Wednesday, December 1, 2010

Peringatan Untuk Diri

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

ya Tuhanku, ujian-Mu berat. Hampir saja
aku rebah kalau tidak dibuka-Mu
hikmah!

Saya salinkan syarahan di bawah daripada Ghaus Al-’Azim Sultanul Auliya’ Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani dari kitabnya yang tersohor Futuh Al-Ghaib (Pembukaan kepada yang Ghaib) yang diterjemahkan oleh Abdul Majid Haji Khatib terbitan Pustaka Aman Press m/s 18-20.

Ini adalah peringatan untukku sendiri, hamba-Nya yang lemah dan hina agar apabila aku membacanya mengetuk hati, agar aku tidak menjadi seperti kacang lupakan kulit dan tidak menjadi hamba-Nya yang tidak tahu bersyukur setelah diberi-Nya segala pertolongan, agar setiap tarikan nafasku adalah nafas mengingati-Nya, Allahurabbi Tuhan yang tiada lain melainkan Dia.

Syarahan Ketiga

“Apabila seorang hamba Allah itu diuji oleh Allah, maka mula-mulanya dia akan cuba melepaskan dirinya dari ujian atau cubaan yang menyusahkannya itu. Jika ia tidak berjaya, ia akan meminta pertolongan dari orang lain seperti raja-raja atau orang-orang yang berkuasa, orang-orang dunia, orang-orang hartawan; dan jika ia sakit ia akan pergi meminta pertolongan doktor atau bomoh. Jika inipun tidak berjaya, maka kembalilah ia menghadapkan wajahnya kepada Allah SWT dan memohon sambil merayu kepada-Nya. Selagi ia boleh menolong dirinya, dia tidak akan meminta pertolongan orang lain. Selagi pertolongan orang lain didapatinya, dia tidak akan meminta pertolongan Allah.

Jika dia tidak dapat pertolongan Allah, maka berterusanlah ia merayu, sembahyang, berdoa dan menyerahkan dirinya dengan penuh harapan dan cemas terhadap Allah SWT. Allah tidak akan menerima rayuannya sehingga dia memutuskan dirinya dengan keduniaan. Setelah putuslah dia dengan hal-hal keduniaan, maka ketentuan dan kerja Allah akan terzahir melalui orang itu dan lepaslah ia dari hal-hal keduniaan. Tinggallah padanya roh sahaja.

Pada peringkat ini tidaklah nampak olehnya melainkan kerja atau perbuatan Allah dan tertanamlah dalam hatinya kepercayaan yang sebenar-benarnya tentang tauhid (Keesaan Allah). Pada hakikatnya tidak ada pelaku atau penggerak atau yang mendiamkan kecuali Allah SWT, tidak ada baik dan tidak ada jahat, tidak ada rugi dan tidak ada untung dan tidak ada faedah dan tidak ada anugerah dan tidak ada sekatan, tidak terbuka dan tidak tertutup, mati dan hidup, mulia dan hina, kaya dan papa, bahkan segala-galanya adalah dalam tangan Allah.

Hamba Allah itupun jadilah seperti bayi di pangkuan ibunya atau seperti orang mati yang sedang dimandikan atau seperti bola di kaki pemain bola – melambung, bergolek, ke atas, ke tepi dan ke tengah, sentiasa berubah tempat dan kedudukan. Dia tidak ada pada dirinya upaya dan daya. Maka lenyaplah ia keluar dari dirinya dan masuk ke dalam lakuan Allah semata-mata.

Si hamba Allah yang begini tidak nampak yang lain kecuali Allah dan perbuatan-perbuatan-Nya. Tidak ada didengar dan diketahuinya kecuali Allah. Jika ia melihat sesuatu, maka dilihatnya perbuatan atau kerja Allah. Jika ia mendengar atau mengetahui sesuatu, maka didengarnya perkataan-perkataan Allah dan jika ia mengetahui sesuatu, maka diketahuinya melalui pengetahuan Allah. Ia akan dianugerahi dengan anugerah Allah.

Beruntunglah dia, kerana hampirnya dengan Allah. Beliau akan diperhias dan dipermuliakan. Redhalah ia dengan Allah. Bertambah hampirlah dia dengan Tuhannya. Bertambahlah cintanya kepada Allah. Bertambahlah seronoknya dalam mengenang Allah. Terdirilah ia di “dalam Allah”. Allah akan memimpinnya dan menghiaskannya dengan pakaian cahaya ilmu Allah dan terbukalah kepadanya hijab yang melindunginya dari rahsia-rahsia Allah yang Maha Agung. Beliau mendengar dan mengingat hanya dari Allah yang Maha Tinggi. Sentiasalah dia bersyukur dan sembahyang di hadhrat Allah SWT.”


ya Tuhanku, ujian-Mu berat. Hampir saja aku rebah kalau tidak dibuka-Mu hikmah!

Dari tarikan nafas,
@buyon

Sunday, June 20, 2010

Budi Luhur

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Sesungguhnya aku diutus untuk
memperbaiki akhlak –
Rasulullah SAW


Siapakah yang sanggup memberi jika tidak dengan budinya. Paling mahal seperti yang termaktub dalam kitabullah. Jiwa inilah jadi gadaian. Nyawa inilah jadi taruhan. Siapakah pula yang sanggup menerima jika tidak dengan budinya juga. Paling murahpun, terimalah dengan ucap terima kasih seadanya.

