Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang
Jantung mengepam darah, normal. Nafas keluar masuk, biasa.Saya bukanlah seorang yang
technology-wise. Padahal antara bidang yang saya pelajari ialah teknologi dan kejuruteraan. Meskipun begitu, ia tidak menjadikan saya seorang yang pandai teknologi atau ghairah dengannya. Apabila berdepan dengan sesuatu teknologi, lebih-lebih lagi yang baru - saya tidak teruja mana, biasa-biasa. Jantung mengepam darah, normal. Nafas keluar masuk, biasa.
Tuan-tuan, bacalah ini satu cerita. Cerita tentang satu teknologi yang saya namakan teknologi yang hilang. Sewaktu kemunculan teknologi ini, ia jadi fenomena. Teknologi canggih, sofistikated sekali. Adanya, menyenangkan. Adanya, adalah kemajuan. Ya, siapa ada, dia moden sekali. Siapa ada, dia hebat sekali. Siapa ada, dia ke depan. Tetapi besar saiznya, boleh buat
plekong anjing. Teringat kepada bekas bos saya. Dibawanya teknologi itu ke sana ke mari, yang saiznya dari siku hingga ke genggam jari. Lagi sekali, yang kalau di
plekong anjing pun mati. Tetapi itulah namanya teknologi.

Pertama kali saya menggunakan teknologi ini kerana dihadiahkan oleh isteri tercinta. “
Surprise!” kejut isteri saya sambil menghulur teknologi itu ke tangan. Ya, memang satu kejutan apabila isteri menghadiahkan. Lagi terkejut, kerana apabila melihat apa yang ada di tangan. Ya Allah, hadiahnya teknologi itulah. Jantung mengepam darah tak normal. Nafas keluar masuk tak biasa. Wajah saya merah, kerana sudah marah. Wajah isteri merah, kerana sudah kena marah.
“Mahal ni,
bakpe beli.”
“Kita bukannya ada
pitih.”
“Tanyalah dulu kita sepatah.”
Ah, saya marah padahal isteri menghadiahkan.
Ah, saya marah padahal isteri belum menjelaskan. Tiba-tiba, terdengar tangis, teresak-esak menggetarkan.
Ah, saya buat dia menangis, padahal dia menghadiahkan dan belum menjelaskan. Darah yang naik ke kepala turun, serta merta. Dengan tangis sedihnya itu, sejuk jadi hati dan kembali fikiran ke landasan.
Maafkan saya ya
zaujah, maafkan abang ya
zaujah. Abang bodoh, abang lembap. Apabila dalam esakmu, engkau jelaskan baru abang faham.
Hey suami, engkau turutkan marahmu sampai engkau tak rasai ikhlas hati seorang isteri.
Hey suami, dia hanya mahu berbakti, kenapa sampai dimarahi. Sungguh, engkau jahat.

Maafkan abang ya
zaujah. Sungguh, abang jahat. Ya, sudah engkau jelaskan, betapa payahnya hendak menghubungi abang sedang kita berada di kejauhan, seorang di utara dan seorang di selatan. Engkau jelaskan, betapa payahnya menunggu abang di dalam hujan, habis basah. Engkau jelaskan, betapa takut dan bimbang menunggu abang,
sorang-sorang. Jelasmu lagi, kalau ada teknologi ini
kan senang, boleh komunikasi dan tahu situasi. Hati pun jadi lapang, fikiran tenang. Demikianlah penjelasan,
alhamdulillah. Terima kasih ya Tuhan.
Tetapi tuan-tuan, hadiahnya saya dapat, gunanya saya tak dapat tak pandai, apa sebab. Sebabnya saya bukanlah seorang yang
technology-wise. Ditekan-tekan tak dapat, tangan tak biasa, kecil sangat bendanya. Itulah antara alasan.
“Mi, ajar mi.” Dengan malu muka, minta isteri ajarkan. Dia memang
technology-wise. Beri saja apa, dia
cakap. Dengar riwayat, memang dia dari kecilnya macam
McGyver, hero pandai teknologi yang
cakap dan cekap. Dan dari tunjuk dan ajarnya, saya pandai. Terima kasih ya
zaujah.
Bila dikenang semula, kalau isteri tak hadiahkan, payah rasanya nak rasa teknologi yang ini. Sebab pada waktu itu, saya tidak rasa akan keperluannya.
Saya seorang yang bila perlu saya beli, tak perlu saya tak beli, biar apa saja materi.
Yup, saya tidak mahu terikat dengan tuntutan materi zaman ini. Lagipun, pada fikiran saya
momen itu – teknologi yang satu ini boleh mengganggu kehidupan hari-hari. Ya, meski ada kebaikannya yang tidak dapat pula saya mungkiri, tetapi mudharatnya pula pada saya, banyak sekali.
Justeru, kenapa teknologi yang hilang. Ada apa dengan teknologi. Ada apa dengan teknologi yang hilang. Sabar tuan-tuan, duduk perkaranya begini. Adapun teknologi yang dimaksudkan ialah
handphone yang saya yakin tuan-tuan sudah maklum dan faham.

