Friday, July 31, 2009

Ketika Rindu Bertasbih

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Hey kawan, siapa pula yang kau rindu-rindu tu ha

Ya Tuhan, hati saya melonjak-lonjak rindu. Memang saya rindu padanya. Terlukis di kanvas rasa terpendam, penuh dan berdenyut dalam. Ah, rindu itulah. Terkadang sampai menitiskan airmata. Entah, mengapa. Barangkali mengenangkan banyaknya dosa, hati lagha sewaktu bersama. Ya, sudah lama kita tidak berjumpa, meski lidah saya sentiasa basah menyebut-nyebut nama, menyebut tentang diri tuan empunya.

Wahai, yang ditunggu-tunggu hampir datang. Wahai, sudi juga tuan bertandang, setelah hampir setahun kita berjauhan. Ahlan, ahlan ya Ramadhan, bukan Ramadhan yang Nia itu ya kawan-kawan. Saya menunggu tuan bak pungguk merindukan bulan. Mampirlah, mampirlah ya Ramadhan yang mubarak, penuh rahmat lagi barakah. Rindu padamu akan reda sedikit saja masa lagi, Insya-Allah saya optimis.



Demikianlah rahsia hati saya yang terpendam, penuh dan berdenyut dalam [diulang]. Sebaik habis Ramadhan yang lepas dan sebelumnya pun, lidah ini senantiasa basah dengan firman Tuhan yang ini, yang satu ini.


[Al-Baqarah : 183]

Ketika rindu bertasbih, inilah ayat-ayat Tuhan yang saya mengaji sokmo. Inilah ayat-ayat Tuhan yang saya baca selalu, baca sokmo. Yang sering diulang-ulang bila saja lidah ini melantunkan. Ketika di pejabat dan komputer di depan. Ketika memandu atau kaki berjalan. Ketika berkumpulan lebih-lebih lagi berseorangan. Ketika menulis atau membaca, kertas dan paparan. Ketika bersama, isteri tercinta dan anak-anak cahayamata. Ketika bila-bila saja, kecuali saat dua mata ini jenere atau lena.

Tetapi tuan, saya mengaji bukan sebarang. Ayat dibaca bukan sebagai yang biasa-biasa. Bermacam gaya dibacakan, dengan bermacam nada dan lagu pula. Kadang lagu tinggi, kadang lagu rendah, kadang lagu sedih sayu, kadang lagu semangat ceria. Tetapi maaflah tuan, ia bukan lagu Hijjaz, Raz, Bayati atau Nahwan. Mutawali bukan, Sudais pun bukan. Ia lagu yang tak pernah didengar orang.

Ah, lagu sendiri tuan, bukan lagu qari atau yang mengaji, penuh dan dalam. Yang pasti, ia berulang-ulang. Ia bacaan dari hati yang asyik, melimpah tubek ke gulungan dan lembut lidah. Tuan rasa pening, saya diamlah. Tuan diam, saya teruskanlah.

Inilah ayat-ayat rindu, barangkali. Diulang-ulang yang itulah juga, lain tiada. Ah, barangkali kawan kita hafal hanya ayat itu saja. Ayat lain, dia tak tahu. Ayat lain, dia tak hafal pula. Sebab itulah, yang diulang-ulang yang itu juga. Dia asyik sendiri. Kadang lupa dia dengan kelalang dan keliling. Adat orang merindu, belum jumpa dengan empunya badan - nama itulah asyik diulang-ulang, tak makan saman dan tak pandang kiri, kanan juga.



Ketika rindu bertasbih lagi, lain dari mengaji - berdengunglah pula di pekak udara - nasyid-nasyid meraikan Ramadhan yang jarang-jarang pula didengar orang. Kadang jadi ejekan, kadang jadi ikutan, tak tahulah pula saya kalau jadi bahan umpatan. Maklumlah menyanyikan lagu Ramadhan di bulan orang sedang menikmati makan dan kehidupan. Tambah pula dengan suara kawan kita yang serak-serak sumbang. [Cubalah cari tuan, nasyid-nasyid Ramadhan dendangan Nada Murni. Siapa yang tak biasa, dia pasti tak tahan. Justeru, hayatilah ia dengan penuh perasaan dari dalam].

Orang nyanyi lagu riang, dia nyanyi lagu Ramadhan. Orang dengar lagu hiburan, dia dengar lagu mengingatkan Tuhan. Hey kawan, tolong la. Jangan buat lain pada orang. Baiklah, sejuta terima kasih kerana mengingatkan, tetapi tuan, rasanya saya lebih suka mengikut yang Tuhan. Sebab bagi saya, itulah hiburan. Lebih-lebih lagi ketika kerinduan.

Yup, aku rindu kepadamu ya Ramadhan, kerana denganmu aku ada daya dan upaya – dengan izin Tuhan – untuk berlapar dahaga, menjaga pandangan, tak mmbuh bicara yang bukan-bukan, bersedekah ringan tangan, rok berjamaah dan tarawih di masjid dan surau, tahajud bangun malam, sujud lama-lama dan berdoa menadah tangan, merayu berbisik dan bermunajat serta membaca selalu kalam Tuhan.

Tuan, saya gembira bila datangnya Ramadhan, tetapi sedih sangat bila perginya Ramadhan, kerana mengingatkan nasyid inilah - yang sering pula terngiang-ngiang tatkala keseorangan. Nasyid ini adalah tarbiyyah untuk meningkatkan rasa kehambaan dan rasa berTuhan, Insya-Allah.



