Tuesday, February 3, 2009

Gerak kita, gerak Dia. Bukan kita, tapi Dia.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang.

Bertemu kembali kita di dalam naungan rahmat-Nya. Moga Allah merahmati kita sokmo. Kawan-kawan, meskipun seumur hidup kita di alam pembelajaran baik ketika di sekolah tadika, rendah atau menengah juga di peringkat universiti dan lebih tinggi, kita diajar dan dilatih untuk mengguna dan menguatkan minda serta logik. Jarang sangat pembelajaran kita menyentuh soal-soal hati atau pendidikan jiwa. Kalaupun ada, hanyalah teori semata-mata bukannya amalan atau praktikalnya. Kalaupun ada, tenaga pengajar di depan mata bukanlah role model atau meminjam istilah seorang kawan, raw model yang boleh kita tiru.

Justeru, apa yang dipelajari tentang soal hati tadi, tidaklah benar-benar membekas ke dalam jiwa, tidak benar-benar menjejak ke dasarnya. Lantas, lahirlah peribadi yang tinggi akalnya tetapi rendah budinya, kuat mindanya tetapi lemah spiritualnya. Penting juga ditegaskan di sini, konsep role model ini adalah kaedah pendidikan Rasulullah SAW yang paling ampuh sekali (yang pastinya, model utama role modelnya yang paling agung, yang paling popular dan yang paling glamour sepanjang masa adalah Rasulullah SAW sendiri).

Bagi mereka yang tahu dan mahu, ada sekolah atau guru yang boleh mengajar dan mendidik soal-soal hati ini, bila-bila masa. Siap sekali dengan role modelnya. Boleh cari, boleh daftar di mana-mana pun tanpa banyak masalah kerana pastinya, tiada sebarang yuran akan dikenakan. Ataupun barangkali gurunya sudah adapun di depan mata. Tetapi biasalah seperti kata pepatah, "Kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak."



Jadin
ya, banyak tindakan, keputusan, perkataan dan gerak kita secara sedar atau tanpa sedar berlandaskan logik akal. Tidaklah salah tetapi selalunya, gerak kita tadi akan menjadi rigid, straight, agak atau sedikit keras. Umpamanya, anda kecemasan dan memandu laju, lantas ditahan trafik. Logiknya, anda akan disaman kerana gagal mematuhi had laju dan sebagainya, tetapi jika anda mohon timbang rasa lantaran kecemasan dan kawan kita tadi pun, ada rasa timbang rasa, membuat keputusan berdasarkan rasa hati bukan logik, kebarangkalian anda akan terlepas adalah besar, dengan amaran pertama barangkali.

Kawan-kawan, meskipun pendidikan rasmi saya, dari tidak tahu menulis hinggalah tahu menulis patah perkataan seperti ini di sini, adalah pendidikan berteraskan logik dan berorientasikan peperiksaan, saya sendiri adalah seorang yang melakukan sesuatu berdasarkan gerak hati. Berdasarkan naluri, intuisi kata orang akademik sekarang. Ya, banyak tindakan dan perkataan saya diputuskan oleh gerak hati ini. Kadang-kadang, ada perkara yang orang minta saya buat, tetapi tidak tergerak hati saya untuk buat, saya tak buat. Banyak juga keadaan, bila orang tak minta saya buat, tetapi tergerak hati ini untuk buat, saya buat.

Tetapi gerak hati yang dimaksudkan di sini bukanlah reaksi pantas seorang ibu apabila berhadapan insiden yang berlaku kepada anaknya, misalnya atau yang sinonim dengan wanita, menurut perasaan. Gerak hati seorang ibu atau wanita itu adalah fitrah kejadiannya, naluri atau intuisi seorang perempuan yang lebih kepada pembawaan emosi atau perasaan mereka. Dan gerak emosi atau perasaan tadi lahirnya juga dari hati. "Ikut rasa, binasa! ikut hati, mati!" pesan orang tua-tua kita.

Maksud gerak hati saya adalah, gerak hati yang telah diasuh, terlatih dan terdidik melalui rasa dan fahamnya, pengalaman dan pengetahuannya, adab dan ilmunya, sekolah dan gurunya. Dua gerak dari satu institusi yang sama, hati. Serupa tapi tak sama. Perkataan serupa, isi tak sama. Sebutan serupa, makna tak sama. Justeru, gerak hati yang dimaksudkan oleh kata pepatah di atas tidak terpakai dalam konteks ini.

Tambah lagi, sebenarnya gerak hati tadi satu saja, yang itu juga. Mengambil misalan hati seorang perempuan, gerak hatinya akan menjadi, apabila sudah dibangunkan dengan iman, apabila sudah dibangunkan dengan ihsan, apabila sudah masuk sekolah dan berguru. Justeru, gerak hatinya yang emosi, yang menurut perasaan tadi akan menjadi lebih bersih dan stabil. Apabila sudah bersih, gerak hatinya akan tepat dan selaras dengan kehendak Allah.

Teringat saya bait-bait nasyid evergreen ini, jika anda di muka radio (yang berkaset) dengarkanlah, tetapi di sini bacalah, cubalah lagukan nasyid ini penuh rasa,

Pandangan mata selalu menipu,
pandangan akal selalu tersalah,
Pandangan nafsu selalu melulu,
Pandangan hati itu yang hakiki,
Kalau hati itu bersih …

Hati kalau sudah bersih,
pandangannya tepat menembusi hijab.
Hati jika sudah bersih,
firasatnya tepat kehendak Allah ...

