Wednesday, July 22, 2009

Teknologi Yang Hilang

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Jantung mengepam darah, normal. Nafas keluar masuk, biasa.

Saya bukanlah seorang yang technology-wise. Padahal antara bidang yang saya pelajari ialah teknologi dan kejuruteraan. Meskipun begitu, ia tidak menjadikan saya seorang yang pandai teknologi atau ghairah dengannya. Apabila berdepan dengan sesuatu teknologi, lebih-lebih lagi yang baru - saya tidak teruja mana, biasa-biasa. Jantung mengepam darah, normal. Nafas keluar masuk, biasa.

Tuan-tuan, bacalah ini satu cerita. Cerita tentang satu teknologi yang saya namakan teknologi yang hilang. Sewaktu kemunculan teknologi ini, ia jadi fenomena. Teknologi canggih, sofistikated sekali. Adanya, menyenangkan. Adanya, adalah kemajuan. Ya, siapa ada, dia moden sekali. Siapa ada, dia hebat sekali. Siapa ada, dia ke depan. Tetapi besar saiznya, boleh buat plekong anjing. Teringat kepada bekas bos saya. Dibawanya teknologi itu ke sana ke mari, yang saiznya dari siku hingga ke genggam jari. Lagi sekali, yang kalau diplekong anjing pun mati. Tetapi itulah namanya teknologi.



Pertama kali saya menggunakan teknologi ini kerana dihadiahkan oleh isteri tercinta. “Surprise!” kejut isteri saya sambil menghulur teknologi itu ke tangan. Ya, memang satu kejutan apabila isteri menghadiahkan. Lagi terkejut, kerana apabila melihat apa yang ada di tangan. Ya Allah, hadiahnya teknologi itulah. Jantung mengepam darah tak normal. Nafas keluar masuk tak biasa. Wajah saya merah, kerana sudah marah. Wajah isteri merah, kerana sudah kena marah.

“Mahal ni, bakpe beli.”

“Kita bukannya ada pitih.”

“Tanyalah dulu kita sepatah.”

Ah, saya marah padahal isteri menghadiahkan. Ah, saya marah padahal isteri belum menjelaskan. Tiba-tiba, terdengar tangis, teresak-esak menggetarkan. Ah, saya buat dia menangis, padahal dia menghadiahkan dan belum menjelaskan. Darah yang naik ke kepala turun, serta merta. Dengan tangis sedihnya itu, sejuk jadi hati dan kembali fikiran ke landasan.

Maafkan saya ya zaujah, maafkan abang ya zaujah. Abang bodoh, abang lembap. Apabila dalam esakmu, engkau jelaskan baru abang faham. Hey suami, engkau turutkan marahmu sampai engkau tak rasai ikhlas hati seorang isteri. Hey suami, dia hanya mahu berbakti, kenapa sampai dimarahi. Sungguh, engkau jahat.



Maafkan abang ya zaujah. Sungguh, abang jahat. Ya, sudah engkau jelaskan, betapa payahnya hendak menghubungi abang sedang kita berada di kejauhan, seorang di utara dan seorang di selatan. Engkau jelaskan, betapa payahnya menunggu abang di dalam hujan, habis basah. Engkau jelaskan, betapa takut dan bimbang menunggu abang, sorang-sorang. Jelasmu lagi, kalau ada teknologi ini kan senang, boleh komunikasi dan tahu situasi. Hati pun jadi lapang, fikiran tenang. Demikianlah penjelasan, alhamdulillah. Terima kasih ya Tuhan.

Tetapi tuan-tuan, hadiahnya saya dapat, gunanya saya tak dapat tak pandai, apa sebab. Sebabnya saya bukanlah seorang yang technology-wise. Ditekan-tekan tak dapat, tangan tak biasa, kecil sangat bendanya. Itulah antara alasan.

“Mi, ajar mi.” Dengan malu muka, minta isteri ajarkan. Dia memang technology-wise. Beri saja apa, dia cakap. Dengar riwayat, memang dia dari kecilnya macam McGyver, hero pandai teknologi yang cakap dan cekap. Dan dari tunjuk dan ajarnya, saya pandai. Terima kasih ya zaujah.