Harapan Di Bulan Mulia

Tuhan telah sering ku terdengar
Tentang kebesaran bulan Ramadhan
Di dalam Al-quran dan sabda junjungan
Hanya aku yang sering melupakannya

Di bulan yang mulia ini
Laut pengampunan-Mu tiada bertepi
Rahmat dan nikmat tiada terbilang
Syurga terbuka dengan seluasnya

Tuhan ku sedari kelemahan diri ini
Yang tidak istiqamah dalam beribadah
Ramadhan berlalu ibadah pun berkurangan
Begitulah diriku yang sering kelalaian

Semoga di Ramadhan kali ini
Dapat ku perbaiki kelemahan diri
Akan ku cuba mendidik nafsuku
Agar subur kehambaanku terhadap-Mu

Lailatul qadar pasti menjelma
Buat mereka yang menunggunya
Para malaikat merendahkan sayapnya
Meratakan rezeki untuk semua

Bimbinglah aku menuju jalan-Mu
Tingkatkan iman dan ketaqwaan
Agar hatiku tetap pada-Mu
Biarpun ramadhan telah berlalu


Munsyid :
Asri yang Nada Murni,
bukan Rabbani


Begitu, ahlan wa sahlan selamat datang marhaban bi kum ke kem latihan dan tarbiyyah ruhiyyah saya alu-alukan – pada diri, isteri, anak-anak dan rakan taulan serta pembaca budiman sekalian.
Artikel ini sebagai pemangkin untuk kawan-kawan, menyambut Ramadhan.

Bertasbihlah rindu menggamit kau datang,
ya Ramadhan!

Dari tarikan nafas,
@buyon



Di kesempatan ini, saya mengajak kawan-kawan untuk satu kempen yang saya namakan Ramadhan Zero Defect. Jom kita letak logo di atas di blog masing-masing, sebagai tanda meraikan kedatangannya sepanjang Ramadhan, yang sumbernya saya ambil dari
http://moeys.net [kredit untuk designer - Moey].

Dan sebagai MOU
, bolehlah kawan-kawan linkkan logo itu kepada http://abuyon.blogspot.com [kalau sudi] supaya pembaca faham apa dan kenapa kempen ini diwujudkan. Moga-moga beroleh barakah dari-Nya, kerana kita meraikan bulan-Nya yang mulia ini.

Ramadhan Zero Defect

Wednesday, July 22, 2009

Teknologi Yang Hilang

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Jantung mengepam darah, normal. Nafas keluar masuk, biasa.

Saya bukanlah seorang yang technology-wise. Padahal antara bidang yang saya pelajari ialah teknologi dan kejuruteraan. Meskipun begitu, ia tidak menjadikan saya seorang yang pandai teknologi atau ghairah dengannya. Apabila berdepan dengan sesuatu teknologi, lebih-lebih lagi yang baru - saya tidak teruja mana, biasa-biasa. Jantung mengepam darah, normal. Nafas keluar masuk, biasa.

Tuan-tuan, bacalah ini satu cerita. Cerita tentang satu teknologi yang saya namakan teknologi yang hilang. Sewaktu kemunculan teknologi ini, ia jadi fenomena. Teknologi canggih, sofistikated sekali. Adanya, menyenangkan. Adanya, adalah kemajuan. Ya, siapa ada, dia moden sekali. Siapa ada, dia hebat sekali. Siapa ada, dia ke depan. Tetapi besar saiznya, boleh buat plekong anjing. Teringat kepada bekas bos saya. Dibawanya teknologi itu ke sana ke mari, yang saiznya dari siku hingga ke genggam jari. Lagi sekali, yang kalau diplekong anjing pun mati. Tetapi itulah namanya teknologi.



Pertama kali saya menggunakan teknologi ini kerana dihadiahkan oleh isteri tercinta. “Surprise!” kejut isteri saya sambil menghulur teknologi itu ke tangan. Ya, memang satu kejutan apabila isteri menghadiahkan. Lagi terkejut, kerana apabila melihat apa yang ada di tangan. Ya Allah, hadiahnya teknologi itulah. Jantung mengepam darah tak normal. Nafas keluar masuk tak biasa. Wajah saya merah, kerana sudah marah. Wajah isteri merah, kerana sudah kena marah.

“Mahal ni, bakpe beli.”

“Kita bukannya ada pitih.”

“Tanyalah dulu kita sepatah.”

Ah, saya marah padahal isteri menghadiahkan. Ah, saya marah padahal isteri belum menjelaskan. Tiba-tiba, terdengar tangis, teresak-esak menggetarkan. Ah, saya buat dia menangis, padahal dia menghadiahkan dan belum menjelaskan. Darah yang naik ke kepala turun, serta merta. Dengan tangis sedihnya itu, sejuk jadi hati dan kembali fikiran ke landasan.

Maafkan saya ya zaujah, maafkan abang ya zaujah. Abang bodoh, abang lembap. Apabila dalam esakmu, engkau jelaskan baru abang faham. Hey suami, engkau turutkan marahmu sampai engkau tak rasai ikhlas hati seorang isteri. Hey suami, dia hanya mahu berbakti, kenapa sampai dimarahi. Sungguh, engkau jahat.