Asal filsafat dari akallah tempatnya. Asal budi dari hatilah tempatnya. Berpantunlah orang Melayu –

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi baik dikenang juga

Pantunan lain –
Kalau ada jarum patah
Jangan simpan dalam peti
Kalau ada silap salah
Jangan simpan dalam hati

Ada lagi –
Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati

Lihat sajalah betapa orang Melayu ini, bangsa yang berkulit sawo matang ini – menghargai dan mencintai budi. Dan pastilah sesiapa empunya diri yang punya budi akan diangkat setinggi langit. Namanya akan disebut-sebut. Jasanya akan dihebah-hebah. Budinya akan diwar-war. Pada yang menerima budi, berceritalah – si anu pernah suatu ketika saat aku dalam uzur, ditolongnya aku dengan budinya. Tiada mengharap secebispun balas. Semoga Tuhan Allah sahajalah yang membalasnya.

Setiap yang berbudi padanya akan dikenang. Dikenangnya orang itu sampai ke mati, sampai ke liang lahad. Biar badan hancur, tidak mengapa. Padahal pada yang berbuat budi – bantuan itu tidaklah sebesar mana, tidaklah seberat mana sebab budi yang ditabur itu diserah kepada Tuhan buat menilai akan dirinya. Pada yang memberi budi – syukur pada Tuhan sebab dengan izin-Nya orang itu dapat dibantu. Terlepas dari susah sementara ini. Itulah budi yang luhur sebenarnya. Sungguh, betapa besarnya pengaruh budi di dalam masyarakat dan alam ini.

Dan pada diri anak Adam ini – banyaklah tempat yang jadi perhatian anak Adam yang lainnya. Banyak antaranya – rupa paras yang dipandangnya. Setengah yang lainnya – bijak akal yang ditiliknya. Ada yang lainnya – sasa tubuh yang ditengoknya. Kadang-kadang yang dipandang tinggi itulah terbit darinya bibit-bibit cinta. Tumbuhnya rasa kasih dan sayang. Tetapi di antara semua itu, ada suatu perkara yang apabila dipandang merendah yang lain kepadanya – tunduk akur. Yang budi itulah.



Yang budi itulah yang jika dipandang – memandanglah yang lain kepadanya. Akan menaruh hormat orang kepadanya. Kawan menjadi semakin rapat. Lawan menjadi semakin dekat. Akan ditentang juga, tiada berdaya sebab kalaupun hormat tidak beroleh di luar – diam-diam di dalam diri timbul rasa hormat itu. Alangkah baiknya dia. Alangkah budimannya dia. Sebab budi itulah.

Jika demikianlah pengaruh budi – alat apakah yang dipakai buat mengukur budi. Sebab budi itu, kerap kali orang tersalah ukur. Asal berbudi, diharap pula akan dibalas budinya atau paling tidakpun – ada udang di sebalik batu. Yang menerima budi akan termakan budi dan akan tergadailah budi mereka pada yang berbuat budi itu. Padahal budi itulah pelitanya hidup, serinya hidup. Jika sudah rentung budinya, apalah makna hidup ini, apalah guna hidup ini.

Akan budi itu alat ukurnya tiada lain tidak bukan adalah agama. Baik kata agama – baiklah budi itu. Biar seribu orang mengatakannya jahat. Biar seluruh orang di atas muka bumi berpakat mengatakannya jahat. Dan jahat menurut agama – jahatlah budi itu. Biar sejuta orang mengatakannya baik. Sebab – tidak boleh budi itu diukur menurut akal sendiri. Tidak boleh budi itu diukur mengikut nafsu sendiri.

Demikianlah – sesungguhnya budi yang luhur tidak boleh ditimbang kati, tidak boleh dijual beli. Justeru – timbul soal di benak ini. Adakah sanggup insan mempunyai budi seperti itu. Siapakah yang cakap mempunyai budi sebegitu? Yang sangat luhur budinya – tiada tandingan, tidak terjangkau ketinggian pekertinya adalah junjungan kita – Nabi Muhammad s.a.w puteranya Abdullah. Akan kita ini – ikutlah Nabi contohilah dia. Sebab itulah sebab dia diutuskan. Akan kita ini, laksana kata bidalan – kalau tidak dipecahkan ruyungnya manakan dapat sagunya. Biar derita biar seksa buat memperbaiki budi namun menyerah pantang sekali.

Ilham rasa,
abuyon
Keramat Wangsa, November 1997



Terima kasih ya Allah. Syukur pada-Mu. Tulisan di atas adalah antara catatan lama saya pada tahun 1997. Telah tergerak pula hati saya untuk memaparkan tulisan ini di sini setelah sekian lama. Ya Tuhan, tidaklah dapat aku menulis melainkan dengan gerak-Mu. Moga yang membacanya beroleh rasa dan faham, Insya-Allah. Moga-moga aku dapat menulis lagi, Insya-Allah.

Dari tarikan nafas,
@buyon


Sunday, March 28, 2010

Sollu ‘alan Nabi

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Ya Rasulullah, ya Rasulullah,
ya Rasulullah


Tidak dapat lagi saya menulis, kerana rasa yang sudah hilang. Entah bila ia akan kembali. Kepada-Mu ya Allah aku berserah. Moga namamu ya Rasulullah SAW sentiasa basah di lidahku dan anak-anakku, terikat kemas dalam jantung dan hati kami, penuh dan bercahaya. [Sila klik poster]

Dari tarikan nafas,

@buyon