Bila dikenang semula, kalau isteri tak hadiahkan, payah rasanya nak rasa teknologi yang ini. Sebab pada waktu itu, saya tidak rasa akan keperluannya. Saya seorang yang bila perlu saya beli, tak perlu saya tak beli, biar apa saja materi. Yup, saya tidak mahu terikat dengan tuntutan materi zaman ini. Lagipun, pada fikiran saya momen itu – teknologi yang satu ini boleh mengganggu kehidupan hari-hari. Ya, meski ada kebaikannya yang tidak dapat pula saya mungkiri, tetapi mudharatnya pula pada saya, banyak sekali.

Justeru, kenapa teknologi yang hilang. Ada apa dengan teknologi. Ada apa dengan teknologi yang hilang. Sabar tuan-tuan, duduk perkaranya begini. Adapun teknologi yang dimaksudkan ialah handphone yang saya yakin tuan-tuan sudah maklum dan faham.



Justeru, kenapa hilang. Ada beberapa kejadian. Pertama, handphone saya hilang kerana dicuri orang. Ada sekali, saya melawat isteri yang kesakitan kerana kehamilan di sebuah hospital di utara di Pulau Pinang. Ketika berbaring berehat sebentar di surau, berkenalan dengan seseorang yang katanya juga melawat isteri yang melahirkan. Ketika mata sedang buka dan pejam, dia tiba-tiba memohon pinjam. Betapa lurusnya saya, saya berilah dia pinjam. Handphone itulah. Yalah, adat orang konon berkawan.

Di muka pintu, dia merungut katanya, signal hilang sambil handphone di tangan dihayun-hayunkan. Ah, mata semakin pejam, berbalam-balam. Dia minta hendak keluar katanya, signal makin kuat di luar, hilang di dalam. Ya, ya silakan. Mata ini sudah terpejam, kerana keletihan. Satu minit id minit, tiba-tiba saya dikejutkan Tuhan. Ya Allah, eh mana orang tadi. Lantas, saya bingkas keluar, rasa mengantuk terus hilang. Ya Allah, rasa tak sedap hati. Melilau saya ke sana ke mari. Yang dicari tak ada di sana tak ada pula di sini. Orang dicari sudah hilang.

Saya bergegas ke tingkat atas, sebab tadi dia mengatakan isterinya bersalin di wad atas. Dengan muka yang tak sudah, saya bertanyakan kepada misi, orangnya begini begian ada tak datang sebab isterinya melahirkan.

“Tak ada!” Ya Allah sah handphone saya sudah hilang dicuri orang. Cis, pandai sungguh dia mencari momen, sedang kawan kita ini keletihan. Hey kawan, handphone engkau bukan hilang dicuri orang tetapi ia hilang kerana engkau baik sangat, sangka baik yang amat dengan mana-mana orang. Saya letak di dada, tangan kanan. Saya rasa detak jantung di dalam. Detaknya ada. Saya pun bertanya kepada denyut hati yang dalam. Eh, tak ada apa. Tak ada apa-apa. Jantung mengepam darah normal, nafas keluar masuk biasa – hey apakah tanda.



Kedua, lagi sekali handphone saya hilang kerana juga dicuri orang. Ketika saya tidur mati di surau di sebuah hospital di utara di Terengganu Darul Iman. Sebelum jam 5 pagi, saya berulang-ulang antara balai saf dan wad perempuan. Berulang untuk melihat-lihat zaujah dengan mata celik pejam kot-kot sudah sampai waktu dia melahirkan. Oh, belum. Ya Tuhan, permudahkan dia, jangan memayahkan. “Allahumayassir wa laa tu’assir yaa kariim.” Doa ini saya ulang-ulang.

Saya ulang sampailah mata saya terpejam. Ya Allah, tiba-tiba saya dikejutkan Tuhan. Lampu terang, ada orang sembahyang. Ya Allah, sudah subuh - kenapalah aku tak dengar azan. Ya Allah, ya Allah ada benda hilang. Baju, di kocek kiri dompet, di kocek kanan handset – dua-dua hilang. Ku tarik nafas dalam-dalam, ku seru-seru namamu Tuhan - Allah, Allah, Allah, Allah, Allah sampai gelora laut jiwaku menjadi tenang. Seolahnya saya macam air di kali yang tenang dan nyaman. Cuma barangkali yang agak saya terkilan ialah bilamana mengingatkan handset yang hilang itu pemberian seorang kawan. Meskipun second, harganya kata kawan, seribu bang.