Maafkan abang ya zaujah. Sungguh, abang jahat. Ya, sudah engkau jelaskan, betapa payahnya hendak menghubungi abang sedang kita berada di kejauhan, seorang di utara dan seorang di selatan. Engkau jelaskan, betapa payahnya menunggu abang di dalam hujan, habis basah. Engkau jelaskan, betapa takut dan bimbang menunggu abang, sorang-sorang. Jelasmu lagi, kalau ada teknologi ini kan senang, boleh komunikasi dan tahu situasi. Hati pun jadi lapang, fikiran tenang. Demikianlah penjelasan, alhamdulillah. Terima kasih ya Tuhan.

Tetapi tuan-tuan, hadiahnya saya dapat, gunanya saya tak dapat tak pandai, apa sebab. Sebabnya saya bukanlah seorang yang technology-wise. Ditekan-tekan tak dapat, tangan tak biasa, kecil sangat bendanya. Itulah antara alasan.

“Mi, ajar mi.” Dengan malu muka, minta isteri ajarkan. Dia memang technology-wise. Beri saja apa, dia cakap. Dengar riwayat, memang dia dari kecilnya macam McGyver, hero pandai teknologi yang cakap dan cekap. Dan dari tunjuk dan ajarnya, saya pandai. Terima kasih ya zaujah.

Bila dikenang semula, kalau isteri tak hadiahkan, payah rasanya nak rasa teknologi yang ini. Sebab pada waktu itu, saya tidak rasa akan keperluannya. Saya seorang yang bila perlu saya beli, tak perlu saya tak beli, biar apa saja materi. Yup, saya tidak mahu terikat dengan tuntutan materi zaman ini. Lagipun, pada fikiran saya momen itu – teknologi yang satu ini boleh mengganggu kehidupan hari-hari. Ya, meski ada kebaikannya yang tidak dapat pula saya mungkiri, tetapi mudharatnya pula pada saya, banyak sekali.

Justeru, kenapa teknologi yang hilang. Ada apa dengan teknologi. Ada apa dengan teknologi yang hilang. Sabar tuan-tuan, duduk perkaranya begini. Adapun teknologi yang dimaksudkan ialah handphone yang saya yakin tuan-tuan sudah maklum dan faham.



Justeru, kenapa hilang. Ada beberapa kejadian. Pertama, handphone saya hilang kerana dicuri orang. Ada sekali, saya melawat isteri yang kesakitan kerana kehamilan di sebuah hospital di utara di Pulau Pinang. Ketika berbaring berehat sebentar di surau, berkenalan dengan seseorang yang katanya juga melawat isteri yang melahirkan. Ketika mata sedang buka dan pejam, dia tiba-tiba memohon pinjam. Betapa lurusnya saya, saya berilah dia pinjam. Handphone itulah. Yalah, adat orang konon berkawan.

Di muka pintu, dia merungut katanya, signal hilang sambil handphone di tangan dihayun-hayunkan. Ah, mata semakin pejam, berbalam-balam. Dia minta hendak keluar katanya, signal makin kuat di luar, hilang di dalam. Ya, ya silakan. Mata ini sudah terpejam, kerana keletihan. Satu minit id minit, tiba-tiba saya dikejutkan Tuhan. Ya Allah, eh mana orang tadi. Lantas, saya bingkas keluar, rasa mengantuk terus hilang. Ya Allah, rasa tak sedap hati. Melilau saya ke sana ke mari. Yang dicari tak ada di sana tak ada pula di sini. Orang dicari sudah hilang.

Saya bergegas ke tingkat atas, sebab tadi dia mengatakan isterinya bersalin di wad atas. Dengan muka yang tak sudah, saya bertanyakan kepada misi, orangnya begini begian ada tak datang sebab isterinya melahirkan.

“Tak ada!” Ya Allah sah handphone saya sudah hilang dicuri orang. Cis, pandai sungguh dia mencari momen, sedang kawan kita ini keletihan. Hey kawan, handphone engkau bukan hilang dicuri orang tetapi ia hilang kerana engkau baik sangat, sangka baik yang amat dengan mana-mana orang. Saya letak di dada, tangan kanan. Saya rasa detak jantung di dalam. Detaknya ada. Saya pun bertanya kepada denyut hati yang dalam. Eh, tak ada apa. Tak ada apa-apa. Jantung mengepam darah normal, nafas keluar masuk biasa – hey apakah tanda.



Kedua, lagi sekali handphone saya hilang kerana juga dicuri orang. Ketika saya tidur mati di surau di sebuah hospital di utara di Terengganu Darul Iman. Sebelum jam 5 pagi, saya berulang-ulang antara balai saf dan wad perempuan. Berulang untuk melihat-lihat zaujah dengan mata celik pejam kot-kot sudah sampai waktu dia melahirkan. Oh, belum. Ya Tuhan, permudahkan dia, jangan memayahkan. “Allahumayassir wa laa tu’assir yaa kariim.” Doa ini saya ulang-ulang.