Tapi hati, jika dikotori,
bisikannya bukan lagi kebenaran …
Ulang 2X

Hati tempat jatuhnya pandangan Allah,
jasad lahir tumpuan manusia …
Ulang 2X

Utamakanlah pandangan Allah,
daripada pandangan manusia …
Ulang 2X

Ini penting, gerak hati ini sebagaimana yang guru kita syaratkan, "Mesti selaras dengan syarak, jika menyalahi, bathil!". Ya, harus difahami juga, gerak hati ini meskipun spontan tetapi mesti ditunjangi syariat Allah SWT. Tiap yang syariat mesti ada roh, hakikatnya. Dan tiap yang hakikat mesti ada bekas, syariatnya.

Gerak hati ini apabila sudah bersih, digerakkan gerak Allah SWT. Justeru, tanamkanlah wahai kawan-kawan, dalam jiwa dan mindamu, pesanan ini – gerak kita, gerak Dia. Bukan kita, tapi Dia. Jadikanlah ia pedoman, amanat saya buatmu. Madah tersebut adalah intipati sajak saya yang nanti akan dihantarkan di sini, Insya-Allah (kena cari dulu duduk letaknya, hampir 10 tahun tersimpan entah di mana).

"Tidak bergerak sebesar zarah melainkan dengan izin-Nya."


Dari tarikan nafas,
@buyon

12 comments:

  1. hard disk 10 tahun lalu masih selamat ke bro? :)

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,
    Salam kenal dari Sukabumi, West Java, Indonesia,
    Mari kita jalin Silaturahim antar dua bangsa serumpun di bawah panji-panji Islam,..
    kami Pustaka Eidariesky mengajak anda untuk bertukar link dengan kami,.. kami menunggu konfirmasi dari anda di Pustaka Eidariesky http://eidariesky.wordpress.com apabila sekiranya anda setuju untuk bertukar taut dengan kami,.
    Wassalamualaikum

    ReplyDelete
  3. hf,
    Salam bro, tu la hard disknya masih ada dalam simpanan, tak tahu ok ke tak. Kena cari dan pasang kat PC mana-mana. Kena cari salinan kertasnya.

    ReplyDelete
  4. eidariesky,
    Wa'alaikumsalam wm wbt. Salam taaruf. Jauhnya kita, dipisahkan oleh lautan, namun diikatkan di sini, dunia online. Itulah aturan Tuhan. Syukur, alhamdulillah. Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Yup, saya setuju.

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum....
    mang ada bakat penulis...

    ReplyDelete
  6. perihal yang dalam2 ini terkadang sulit untuk dicerna bila sekadar pada pena.

    teruskan membuka jalan...

    ReplyDelete
  7. Ya begitulah, sebab yang diceritakan di atas soal rasa, soal iman. Begitupun Allah Maha Agung diberikannya kepada ulama seperti misalnya Imam Al-Ghazali, mencurahkan soal-soal ini melalui pena dan kertas.

    ReplyDelete
  8. Sila kunjungi web kita di www.daarussyifa.blogspot.com

    ReplyDelete
  9. pendidikan sekular. guano nok didik hati manusio.

    pendidikan sekular. guru pun asal dari sekular. maka murid pun jadi sekular.

    nak wat guano. bilo ado yang nak mendidik mereka pandang rendah.

    kadang-kadang kasihan dengan nasib orang yang cuba mendidik hati ni. Itulah nak buat perkara kena sabar kan.

    walaupun saya pun sekolah sekular. tapi abi dan umi tak pernah lupa didik hati kami adik-adik. Nikmat punya hati ni lain. Sungguh! Walaupun selepas buat salah, hati yang dididik molek ni cepat sedar kesalahan diri.

    -keluar topik ke entah ni-

    ReplyDelete
  10. salam syahidah. moga beroleh rasa ya, tak keluar topik :)bahkan satu komentar yang sangat bernas.

    Pertama, telah syahidah nyatakan bahwa, pendidikan asasnya mesti bermula dari rumah. Pe'el perangai jahat atau baik, hatilah puncanya. Alangkah untungnya, jika ibu dan ayah kita adalah guru yang mendidik soal-soal hati. Hati, dialah raja. Molek dia, moleklah segala.

    Kalau kita guru sekolah sekarang, kitalah yang kena memasukkan doktrin Islam dan Tuhan di dalam P&P. Kalau matematik atau sainsnya, kita kaitkan dengan Islam, dengan Tuhan.

    Tetapi, timbul persoalan, adakah semua guru begitu?

    ReplyDelete
  11. Tak semua guru begitu? Tak tahulah pula statistik nya..tapi Alhamdulillah masih ada guru yang mahu mendidik hati manusia

    kalau kita jadi bos/ketua pun boleh terapkan pada anak buah, tak semestinya jadi guru.

    ReplyDelete
  12. Benar ya ukhti syahidah. Saya selalu sebut, tarbiyyah 24 jam, biar siapa pun kita, biar di mana pun kita.

    adapun guru, moga banyak guru yang begitu, sebab selepas
    rumah, sekolahlah tempat utamanya pendidikan.

    O ya jemput kempen Ramadhan Zero Defect, dan baca sajak saya di http://hijau-tinta.blogspot.com

    ReplyDelete