Sunday, June 28, 2009

Michael Jackson : Adakah Al-Fatehah Untuknya

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Sesungguhnya, Kami telah berikan kepadamu, tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan Al-Quran
yang agung.”
(Al-Hijr : 87)

Mengetahui berita kematiannya, saya agak terperanjat juga tetapi tidaklah terkilan benar sebagaimana berita kematian dan perginya seorang mujahid Islam ini, almarhum Syeikh Fathi Yakan. Pun begitu, terdetik di hati saya ini, rasa terharu dan simpati kepada beliau kerana terlepaslah beban dan derita yang ditanggung semasa hayatnya.

Saya sebetulnya, sudah lama jatuh kasihan kepadanya, mengingatkan bermacam-macam isu dan peristiwa yang berlaku terhadapnya. Lebih-lebih lagi, beliau sebagaimana yang diwar-warkan telah kembali kepada fitrahnya, menjadi seorang Islam.

Sejauh mana benar atau ikhlas Islamnya beliau, tidaklah saya pandang dan persoalkan sangat. Kita husnuzan dan kita serahkan saja kepada-Nya. Namun, dari hati ini yang paling dalam, ya saya memang berharap beliau menjadi seorang Islam yang benar-benarnya.




Beliau, sebelum kenalnya saya dengan dakwah Islam dan jatuh cintanya saya dengan nasyid dan lainnya adalah antara penyanyi kegemaran saya, ketika beliau berada di puncak dan zamannya. L
agu Beat It, Billie Jean sambil melihat gerak tarinya yang sofistikated dan kreatif adalah siulan saya, meski tak pernah habis nyanyi liriknya. Sesekali, tangan dan kaki ini bergerak, bergoyang juga bila orang-orang tiada.

Tetapi sungguh, Allah itu Maha Kaya, diubahnya rentak minat saya kepada rentak yang menuju kepada-Nya. Diberi sinar cahaya-Nya ke dalam hati saya, sampai saya berpaling dari hiburan lagha itu kepada mendengar firman-firman-Nya. Ya Allah, pertama kali dalam hidup saya sewaktu berumur 14 tahun, diberi oleh-Mu rasa kelazatan yang sukar hendak diceritakan, tatkala mendengar firman-firman-Mu. Terima kasih kepada-Mu ya Tuhan.

Dan sekarang, tidak pernah saya rasa lagi rasa yang sebegitu asyik dan merdu apabila mendengar bacaan-bacaan firman-Nya. Sinar yang Kau beri telah aku kotori, ya Allah ampunilah aku, ampunilah aku, ampunilah aku, hamba-Mu yang dhaif hina ini.


Justeru, setelah ‘berkerat rotan’ dengannya dan yang lainnya, saya hanya mengikuti beliau dari jauh. Tahu jugalah antara lagu-lagu terkini dan perkembangan hidupnya, sekadar tahu sajalah. Tahulah sebab membaca kisahnya di dada akhbar dan di paparan internet, itupun sepintas lalu. Juga ketika itu saya berdoa untuknya agar diberi hidayah sebagaimana diberinya hidayah kepada Cat Steven, Yusof Islam.


Ya tuan-tuan, berat mata kita memandang, berat lagi bahu dia memikul. Bayangkan hidupnya dari kecil hingga saat matinya, penuh kontroversi, banyak duka dari suka. Ketika menjadi pujaan dan idola dunia, kehendaknya jadi pelbagai, nafsunya besar yang amat sampai-sampai hitam warnanya hendak diubah, perkahwinannya yang berkecai, hartanya yang bertambun makin lama makin habis, kes mahkamah yang belum selesai dan saman-menyaman. Dia menyanyi dan menari untuk menghibur, dia sendiri tidak terhibur. Cuba tuan-tuan bayangkan, bagaimana jiwanya, adakah bahagia.

Telah meninggal beliau, telah terlepaslah pula bebannya di dunia ini setelah sengsara beberapa lama. Saya bersyukur kepada Tuhan. Namun, beban di sana tidaklah tahu pula kita bagaimana. Kita serahkan saja kepada-Nya, kerana Dia sesungguhnya, Tuhan yang maha Pengampun lagi Maha Pengasih kepada hambanya.

Kematiannya, jika benar beliau Islam sebagaimana kenyataan abangnya Jermaine Jackson, sebenarnya satu rahmat dan kemenangan buat Islam dan umatnya. Berita ini hendaknya ditulis dan dikhabarkan ke seluruh alam, bagaimana seorang idola dan raja pop yang dipuji dan dipuja pelbagai bangsa, umur dan gender, akhirnya kembali kepada fitrahnya.

Kematiannya pasti menarik sejumlah peminat fanatiknya jika tidak memeluk Islam pun, sekurang-kurangnya berminat dengan Islam. Barangkali, itulah bakti beliau kepada Islam dan Tuhannya, sesudah meninggalnya. Moga Allah SWT mengiranya sebagai amal soleh, modal dan bekalannya ke sana. Ah, kalau tiada angin, masakan pohon boleh bergoyang.




Kematiannya, jika beliau sebagaimana beliau sebelumnya, kita sama-sama hayati petikan sajak ini, oleh Allahyarham Usman Awang tatkala terkesan dengan berita pembunuhan John F. Kennedy, Presiden Amerika Syarikat pada tahun 1963.

________

Jika kita menyesali kematian atas seorang

Dan hati tidak berdenyut untuk kematian yang lain

Maka kemanusiaan tidak wujud di mahkota kebenaran

Sebab bukan kemanusiaan bila ada perbatasan


Menangislah

Dunia telah didandankan
Kehidupan adalah kematian
Yang berdarah


Justeru tuan-tuan, adakah Al-Fatehah untuknya, Mikaeel Jackson. Adakah tuan-tuan telah bersedekah Sab’ul Mathani itu kepadanya. Setakat patah tulisan ini ditaip, Al-Fatehah belumlah saya hadiahkan kepadanya meski telah saya dahulukan dengan mengucap inna lillahi wa inna ilaihi raji’un, sejurus mengetahui berita kematiannya.


Maka cukuplah bagi saya, sabda Rasulullah SAW ini, “Barangsiapa mengucap laailaaha illallaah, maka ia masuk syurga.”

Dari tarikan nafas,
@buyon

5 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. hem... adakah juga kematian mj merupakan satu konspirasi jahat?? Mungkin... Semua tahu bahawa penasihat agama MJ dahulu adalah seorang pope yahudi...

    Beyta.
    http://myblog.beyta.org <-- my blog

    ReplyDelete
  3. Ya, yahudi ada di belakang sesiapa. Itu kepercayaan kita, tetapi bukanlah suatu yang sukar untuk mereka melakukannya. Pernah saya terbaca lama dulu, ada sumber mengatakan Neil Amstrong terpaksa menafikan bahawa beliau telah Islam kerana adanya ancaman daripada pihak-pihak tertentu. Siapakah yang sanggup membongkar perkara ini?

    Barangkali banyak di luar sana, yang telah Islam tetapi takut menyatakan keIslaman mereka kerana diancam dan diugut.

    ReplyDelete
  4. Bila melihat keadaan ugut mengugut bila Islam, teringat kisah keluarga Yasser dan Sumaiyyah..

    Sesungguhnya setiap manusia itu akan mati..pasti!

    ReplyDelete
  5. yup, rasanya perkara ini berlaku juga di negara kita tetapi media tidak highlightkan. Pernah saya terima beberapa emel tentang kejadian sebegini... ada satu keluarga yang telah memeluk Islam dibunuh di dalam kontena.. sudah lupa bagaimana..

    ReplyDelete