Saya ulang sampailah mata saya terpejam. Ya Allah, tiba-tiba saya dikejutkan Tuhan. Lampu terang, ada orang sembahyang. Ya Allah, sudah subuh - kenapalah aku tak dengar azan. Ya Allah, ya Allah ada benda hilang. Baju, di kocek kiri dompet, di kocek kanan handset – dua-dua hilang. Ku tarik nafas dalam-dalam, ku seru-seru namamu Tuhan - Allah, Allah, Allah, Allah, Allah sampai gelora laut jiwaku menjadi tenang. Seolahnya saya macam air di kali yang tenang dan nyaman. Cuma barangkali yang agak saya terkilan ialah bilamana mengingatkan handset yang hilang itu pemberian seorang kawan. Meskipun second, harganya kata kawan, seribu bang.

Terakhirnya, yang ini saya katakan teknologi yang benar-benar hilang. Ketika bersiap hendak pergi kerja, tiba-tiba mata terkelih handset di atas lantai, di ruang tamu bertaburan. Oh, jatuh rupanya tak apa. Saya kutip dan saya pasang ia kembali. Siap, saya tekan butang, eh tak hidup pula. Kenapa ya, biasa jatuh begini tak ada apa-apa. O agaknya, bateri talian hayatnya sudah tiada. Teknologi dicaskan, dibiarkan sambil saya mengambil sarapan. Ok, saya tekan lagi sekali dua kali berkali-kali, eh memang tak hidup ni. Tak mahu pening kepala dan panjang cerita, terus saya hantar ke kedai mohon dinyalakan.

Beberapa hari kemudian, tukang pandai teknologi menyatakan handphone tuan memang nyawanya sudah hilang. Terang beliau penuh wibawa - maklumlah tukang – punca utama teknologinya hilang kerana dimasuki air, barangkali hujan. Ah, bila pula saya kena hujan.



“Mi, tukangnya kata handphone buya masuk air,” khabar saya pada isteri. Lantas selamba, dia menjawab, “Oo patutlah, semalam budak-budak ni main kolam.”

“Main kolam?”

“Ya, dia sumbat kain pada lubang bilik mandi. Dibuka pili habis-habisan. Jadilah kolam.”

“Umi rasa adalah yang nombor tiga tu buat kapal yang menyebabkan teknologi buya hilang.”

Ah, anak-anakku. Tak apalah buya tak marah, buyamu tak kisah. Apalah ertinya teknologi itu kalau dibandingkan denganmu anak-anakku, anugerah Tuhan yang paling buya sayang. Biar hilang teknologi, asal jangan engkau yang hilang, wahai anak-anakku.

Dari tarikan nafas,
@buyon

Thursday, July 16, 2009

Tutup Muka, Ala Zorro Atau Agama

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Artikel ini nama lainnya, Selsema Yang Impaknya Maksima [2]. Bacalah kawan, dengan hatimu paling dalam.

Adapun selsema itu tuan-tuan, penyakit biasa dan tua pula. Sinonim sudah ia dengan manusia, ibarat aur dengan tebing rasanya. Biasa, kerana kita biasa kena dan biasa mengalaminya dan biasa pula kita sembuh darinya. Tua, kerana sudah lama ia dari zaman Nabi kita, juga zaman Nabi sebelum-sebelumnya.

Namun begitu, meski biasa dan tua, Nabi kita sudah mengajarkan. Barangsiapa bersin, ucaplah dia hamdalah. Barangsiapa mendengar hamdalah itu, ucaplah ucapan sekian, dan yang mendengarnya pula, ucaplah sekian-sekian. Dan bersin itu, tanda dan alamatnya selsema. Biarpun bukan mestinya, tetapi acap kali pula orang yang selsema, bersin-bersin dia.

Hamdalah, terima kasih kepada Tuhan, mengeluarkan yang tersekat, yang kotor dari badan. Cuba tuan bayangkan, hendak terbersin tetapi tertahan, hendak terbuang, tetapi tertahan. Adapun yang ini, tidaklah dapat saya bayangkan. Tuan, bagaimana?

Lihatlah pula tuan bila selsema yang ini datang, selsema yang barangnya haram, manusia sibuk memakai topeng di muka, ala Zorro ala Araban. Tutup muka atas alasan kesihatan. Debu-debu berterbangan, hembusan nafas samada berbau atau tidak, udara yang tercemar, membawa seribu satu macam penyakit; selsema, influenza atau lainnya.



Tutup muka semua, itu langkah pencegahan. Bak kata orang tua-tua orang putih, prevention is better than cure, meskipun penyakitnya sudah merebak ke serata alam. Eh, bukankah yang benarnya, jangan makan babi, jangan bela ia. Barulah prevention is better than cure, barulah benar.

Padahal jika kita renungkan, dan selidik dengan saksama, Islam lebih dahulu mengajarkan kita, molek berpurdah menutup muka. Ajarannya telah lama dahulu, sekarang baru nampak dan terasa hikmahnya. Meski tutup muka bukanlah wajib mengikut qaul yang mashyur tetapi atas alasan fitnah, wajib pula ia ditutup. Sebesar-besar fitnah bagi wanita ialah wajahnya. Dan sejak bila pula zaman ini dan dulu pun, wanita dan zamannya bebas dari fitnah. Zaman sekarang, akhir zaman orang sudah tidak mengira usia dan paras rupa. Dia hendak, dia buat meski pada seorang nenek tua renta.

Pula, kalau masuk kilang atau makmal atau bilik pembedahan, mereka yang berkenaan mesti menutup muka sebagai prosedur. Betapa nafas dari mulut seorang manusia, keluar dan masuknya ancaman kepada manusia lain, kepada produk dan mesin juga. Ini persoalan yang saya tinggalkan kepada muslimah yang membaca entry saya ini.