Terakhirnya, yang ini saya katakan teknologi yang benar-benar hilang. Ketika bersiap hendak pergi kerja, tiba-tiba mata terkelih handset di atas lantai, di ruang tamu bertaburan. Oh, jatuh rupanya tak apa. Saya kutip dan saya pasang ia kembali. Siap, saya tekan butang, eh tak hidup pula. Kenapa ya, biasa jatuh begini tak ada apa-apa. O agaknya, bateri talian hayatnya sudah tiada. Teknologi dicaskan, dibiarkan sambil saya mengambil sarapan. Ok, saya tekan lagi sekali dua kali berkali-kali, eh memang tak hidup ni. Tak mahu pening kepala dan panjang cerita, terus saya hantar ke kedai mohon dinyalakan.

Beberapa hari kemudian, tukang pandai teknologi menyatakan handphone tuan memang nyawanya sudah hilang. Terang beliau penuh wibawa - maklumlah tukang – punca utama teknologinya hilang kerana dimasuki air, barangkali hujan. Ah, bila pula saya kena hujan.



“Mi, tukangnya kata handphone buya masuk air,” khabar saya pada isteri. Lantas selamba, dia menjawab, “Oo patutlah, semalam budak-budak ni main kolam.”

“Main kolam?”

“Ya, dia sumbat kain pada lubang bilik mandi. Dibuka pili habis-habisan. Jadilah kolam.”

“Umi rasa adalah yang nombor tiga tu buat kapal yang menyebabkan teknologi buya hilang.”

Ah, anak-anakku. Tak apalah buya tak marah, buyamu tak kisah. Apalah ertinya teknologi itu kalau dibandingkan denganmu anak-anakku, anugerah Tuhan yang paling buya sayang. Biar hilang teknologi, asal jangan engkau yang hilang, wahai anak-anakku.

Dari tarikan nafas,
@buyon

13 comments:

  1. salam,

    betul abuyon, saya pun merasai zaman transasi ini pada tahun 2002. Dengan harga RM300 (masa itu memang sangat mahal) teknologi pun disambar ditangan.

    Tahsiniyat yang sudah menjadi Hajjiyat. Pun bukan peminat tegar teknologi, cuma bila sudah termula.. akan diselidik abis "saudara mara" seangkatan dengannya. eg: komputer, jam etc.

    Kini sudah banyak, murah barangkali, kalau mahu boleh order implan gigi dari jepun letak di mulut.. hehe.

    ReplyDelete
  2. maksud saya implan gigi tetapi telefon. :D tak guna simcard la tapinya.. :D

    ReplyDelete
  3. salam pali. Tahajud lagi? alhamdulillah :) Yang saya cerita yang boleh plekong (BMnya - baling) anjing tu dalam tahun 1995 begitu. Masa tu guna ATUR 011. Memanglah siapa ada HP pada waktu, hebatnya dia kita rasa.

    Yang suka-suka teknologi, gadjet-gadjet ni orang panggil apa ya pali, geek ke apa.

    Nak juga pesan kalau ada sesiapa sudi, gadjet dari Jepun. Nak order beg sekolah Jepun untuk anak-anak, nampak kemas dan tahan lama. Satu lagi, nak juga beli bekas bento-bentonya.. hehe.

    Itulah bila hilang HP saya yang anak rosakkan, masuk air, banyak no. HP yang penting hilang sebab simpan dalam HP, simcard dia dah penuh.

    ReplyDelete
  4. salam,

    Bulan Januari yang lalu, saya juga kehilangan hp, walaupyn hanya Nokia y murah sahaja, hp tu tetap penting. Hilang waktu di Puduraya. Maklumlah ramai orang, saya sendiri tak perasan bila hp dan beg duit saya dicuri. Pantas betul berlaku. Tak sempat nak cari pun siapa yang ambil.

    Sekarang ni memang lebih berhati-hati.

    ReplyDelete
  5. Salam Syahidah. Wah, pengalaman itu sangat dahsyat. Tanpa sedar apa-apa, adalah benar-benar menakjubkan bagaimana sang pencuri beroperasi. Saya pernah kehilangan jam tangan di Puduraya. Tertinggal di tandas, masuk balik sudah hilang padahal waktu kejadian sekejap saja.

