Wednesday, June 3, 2009

Tundukkan Pandanganmu

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Ya Allah, ya Allah

Darah tiba-tiba naik ke muka, ke telinga, naik ke kepala bilamana seorang penceramah ketika menyampaikan ceramah bercerita, “Dulu, masa sekolah agama, saya masih ingat, jalan tunduk-tunduk sampai nak langgar tiang.”

Hati saya beristighfar, beberapa kali. Dia kita jemput memberikan input kepada audiens kerana pengalaman dan santunnya yang bolehlah kita anggap role model yang solehah di zaman penuh hitam ini. Betapa hati ini tidak tersentuh, terkilan, marah sebenarnya kerana yang diungkapkan itu ialah suruhan Tuhannya, dan hadiah dari-Nya untuk seorang hamba-Nya yang bernama wanita.

Ya Allah, kenapa dia memperlekeh dan meremehkan ilmu dan pengalamannya sendiri. Ya Allah kenapa dia tidak menghargai tarbiyyah itu. Kalaulah betul sekalipun, tidakkah kita sama pendapat bahawa pengalaman dulu-dulu meski bagaimana pahit dan peritnya, sangatlah terasa manisnya sekarang. Pahitnya itu menjadi garisan, menjadi pedoman untuk hidup masa sekarang dan akan datang. Ya Allah, betapa pada saya adab dan akhlak itu, tinggi martabatnya. Hanya yang berperibadi, yang sanggup.


Dan bilamana membaca suasana hari ini, pengalaman tersebut, “jalan tunduk-tunduk sampai nak langgar tiang” itu mungkin tidak akan mampu diulang kembali. Ia adalah manifestasi perintah Tuhan di dalam Al-Quran. Ia adalah manifestasi bersih dan putih seorang yang mula mengenal dakwah dan Islam. Ia adalah cerminan jiwa yang penuh di dalamnya tarbiyyah dan roh Islam. Rasa patuh kepada-Nya sekaligus rasa malu yang dianjurkan agama agar mata yang dipandu nafsu ini tidak meliar dan merata, diterjemahkan begitu. Sepatutnya, ia menjadi kenangan paling manis, tarbiyyah paling efektif dan pengajaran paling diingati.



Hey zaman ini, zaman moden. Fikiran mesti moden, mesti terbuka. Zaman moden, pakaian pun mesti moden, mesti terbuka. Zaman moden, jalan mesti pantas, cepat-cepat. Apa tunduk-tunduk, itu zaman dulu, zaman sekarang mesti cepat, harus terbuka. Jalan mesti ke depan, mesti tegak mendada, bukan tunduk-tunduk, lambat. Dah kalau tunduk, mestilah tak nampak, langgarlah tiang. Dah kalau tunduk, mestilah lambat, ketinggalan. Begitu agaknya fikiran orang kita, orang moden zaman moden. Tetapi mestikah begitu, tanya saya pada diri yang mengundang satu persoalan seribu jawaban. Ya, persoalan itu nantinya akan saya jawab sendiri, Insya-Allah.

Betapa cantiknya perintah Tuhan. Mata tidak pula disuruh dua puluh empat jam pejam, kerana sifat mata memandang, dan gunanya mata itu, memandang, biarpun ada waktunya kena pejam. Tetapi tidak pula mata dua puluh empat jam mesti memandang. Ada benda, ada perkara yang boleh dipandang. Ada benda, ada perkara yang tak boleh dipandang, mesti dipejam. Tetapi Allah memerintah, kita menundukkan.

Tundukkan pandanganmu, perintah Allah SWT dalam Al-Quran. Baik lelakinya mahupun perempuan. Perintah Allah bukan sekadar mengarah, perintah Allah bersebab, perintah Allah berseni, perintah Allah berhikmah, yang terkandung di dalamnya, rahsia. Hanya yang sanggup, hanya yang mahu, hanya yang merasa maka terbukalah rahsia. Kadang-kadang bukan dengan jalan menghafal lafaz Tuhan-Nya, bukan juga dengan tahu dan faham tuntutan-Nya, bukan juga semestinya orang alim, atau yang belajar matan-matan kitabnya semata-mata, tetapi oleh yang berjiwa halus, yang berjiwa seni, yang memandang alam ini dengan rasa, berpakejkan fikrah Islamiyyah.

Teringat saya sewaktu di alam persekolahan, ketika terpengaruh dengan ayat-ayat Allah tentang menundukkan pandangan tersebut lantas terus saya beramal dengannya. Tiap melihat perempuan, saya tundukkan pandangan. Tiap berselisih perempuan, saya tundukkan pandangan sehingga saya tidak dapat bercakap dengan baik dengan rakan sekelas perempuan. Sehingga dicampakkan oleh Allah Taala satu rasa di dalam hati yang tidak dapat saya huraikan di sini.

Rasa semacam satu kelazatan yang diberikan Allah kerana menurut perintah-Nya. Saya tertanya-tanya apakah rasa tadi itu benar-benar dari Allah atau bagaimana sehinggalah saya diizinkan oleh Allah bertemu dengan satu sabda Rasulullah SAW tentang orang yang menundukkan pandangannya akan diberi rasa kelazatan oleh Tuhannya (Kalau ada kawan-kawan yang hafaz hadis ini beritahulah saya).