Pun begitu, berpurdah atau memakai niqab ini adalah amalan dan trend muslimah salafussoleh, dulu-dulu dan sekarang ini pun. Sampai ada hukum yang menyuruh para hajah membuka kain tutup muka mereka apabila berihram di Makkah. Itu tanda, sebelum dan selepas musim haji, mereka biasa berpurdah. Ia hukum dan amalan yang terhormat dan mulia bagi seorang muslimah, selamat dan menyelamatkan.

Justeru, saya mencadangkan kepada mereka yang berkenaan, yang sudah belajar tutup mukanya dek selsema bala ini, apakata jadikan tutup muka itu fesyen dan trend pakaian anda, ia selamat dan menyelamatkan. Atas alasan hukum, yang benarnya atau alasan kesihatan atau alasan prevention is better than cure, alternatifnya.



Sumber : Sesuci Qatrunnada

Tuan, kalau lelakinya pula bagaimana. Apa perlukah mereka juga menutup muka, berpurdah barangkali sebagaimana anjuran tuan di atas. O ya, lelaki. Tidaklah perlu pula mereka berpurdah tetapi atas alasan kesihatan dan pencemaran, kenalah mereka memakai tutup atau topeng muka, seperti hari ini jika isunya sudah jadi melarat, darurat dan mudharat.

Berpurdah tidaklah, tutup muka pakailah sebagai langkah pencegahan. Ah, lelaki kan lebih kuat darinya wanita. Meski selsema atau flu itu tidaklah mengenal sesiapa, rasanya imuniti lelaki lebih sikit daripada wanita. Lagipun, tutup mukanya wanita atas alasan yang lebih luas, demi maslahat yang lebih universal dan serampang sepuluh dua puluh bermata-mata.

O ya, ramai juga saya melihat blogger muslimah, para akhawat sekalian yang berpurdah di sini, di alam siber ini, di blog sana dan sini. Apakah kerana terpengaruh dengan cover-cover novel Islami semacam Salju Sakinah atau Ayat-ayat Cinta atau filemnya, atau menyembunyikan identiti di sini, tidaklah saya ketahui. Sekadar bertanya, apakah di luar sana demikian juga. Jika tidak, tak mengapa molek juga berniqab di sini jangan sampai timbul fitnah lantaran apa yang dipanggil gambar, ikon atau avatar, gravatar.



Logiknya, jika kita sering bertandang dan asyik berada di medium internet ini, ada tiga perkara yang kita kena jaga untuk mengelak dari timbulnya fitnah dan kontroversi. Pertama, patah tulisan yang dibaca dan ditulis. Kedua, muzik, bunyi dan suara yang didengar. Keempat, video-video dan gambar-gambar yang dilihat.


Jika ya, alhamdulillah. Anda lebih dahulu, advance dari yang lainnya darihal mencegah, sebelum surat perintah dikeluarkan oleh pihak hospital atau kementerian, atas darurat kesihatan. Anda lebih dahulu menyahut perintah Tuhan dari perintah lainnya, syabas.

Hal ini sama dalam pemakaian stokin. Kita pakai ia untuk menutup aurat kaki, aurat yang diremehkan yang sokmo-sokmo diabaikan. Atas nama hukum, ramai yang engkar dan enggan. Tetapi hairan pula saya, atas nama peraturan, atas dasar kesihatan ramai pula yang akur, memakai stokin, tebal dan hitam pula. Nampaknya, hukum dan logik manusia lebih hebat dari hukum dan logik Tuhan.

Atas nama cinta, saya menyeru supaya ditutup aurat itu dari dilihat yang bukan mahramnya. Cintanya kita kepada yang dicintai, menyebabkan kita membalutnya dengan cinta syariat yang hakiki. Hanya yang berdaftar saja boleh menikmati, hanya yang sign-up saja boleh menjelajahi.

Kalau di jabatan kerajaan, bagi yang cakna syariat, kita akan menyaksikan fenomena ini, kakitangan lelaki kalau tak pakai stokin adalah kesalahan, ditegur, dinasihat, diberi amaran dan dimarah meskipun kakinya bukan aurat. Tetapi kakitangan perempuan, kalau tak pakai stokin, tak ada siapa berbunyi meski kakinya aurat dan memakainya, peraturan jabatan.



Wahai, tutuplah kakimu, meski ada pendapat mengatakan ia bukan aurat. Wahai, tutuplah kakimu, kerana banyak hikmahnya. Wahai, tutuplah kakimu, untuk mengelak fitnah. Ini, ambillah pesanan saya ini, wahai wanita sekalian, fitnah bukan
wajah saja, melihat kaki pun cukup bagi setengah lelaki. Tutuplah, kerana ia selamat dan menyelamatkan.

Tutuplah ia, selain kerana peraturan, untuk keselesaan dan mencegah sakit dan berpenyakitnya kaki, tutuplah ia kerana perintah Tuhanmu.