    Satu perkara yang kita bimbang ialah, pencuri ini melakukannya dengan teknik pukau. Justeru, kita teguhkanlah benteng hati agar iktan dengan Allah, kuat tidak dapat diceroboh oleh syaitan dan jin mereka.

    Sungguh, ia pengalaman yang sangat berharga.

    ReplyDelete
  6. Salam abuyon,
    Saya juga terlambat memiliki teknologi ini. Tika itu, rasa tak perlu sangat, terutama ketika belajar. Makan pun kena bajet, inikan pulak nak guna hp yg merupakan kos boleh elak. Baik isi perut dari mengkayakan syarikat yg dah kaya....

    Tapi bila Allah berikan rezeki di syarikat telekomunikasi yang memberikan talian dan penggunaan secara percuma, saya kalah akhirnya. Cuma beli hp, lainnya syarikat yang tanggung. Bila dah lama guna, rasa ia dah jadi barang perlu pula... yelah, seperti kata zaujah abuyon, saya juga rasa kepentingan yg sama.

    ReplyDelete
  7. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  8. Yang atas sudah diremove, sebab line slow jadi komen jadi ntah apa-apa. Ini yang betulnya, sila baca ya suara :)

    Salam suara. Inilah yang ada dalam hati saya, bila kita bersabar atas apa yang ada, ditambah oleh-Nya berlipat kali ganda, syukur.

    Tetapi lihatlah pula budak sekolah sekarang. HP canggih gila, kalah kita. Macamana ya mak ayah yang miskin nak belikan HP untuk anak kalau dah didesak-desak. Dengan airmata, barangkali.

    Yang malangnya, teknologi ini disalahguna pula. Masya-Allah.

    O ya jemput ke blog baru kita Hijau Tinta abuyon, di http://hijau-tinta.blogspot atau ada linknya di blog saya, blog sajak saya. Ajak juga kawan-kawan ya :)

    Yang benarnya, saya lebih dulu tulis sajak dari tulis artikel. Dulu, aktif benar hantar sajak di melayu.com. Bila sambung belajar, tiba-tiba sajak tak boleh ditulis lagi, tiada ilham dari-Nya. Kini, nak mula kembali setelah 10 tahun lamanya berhenti. Satu lagi, habis semua fail yang .doc terkena worm. Hilang sajak di komputer, hilanglah pula ilham cipta saya.

    Nak cari semula sajak-sajak lama.

    ReplyDelete
  9. Hero semua nampaknya zuriat?

    Macam ni bukan teknologi aja yang boleh hilang, terkadang kesabaran pun lesap entah ke mana!

    Poin 8 di http://sharudin.com/2009/06/10/sa03-petikan-komen/

    ReplyDelete
  10. Begitulah Pak Din. Hero belaka. Pening jugalah ayah dan bonda, melayan kerenah yang pelbagai pula. Benar pula Pak Din kata, hilang sabarlah kita sesekali-sekala. Kadang naik juga tangan, menangislah depa :) Rotan, wajib ada.

    ReplyDelete
  11. Artikel nie memang mencuit hati..Betul buat sy terkenang 2 putra sy buah hati pengarang jantung yg terpisah antara laut China Selatan..Lahir juga rasa di hati diri miliki kurniaan Allah spt abuyon..Dr yg ada nama.Hajia Binti Keram.

    ReplyDelete
  12. Begitulah anak-anak, penghibur hati. Kadang anak dulu pada isteri, yang menyebabkan cemburu pula isteri.

    Marilah sama kita berkongsi apa yang ada, sebab kita tak tahu dengan asbabnya, boleh hidayah sesiapa.

    Saya menyokong Pn. Hajia menulis di blog, senang saja teknologi ni. Kalau tengok blog saya, simple saja. Sebab yang penting, isi.

    Nantikan artikel saya tentang penulisan di blog Insya-Allah.

    O ya jemput juga baca sajak saya di http://hijau-tinta.blogspot.com

    salam hormat,
    abuyon

    ReplyDelete
  13. nur jihan (jihancancer_2001@yahoo.com)March 27, 2011 at 1:28 PM

    Anak -anak anugerahNYA -
    tiada yg lebih membahagiakan melihat mereka membesar di sisi kita -
    hilangnya teknologi boleh diganti -
    tp hilangnya anak tiada penggantinya -

    ReplyDelete