Allah, Allah, Allah bergetar-getar hati ini tanda bersyukur kepada-Nya. Kadang setengah orang didapat ilmunya dahulu baru dicampak rasanya. Setengah orang pula diberi rasanya dahulu baru dicampak ilmunya.
Demikianlah pendidikan Tuhan kepada hamba-Nya.

Faham saja tanpa rasa, tidak berdaya. Rasa saja tanpa faham, tidak bermaya.

Dari tarikan nafas,
@buyon

15 comments:

  1. Assalamualaikum pak cik!!!

    Salam singgah.

    Entri ini benar mengembalikan zaman sekolah dahulu.

    Betul. Tarbiyah di sekolah dahulu alhamdulillah terbawa-bawa sehingga sekarang. Mula-mula dahulu, sewaktu mengenal tarbiah itu rasa dipaksa-paksakan ke atas kita. Alhamdulillah akhirnya jadi mengerti dan faham dan merasa manisnya bi'ah soleh solehah itu. Sedikit sebanyak, bila keluar dari sekolah, hati dan jiwa masih terkesan dan berhati-hati mengatur langkah dalam dunia serba maju abad ini.

    Kadangkala pelik juga betulkah ada orang menundukkan pandangan sampai terlanggar tiang? Benar-benar terjadi atau sekadar perumpamaan? Takkanlah jalan menunduk pun tidak nampak tiang ada di hadapan? Ke tiang itu berada di tengah-tengah jalan? =)

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam BalQis ... alhamdulillah, memang kalau masa sekolah dulu, ada tarbiyyah dan usrah, inilah antara pengalamannya .. tapi macam yang disebut .. pada saya, jalan tunduk langgar tiang tu sebenarnya hanyalah cerita saja bukan kisah benar pun. Biasalah orang kita bila bercerita akan keluarlah cerita yang penuh perisa termasuklah cerita langgar tiang ..

    ReplyDelete
  3. salam ziarah kepada yg punya tapak.

    sedang membaca n3-n3, sambil rehatkan minda...

    ReplyDelete
  4. salah satu kelebihan kita menundukkan pandangan ialah ia akan membangkitkan sifat dan perasaan malu. Ya, malu untuk melakukan maksiat kepada Allah.

    Dan...betapa penting perasaan malu itu dtg dri jiwa yg bersih dn mantap tarbiahnya

    moga kita sama2x dikurniakan..:)

    ReplyDelete
  5. Ya moga-moga. Bila kita buat perintah Allah dengan tulus, Dia akan campakkan satu rasa dalam hati kita. Bila kita dapat rasa itu, makin mudah kita buat perintah Dia.

    ReplyDelete
  6. Salam,

    Ada lagi yang best Abuyon. Seorang pandang barat dan seorang pandang timur bila bercakap..hehe. Perempuan juga bila bercakap dengan laki tengking2 marah konon takut lembut2 ghairah pula.

    ReplyDelete
  7. Salam syeikh. Wah itu kalau hal ehwal rumahtangga kena handle with care. Silap-silap bergegar tiang arasy. O ya syeikh ada tak hadis yang ana sebut di atas.

    ReplyDelete
  8. Allahhuakbar..
    Salam Abuyon,

    Alhamdulillah..Syukur melihat tulisan ini..
    dan,Perintah Allah itu seni..:)(hati ana tersenyum melihat patahmu ini)

    ReplyDelete
  9. salam Hajia,

    Moga hati kita juga tunduk, sebagaimana
    tunduknya mata, dan
    itulah yang utama.

    Yup, perintah Allah berseni. Teguran-Nya juga
    seni. Dan Alllah, sumber segala
    yang seni-seni

    ReplyDelete
  10. Betul, teringat zaman belajar baca entri ni. Saat yang indah sebenarnya. Teruskan menulis kalam yang bermakna..:)

    ReplyDelete
  11. salam seripagi,

    Terima kasih kerana membaca. Terima kasih atas dorongan. Aduh, payahnya bila ilham ditarik-Nya.

    Kalam ini sudah tumpul ia. Maafkan saya ya, ya ukhti, saya tidak berdaya lagi. Moga Allah menggerakkan ia sekali lagi, memberi rasa lagi, Insya-Allah ..

    ReplyDelete
  12. Assalammua'laikum...alhamdulillah syukran jazilan jazakallahu khairan khatiran ya akhi...
    tundukkan pandangan sampai terlanggar tiang..^-^
    ALLAHU AKHBAR...pendapat akhi org yg pakai cermin mata sengaja xpakai cermin matanya bila berada di khalyak ramai..at least kabur sikit pandangannya, maknanya x nampak sgt kalupun nampak benda tak elok/bukan mahram.tp selalu org kata buang tabiat,huhu.ALLAHU'ALAM...tergantung niat masing2, cara masing2 bgmana mau jaga pndgn..syukran jazilan atas pkongsian..^_^

    ReplyDelete
  13. Waalaikumsalam wm wbt. Iya, kerana Tuhan kita perbuat meski pelik pada mata manusia, atas Tuhankah kita menyerahkan!

    ReplyDelete
  14. "Siapa yang menundukkan pandangan, Allah akan
    menggantinya dengan manisnya iman dalam dada
    (Ibnu al-Qayyim al-Jauziyah, al-Jawab al-Kafi,179)"

    ReplyDelete
  15. Allah, Allah. Terima kasih Tuan Anonymous atas perkataan Ibnu Qayyim tersebut. Itulah barangkali ayat yang dicari oleh saya sekian waktunya. Moga Allah merahmatimu, tuan.

    ReplyDelete