Dari tarikan nafas,
@buyon

Friday, July 10, 2009

Selsema Yang Impaknya Maksima [1]

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Tiap yang berlaku pasti ada hikmah dari-Nya

Bala datang, tiba-tiba. Tetapi tidak sia-sia. Sebagaimana ungkapan-Nya, tiap yang berlaku pasti ada hikmah dari-Nya. Bala apakah tuan, sampai lidah ini dan sesiapa sahaja menyebut-nyebutnya, hangat dan berulang. Bala apakah tuan, sampai menggegerkan bukan saja di alam Melayu ini bahkan seantero dunia.

Ya tuan, inilah bala yang menyapa melalui penyakit biasa-biasa, selsema namanya. Saya tidak suka mengejanya, selesema. Selsema itulah pada saya yang benarnya, sebab demikianlah kita menyebutnya. Begitu juga dengan baru, saya tidak suka mengejanya, baharu. Sebab sudah biasa kita menyebutnya, baru dan dari dulu lagi mengejanya, baru. Yang baru dari yang bharu atau bahru. Pada saya, dua-dua terpakai mengikut suasana, baru dan baharu.



Lihatlah tuan, selsema hanya tetapi impaknya maksima. Selsema cuma, tetapi manusia mati oleh kerananya. Macam api, ketika kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan. Demikianlah selsema, bila seorang kena, biasa sahaja tetapi bila seribu kena ia merebak menjadi wabak. Merebak wabak merata-rata seluruh alam, tak kenal siapa tak kenal orang. Begitu tuan, biar saya khabarkan, selsema ini bukan sebarang, selsema ini barang yang haram, babi namanya.

Molek sangatlah diberi namanya, selsema babi. Babi, sebab memang itulah punca dan hakikatnya. Biarpun ada yang mahu menukar nama, H1N1, A1B1 atau C1D1 ke apa yang utama dan hakikatnya yang itulah jua. [Eh, molek juga kalau diberi nama BAB1, saintifik dan kena pula, ke guane]

Jelek sungguh perkataan yang satu ini, sampai pernah dulu dikhinzirkan orang, jadi Arab pula ia. Hey kawan, babi pun babilah, kenapa pula kita bimbang sangat, apahal. Padahal memang itulah namanya. Tetapi kenapa menyebutnya jadi jelek sangat, kenapa hina sangat. Apakah sebabnya, apakah usulnya sampai orang khasnya bangsa Melayu merasa jelek hina sangat. Ya, ada sebabnya, ada usulnya, tak lain tak bukan ialah dari urat ajaran Islam itu sendiri.

Ya, orang Melayu lebih lagilah. Sebut saja namanya, menggeletar seluruh anggota, geli. Barang dijauhkan yang ini, simpang selisih malaikat empat puluh empat, 44. Mendengarnya saja sudah hendak terkeluar segala apa isi yang ada, apatah lagi mahu menyentuhnya. Melihatnya saja pun sudah tidak mahu, buat pejam celik pejam, lebih banyak pejam dari celik, apatah lagi mahu memamah, memakannya.

Selamat orang Melayu dengan perintah Tuhannya yang satu ini, dari asbab mendengarnya saja sudah tidak berselera mereka, bagai hendak terkeluar tahi telinga. Barangkali, kalau keadaan darurat sekalipun, takkan Melayu hendak memakannya, meskipun sudah halal hukumnya.




Tetapi tuan lihatlah pula, bila datangnya api amarah, disumpah seranah, dimaki-hamun orang dipakailah pula kalimat yang hina ini, disebutnya dengan ditekankan makhrajnya jelas-jelas. Biar sakit hati yang mendengarnya. Biar padan muka, diserupakan dengan babi. Dan orang yang dimakinya tadi, naiklah angin naik minyak pula dia, sebab diserupakan dia, manusia dengan babi. Berbalah, bergaduhlah pula sesama Melayu.

Sebab apa tuan, sebab itulah, mendengarnya saja pun sudah tidak sudi, lebih-lebih lagilah bila menyebut-nyebut di hadapan muka dengan lafaz dan niat menghina, hendak disamakan orang dengan haiwan itu.

"Bab Satu
," kata kawan saya, pandai dia memberi nama.

Hinanya barang yang diharamkan Tuhan, meresap masuk ke dalam, ke seluruh badan, menjadi sebati perkataan haram, dengan jiwa dan alam orang-orang Melayu, orang Nnayu. Begitulah pendidikan Tuhan, dalam dan halus, sepatah pun cukup bagi orang yang mengerti, sepatah pun memadai bagi orang yang faham.

Justeru, ingatlah tuan-tuan dan sesiapa, barang yang diharamkan Tuhan, pastilah ada sebabnya, kenapa dan apa. Faham-fahamlah kita, jangan macam Yahudi pula, keras kepala, babil (sebutnya ba bay) dan derhaka. Macam juga kes yang pegang dan bela anjing.

Tidak sia-sia bala datang, kenapa. Sebab ada hikmahnya pula. Hebohnya, selsema ini isyarat dari Tuhan untuk mengingatkan dunia dan kita, bahwa babi adalah haiwan, makhluk yang Dia haramkan. Mengingatkan kepada manusia lebih-lebih lagi kepada orang bukan Islam, orang kafir bahawa benar bangatnya kalam Tuhan dan ajaran Islam yang mengharamkan.

Babi, bukan makanan kita, bukan hidangan manusia dan sesiapa melainkan hanya sebagai amaran, bahan, tanda, peringatan dan ujian. Cubalah tuan huraikan tiap satu yang saya sebutkan ini, pasti ketemu hujah dan sebab apakah ia, babi itu sebagai amaran, bahan, tanda dan lainnya.

