Thursday, January 29, 2009

Boikot : Anda Serius?

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Isnin, 26hb Januari 2009 di petang Tahun Baru China, mata ini terpaku menatap dakwat-dakwat hitam akhbar Siasah bertarikh 18—24hb Januari 2009, halaman 36: Saya membaca tulisan Faisal Tehrani yang bertajuk “Boikot Amerika dan Zionis : Anda serius?” Membaca tajuknya saja, yup!, saya terus setuju kerana memang saya serius. Beberapa lama, ayat demi ayat, saya nyata serius membaca tiap line tulisannya. Tidak mengangguk kepala, jiwa dan minda saya menyatakan setuju dengan patah perkataannya. Ya setuju, kerana tulisan tersebut seolah-olah pemikiran saya yang dicatat kembali di atas kertas. Ia senada dengan jiwa saya selama ini. Barangkali kalau boleh disebut, itulah isi jiwa dan minda saya apabila disentuh soal-soal boikot Amerika dan Zionis.



Terima kasih Faisal. Sungguh, dia telah menolong saya mengungkapkan pemikiran tersebut lewat tulisannya yang sentiasa bernas, segar dan bergaya yang saya sendiri tidak mampu melakukan sebaiknya, meskipun mahu. Tambah menarik, apabila kandungannya penuh informasi dan fakta. Kotak minda saya padat dan berisi apabila dimasukkan input bagaimana Hollywood dikuasai Yahudi, rungutan Marlon Brando dan maafnya Mel Gibson serta lainnya, baris demi baris.

Justeru kawan, bukan produk ekonomi saja yang mesti diboikot tetapi juga produk filem dan televisyennya. Penting juga kita mesti memboikot gaya hidup mereka yang sudah mendarah daging dalam masyarakat kita. Pun begitu, yang benar-benar menyentuh hati dan menyentap fikiran saya ialah dua perenggan ini yang ditulis oleh Faisal.

Pertama — Jika anda bercakap tentang hasrat untuk memboikot AS dan Yahudi, anda harus bermula dengan televisyen di rumah anda.

Kenyataannya yang ini, saya sokong 100%. Dan pada saya inilah barangkali point terpentingnya di dalam artikel tersebut. “Itulah punch linenya!” celah seorang kawan. Saya menyokong saranannya kerana pada saya itulah asasnya. Tiap sesuatu ada asasnya, samada sesuatu itu berbentuk material mahupun secara konsepnya. Kalau rumah, asasnya tapaknya. Kalau agama, asasnya tauhidnya. Jika asas ini tidak difahami bahkan tidak pernah pun terlintas di fikiran kita — bagaimanakah harusnya boikot ini boleh ditegakkan. Kita tidak mahu jadi seperti kata pepatah, “Kokok berdegar-degar, ekor bergelumang tahi.” Justeru kawan, pada saya apabila kita sudah memahami dan menerima pandangan ini — anda harus bermula dengan televisyen di rumah anda — persoalannya, sudahkah kita melaksanakannya. Faham satu hal, terima satu hal dan hal terpenting ialah melaksanakannya. Bagaimanakah pelaksanaannya? Barangkali yang dimaksudkan oleh Faisal apabila mengungkapkan saranan tersebut ialah kita jangan menonton siaran yang nyata buatan Amerika dan Yahudi, yang lain persilakan.

Tetapi saya menyokongnya 100% kerana telah sekian lama di rumah saya, tidak adapun sebuah peti televisyen, inilah punch line saya barangkali atau orang putih sendiri panggil the idiot box.

Kedua — Anda mahu boikot Amerika? Argh kelakar, saya ulang — hanya Iran sahaja yang berkemampuan untuk melakukannya!

Samada gurauan ataupun tidak, cabaran ataupun tidak, sindiran ataupun tidak, sengaja atau tidak, kenyataan terakhirnya atau penutupnya itu tetap dan sangat menyakit dan melukakan hati saya, meskipun saya mengerti apa yang cuba disampaikan olehnya. Aduh! permulaannya baik, pertengahannya baik, semuanya baik-baik tetapi pengakhirannya pada rasa dan faham saya, tidaklah sebaik mana. Yang mencacatkan keseluruhan artikel yang baik ini ialah perkataan — argh kelakarnya. Sungguh, anda seperti memperlekehkan bahkan menghina mereka yang bersungguh-sungguh memboikot. Bahkan perkataan anda yang satu ini sebenarnya menjadi hujah dan alasan kepada mereka yang sememangnya tidak bersetuju dan tidak menyokong usaha memboikot ini.

Saya tidak mahu mengulas panjang persoalan ini, cukuplah saya berpesan begini — bayi yang baru belajar merangkak tidak harus ditertawakan kerana tidak dapat berjalan. Kita sewajarnya menghargai setiap daripada umat ini, usaha-usaha yang dilakukan biarpun sedikit biarpun tidak istiqamah untuk umat Islam yang lainnya. Ataupun anda harus mengambil ibrah dari cerita tersohor ini — bagaimana seekor burung cuba memadamkan api kebakaran hutan. Ataupun anda harus belajar lagi satu ilmu dari banyak-banyak ilmu di muka bumi Tuhan ini — ilmu ikhlas!

Tambahan sedikit, yakinkah anda hanya Iran sahaja yang berkemampuan untuk melakukannya! Sepertimana yang anda ungkapkan - kita tahu peti televisyen di Mekah dan Madinah sekalipun (dengan menggunakan satelit dan ceper parabola) boleh membawa Britney Spears menari separuh bogel bergeser-geselan dengan Madonna. Soalan saya - tidakkah juga perkara ini boleh dilakukan di sana, Iran!


Dari tarikan nafas
@buyon

No comments:

Post a Comment