurga-Mu dengan ketawa, paling bahagia seorang pejuang.

Tidak cepat walau sesaat, tidak lambat walau sesaat. Ya kita pasti menemuinya, kematian.

__________________

Tiba-tiba, teringat saya kepada bait-bait nasyid ini, yang sering dinyanyikan sewaktu akan berpisah dengan kawan dan jamaah.

Hari ini tiada senda dalam bicara
Deru airmata merupakan segalanya

Sang hati bicara sendiri ....
Bangunkan ummah bina generasi ....


Dari tarikan nafas,
@buyon

Wednesday, June 3, 2009

Tundukkan Pandanganmu

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Ya Allah, ya Allah

Darah tiba-tiba naik ke muka, ke telinga, naik ke kepala bilamana seorang penceramah ketika menyampaikan ceramah bercerita, “Dulu, masa sekolah agama, saya masih ingat, jalan tunduk-tunduk sampai nak langgar tiang.”

Hati saya beristighfar, beberapa kali. Dia kita jemput memberikan input kepada audiens kerana pengalaman dan santunnya yang bolehlah kita anggap role model yang solehah di zaman penuh hitam ini. Betapa hati ini tidak tersentuh, terkilan, marah sebenarnya kerana yang diungkapkan itu ialah suruhan Tuhannya, dan hadiah dari-Nya untuk seorang hamba-Nya yang bernama wanita.

Ya Allah, kenapa dia memperlekeh dan meremehkan ilmu dan pengalamannya sendiri. Ya Allah kenapa dia tidak menghargai tarbiyyah itu. Kalaulah betul sekalipun, tidakkah kita sama pendapat bahawa pengalaman dulu-dulu meski bagaimana pahit dan peritnya, sangatlah terasa manisnya sekarang. Pahitnya itu menjadi garisan, menjadi pedoman untuk hidup masa sekarang dan akan datang. Ya Allah, betapa pada saya adab dan akhlak itu, tinggi martabatnya. Hanya yang berperibadi, yang sanggup.


Dan bilamana membaca suasana hari ini, pengalaman tersebut, “jalan tunduk-tunduk sampai nak langgar tiang” itu mungkin tidak akan mampu diulang kembali. Ia adalah manifestasi perintah Tuhan di dalam Al-Quran. Ia adalah manifestasi bersih dan putih seorang yang mula mengenal dakwah dan Islam. Ia adalah cerminan jiwa yang penuh di dalamnya tarbiyyah dan roh Islam. Rasa patuh kepada-Nya sekaligus rasa malu yang dianjurkan agama agar mata yang dipandu nafsu ini tidak meliar dan merata, diterjemahkan begitu. Sepatutnya, ia menjadi kenangan paling manis, tarbiyyah paling efektif dan pengajaran paling diingati.



Hey zaman ini, zaman moden. Fikiran mesti moden, mesti terbuka. Zaman moden, pakaian pun mesti moden, mesti terbuka. Zaman moden, jalan mesti pantas, cepat-cepat. Apa tunduk-tunduk, itu zaman dulu, zaman sekarang mesti cepat, harus terbuka. Jalan mesti ke depan, mesti tegak mendada, bukan tunduk-tunduk, lambat. Dah kalau tunduk, mestilah tak nampak, langgarlah tiang. Dah kalau tunduk, mestilah lambat, ketinggalan. Begitu agaknya fikiran orang kita, orang moden zaman moden. Tetapi mestikah begitu, tanya saya pada diri yang mengundang satu persoalan seribu jawaban. Ya, persoalan itu nantinya akan saya jawab sendiri, Insya-Allah.

Betapa cantiknya perintah Tuhan. Mata tidak pula disuruh dua puluh empat jam pejam, kerana sifat mata memandang, dan gunanya mata itu, memandang, biarpun ada waktunya kena pejam. Tetapi tidak pula mata dua puluh empat jam mesti memandang. Ada benda, ada perkara yang boleh dipandang. Ada benda, ada perkara yang tak boleh dipandang, mesti dipejam. Tetapi Allah memerintah, kita menundukkan.

Tundukkan pandanganmu, perintah Allah SWT dalam Al-Quran. Baik lelakinya mahupun perempuan. Perintah Allah bukan sekadar mengarah, perintah Allah bersebab, perintah Allah berseni, perintah Allah berhikmah, yang terkandung di dalamnya, rahsia. Hanya yang sanggup, hanya yang mahu, hanya yang merasa maka terbukalah rahsia. Kadang-kadang bukan dengan jalan menghafal lafaz Tuhan-Nya, bukan juga dengan tahu dan faham tuntutan-Nya, bukan juga semestinya orang alim, atau yang belajar matan-matan kitabnya semata-mata, tetapi oleh yang berjiwa halus, yang berjiwa seni, yang memandang alam ini dengan rasa, berpakejkan fikrah Islamiyyah.

Teringat saya sewaktu di alam persekolahan, ketika terpengaruh dengan ayat-ayat Allah tentang menundukkan pandangan tersebut lantas terus saya beramal dengannya. Tiap melihat perempuan, saya tundukkan pandangan. Tiap berselisih perempuan, saya tundukkan pandangan sehingga saya tidak dapat bercakap dengan baik dengan rakan sekelas perempuan. Sehingga dicampakkan oleh Allah Taala satu rasa di dalam hati yang tidak dapat saya huraikan di sini.

Rasa semacam satu kelazatan yang diberikan Allah kerana menurut perintah-Nya. Saya tertanya-tanya apakah rasa tadi itu benar-benar dari Allah atau bagaimana sehinggalah saya diizinkan oleh Allah bertemu dengan satu sabda Rasulullah SAW tentang orang yang menundukkan pandangannya akan diberi rasa kelazatan oleh Tuhannya (Kalau ada kawan-kawan yang hafaz hadis ini beritahulah saya).

Allah, Allah, Allah bergetar-getar hati ini tanda bersyukur kepada-Nya. Kadang setengah orang didapat ilmunya dahulu baru dicampak rasanya. Setengah orang pula diberi rasanya dahulu baru dicampak ilmunya.
Demikianlah pendidikan Tuhan kepada hamba-Nya.

Faham saja tanpa rasa, tidak berdaya. Rasa saja tanpa faham, tidak bermaya.

Dari tarikan nafas,
@buyon