Mari kita renung lagi. Biasanya, kalau yang sakit atau penyakit, apa yang pahit itulah ubatnya. Kata orang tua-tua, lagi pahit lagi cepatlah baik, berkesan. Justeru, kalau yang sedap atau lazat, apa yang diharam, apa yang dilarang itulah hendaknya. Dan babi itu diakui, sedap dan lazat oleh yang biasa memakannya. Nikmat dunia, kata mereka.

Bukan salah babi pun, melainkan dugaan dan ujian Tuhan ke atas manusia belaka. Padahal sudah dikaji doktor, isinya berpenyakit tetapi manusia hendak juga. Padahal sudah diketahui cara makannya jelas kotor dan cemar tetapi manusia lalu juga. Ya, bersih batinnya barangkali lebih dari kita, tetapi zahirnya memanglah kotor pula.

Ah, Tuhan nak sudi kita. Dengan babi pun, sudah lemah manusia, tidak berdaya. Demikianlah aturan Tuhan, sesiapa.

Dari tarikan nafas,
@buyon

Sunday, July 5, 2009

Sakitnya ya Allah Mata Ini

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Sakit ya, tak mengapa kalau matamu sakit, kalau hatimu sakit, bagaimana?

“Pedihnya mata,” rungut saya kepada isteri ketika bersiap-siap untuk pergi kerja. Sangka saya pedih itu, pedih lamanya saya mengadap komputer. Rupanya, sampai ke petang sakitnya berpanjangan, menjadi-jadi. Sewaktu-waktunya, ia sampai berair, jadi senak. Bila saya melihat cermin, ya Allah mataku berurat darah, merah-merah, merah yang amat.

“Sakit mata tu buya,” tegur rakan sekerja.

“Yakah?”

Soal saya kembali, tanda jarang terkena sakit mata, atau tak pernah kena atau saya lupa sebenarnya, pernah kena atau tidak. Tetapi reaksi saya terhadap sakitnya, seolah-olah memang saya jarang mengalami sakit mata. Rakan-rakan memberi isyarat, syuh-syuh. Faham-faham sajalah.

“Siapa sakit mata, balik-balik, sila ambil MC.”

Ah, sudah terkena saya. Itulah awak, bila ada orang sakit mata, awak mengata, kata-kata itulah. Bukan mengata ya, beri nasihat, beri cadangan, menjaga maslahat. Nanti, ditenungnya kita, kita pula yang mendapat. Kita mengelak, kita mencegah, itukan ikhtiar. Nah, sekarang, Allah kembalikan kata-kata itu kepada awak, padan muka.



Lantas, saya pergi ke doktor. Ditiliknya, dibeleknya dan disuluhnya mata saya dan akhirnya diberi oleh tuan doktor MC dua hari, Rabu dan Khamis. Saya, apabila mendapat MC, seolah-olah beroleh gading bertuah, bukan main girang lagi sampai-sampaikan terloncat dari lidah ini, alhamdulillah, alhamdulillah.

Maklumlah, saya jarang ambil cuti lebih-lebih lagilah MC. Kadang-kadang, apabila menyatakan hasrat mahu ambil MC kepada doktor, terbit pula rasa malu, segan. Eh, ada malu, segan pula. Entah, tetapi itulah rasa hati saya, yang benar yang tulus.


Dari klinik, terus saja saya balik ke rumah. Sampai, isteri terperanjat dan hairan kerana saya balik awal, tetapi bukan main gembira lagi dia apabila diberitahu sebab musababnya. Sukanya dia bila saya cuti, ada di rumah, dua hari pula biarpun sakit mata. Sakit matapun, dari dia, dari anak saya yang bongsu, dari siapa entah.


“Dari Allahlah,” respon isteri.


Ha, itu kifarah dosa tu buya,” gurau isteri. “Ada la tu, buya tengok apa-apa,” usiknya lagi.

Hati saya tersentak, tetapi teruja dengan usik dan guraunya, mengingatkan demikianlah teguran Tuhan kepada hamba-Nya. Benarlah engkau wahai isteri. Perkataan engkau, benar. Gurauan engkau, benar. Ah, baru Allah beri mata yang sakit, kalau Allah beri jantung yang sakit, bagaimana? Lagilah, kalau Allah beri hati yang sakit, bagaimana?

Begitu, saya redha dan diam dari berkata apa. Jiwa ini terasa lapang dan luas, biarpun mata ini sakit dan merah. Ya, ini tarbiyyah dari-Mu ya Allah. Ya, ini kifarah dari-Mu ya Allah, hamba-Mu redha.

Hari Sabtu, sekali lagi saya singgah ke doktor. Komentarnya, “Oo tak fit lagi ni, kalau pergi kerja, habis semua orang kena, saya beri MC tiga hari.” Ya Allah cuti lagi, eh masuk yang ini dan tak masuk hujung minggu, sudah lima hari saya bercuti. Syukur, saya dapat cuti lagi. Waktu orang bercuti, awak kerja. Waktu orang bekerja, awak cuti.



Sokmo-sokmo
saya mengalami situasi begini. Dulu, semasa belajar, kawan cuti, awak berjalan, kawan berjalan, awak diam. Terima kasih ya Tuhan, saya bersyukur.

Dalam sakitnya, ada nikmat tersorok yang Engkau beri.
Sebab itu kawan, jangan pandang sebelah mata, sakit atau apa. Jangan pandang sebelah mata, orang atau apa. Jangan pandang sebelah mata, taat atau murka-Nya.

Ya Allah, lapang jiwa ini meski dalam kesakitan tatkala mengenangkan kata-kata dan pesanan ini. Baca ini kawan, dengan hatimu paling putih, pesan Muhammad Al-Baqir, cucu Sayyidina Husain kepada anaknya:

“Wahai anakku! Sesungguhnya Allah menyorok tiga perkara dalam tiga perkara. Pertama, Allah menyorokkan redha-Nya dalam ketaatan kepada-Nya. Oleh itu, janganlah engkau memandang ringan sesuatu perbuatan taat, kerana barangkali di dalamnya terdapat redha Allah.

Kedua, Allah menyorokkan murka-Nya dalam sesuatu maksiat. Oleh itu, janganlah engkau memandang ringan sesuatu maksiat, kerana barangkali di dalamnya terdapat murka Allah.

Ketiga, Allah menyorokkan wali-wali-Nya di dalam makhluk-Nya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menghina (memandang rendah) seseorang, kerana mungkin dia adalah wali Allah.”


Ya Allah, lapang hati ini meski dalam kesakitan tatkala mengenangkan, cerita dan kisah ini. Baca ini kawan, dengan hatimu paling bersih, cerita seorang wali Allah tersohor, Rabi’atul Adawiyah yang hidup sezaman dengan Hassan Al-Basri. Suatu hati Rabi’ah bertemu dengan seseorang yang kepalanya dibalut.

“Mengapa engkau membalut kepalamu?” tanya Rabi’ah.

“Kerana aku merasa pening,” jawab lelaki itu.

“Berapa umurmu? Rabi’ah bertanya lagi. “Tiga puluh tahun,” jawabnya.

“Apakah engkau banyak menderita sakit dan merasa susah di dalam hidupmu?

“Tidak,” jawabnya lagi.


“Selama tiga puluh tahun engkau menikmati hidup yang sihat, engkau tidak pernah mengenakan selubung kesyukuran, tetapi baru malam tadi saja kepalamu terasa sakit, engkau telah mengenakan selubung keluh kesah,” kata Rabi’ah.


Ya Allah, lapang dada ini meski dalam kesakitan tatkala mengenangkan, kata-kata dan madah ini. Baca ini kawan, dengan hatimu paling tulus, kata dan madah seorang mursyid kepada muridnya, kepada semua yang mendoakan dia.

“Andaikata satu dari anggota-anggotamu tidak lagi dapat digunakan, engkau masih wajib bersyukur pada Tuhan kerana masih ada 1001 jenis anggota lagi yang ada pada dirimu yang masih boleh digunakan.”


“Tidak mengapa kalau kakimu sakit, asalkan hatimu tidak sakit. Kerana kalau kakimu sakit, engkau hanya tidak dapat berjalan, tetapi kalau hatimu sakit, engkau akan hilang kebahagiaan.”

Sungguh, sedang mata ini sakit-sakit, merah-merah, saya sedang menulis satu dua artikel tentang pemimpin yang dijanjikan, pembuka yang diisyaratkan oleh Rasulullah SAW yang menawan Kota Konstantinopel, Sultan Muhammad Al-Fateh. Belum siap sepenuhnya, akan saya kirimkan ke sini nanti, baca ya kawan, Insya-Allah. Itu antaranya, hikmah sakit dari-Mu ya Tuhan.



Ya Allah, demikianlah hikmat dan nikmat sakit yang Engkau berikan. Hanya yang memandang dengan mata akhirat saja dapat melihat hikmah dan rahmat-Mu ini, meskipun dengan mata yang sakit-sakit. Ya, sakit itu adakalanya peringatan dari-Nya, adakalanya hadiah dari-Nya.

Justeru kawan, walaupun sakit, tetaplah wajib kita bersyukur kepada-Nya. Melalui sakit, kita sebenarnya diperhatikan oleh-Nya. Pahala yang besar kalau kita bersabar, sebagaimana firman-Nya:

“Allah bersama-sama orang yang sabar.”

(Al-Baqarah : 153)

Siapa sakit, mengeluhlah tak mengapa kerana kita manusia, tetapi janganlah sampai ketara. Siapa sakit, carilah ubat jumpa doktor, kerana itu ikhtiar sebagai perintah-Nya dan selepas itu, bertawakallah kepada-Nya. Siapa sakit, diam, jangan berkata apa, jangan sampai menyalahkan-Nya.

Siapa sakit, ucaplah hamdalah sebanyak-banyaknya, kerana banyak hikmah dan lainnya. Siapa sakit, ucaplah terima kasih, pada isteri yang setia menitikkan ubatnya. Terima kasih padamu, wahai isteriku. Siapa sakit, bersabarlah. Siapa sakit, redhalah.


Siapa sakit, ingatlah Allah. Siapa sakit, ingatlah Allah. Siapa sakit, ingatlah Allah. Siapa sakit, ingatlah Dia yang menyembuhkan.

Siapa sakit, ingatlah Dia, Tuhanmu. Sesungguhnya, Dialah Maha Penyembuh.


Dari tarikan nafas,
@buyon