Justeru, kenapa hilang. Ada beberapa kejadian. Pertama,
handphone saya hilang kerana dicuri orang. Ada sekali, saya melawat isteri yang kesakitan kerana kehamilan di sebuah hospital di utara di Pulau Pinang. Ketika berbaring berehat sebentar di surau, berkenalan dengan seseorang yang katanya juga melawat isteri yang melahirkan. Ketika mata sedang buka dan pejam, dia tiba-tiba memohon pinjam. Betapa lurusnya saya, saya berilah dia pinjam.
Handphone itulah. Yalah, adat orang konon berkawan.
Di muka pintu, dia merungut katanya,
signal hilang sambil
handphone di tangan dihayun-hayunkan.
Ah, mata semakin pejam, berbalam-balam. Dia minta hendak keluar katanya,
signal makin kuat di luar, hilang di dalam. Ya, ya silakan. Mata ini sudah terpejam, kerana keletihan. Satu minit
id minit, tiba-tiba saya dikejutkan Tuhan. Ya Allah,
eh mana orang tadi. Lantas, saya bingkas keluar, rasa mengantuk terus hilang. Ya Allah, rasa tak sedap hati. Melilau saya ke sana ke mari. Yang dicari tak ada di sana tak ada pula di sini. Orang dicari sudah hilang.
Saya bergegas ke tingkat atas, sebab tadi dia mengatakan isterinya bersalin di wad atas. Dengan muka yang tak sudah, saya bertanyakan kepada
misi, orangnya begini
begian ada tak datang sebab isterinya melahirkan.
“Tak ada!” Ya Allah sah
handphone saya sudah hilang dicuri orang.
Cis, pandai sungguh dia mencari momen, sedang kawan kita ini keletihan.
Hey kawan,
handphone engkau bukan hilang dicuri orang tetapi ia hilang kerana engkau baik sangat, sangka baik yang amat dengan mana-mana orang. Saya letak di dada, tangan kanan. Saya rasa detak jantung di dalam. Detaknya ada. Saya pun bertanya kepada denyut hati yang dalam.
Eh, tak ada apa. Tak ada apa-apa. Jantung mengepam darah normal, nafas keluar masuk biasa –
hey apakah tanda.

Kedua, lagi sekali
handphone saya hilang kerana juga dicuri orang. Ketika saya tidur mati di surau di sebuah hospital di utara di Terengganu Darul Iman. Sebelum jam 5 pagi, saya berulang-ulang antara balai saf dan wad perempuan. Berulang untuk melihat-lihat
zaujah dengan mata celik pejam
kot-kot sudah sampai waktu dia melahirkan.
Oh, belum. Ya Tuhan, permudahkan dia, jangan memayahkan.
“Allahumayassir wa laa tu’assir yaa kariim.” Doa ini saya ulang-ulang.
Saya ulang sampailah mata saya terpejam. Ya Allah, tiba-tiba saya dikejutkan Tuhan. Lampu terang, ada orang sembahyang. Ya Allah, sudah subuh - kenapalah aku tak dengar azan. Ya Allah, ya Allah ada benda hilang. Baju, di kocek kiri dompet, di kocek kanan
handset – dua-dua hilang. Ku tarik nafas dalam-dalam, ku seru-seru namamu Tuhan -
Allah,
Allah,
Allah,
Allah,
Allah sampai gelora laut jiwaku menjadi tenang. Seolahnya saya macam air di kali yang tenang dan nyaman. Cuma barangkali yang agak saya terkilan ialah bilamana mengingatkan
handset yang hilang itu pemberian seorang kawan. Meskipun
second, harganya kata kawan, seribu bang.
Terakhirnya, yang ini saya katakan teknologi yang benar-benar hilang. Ketika bersiap hendak pergi kerja, tiba-tiba mata terkelih
handset di atas lantai, di ruang tamu bertaburan.
Oh, jatuh rupanya tak apa. Saya kutip dan saya pasang ia kembali. Siap, saya tekan butang,
eh tak hidup pula. Kenapa ya, biasa jatuh begini tak ada apa-apa.
O agaknya, bateri talian hayatnya sudah tiada. Teknologi dicaskan, dibiarkan sambil saya mengambil sarapan.
Ok, saya tekan lagi sekali dua kali berkali-kali,
eh memang tak hidup
ni. Tak mahu pening kepala dan panjang cerita, terus saya hantar ke kedai mohon dinyalakan.
Beberapa hari kemudian, tukang pandai teknologi menyatakan
handphone tuan memang nyawanya sudah hilang. Terang beliau penuh wibawa - maklumlah tukang – punca utama teknologinya hilang kerana dimasuki air, barangkali hujan.
Ah, bila pula saya kena hujan.

“Mi, tukangnya kata
handphone buya masuk air,” khabar saya pada isteri. Lantas selamba, dia menjawab, “
Oo patutlah, semalam budak-budak
ni main kolam.”
“Main kolam?”
“Ya, dia sumbat kain pada lubang bilik mandi. Dibuka pili habis-habisan. Jadilah kolam.”
“Umi rasa adalah yang nombor tiga
tu buat kapal yang menyebabkan teknologi buya hilang.”
Ah, anak-anakku. Tak apalah buya tak marah, buyamu tak kisah. Apalah ertinya teknologi itu kalau dibandingkan denganmu anak-anakku, anugerah Tuhan yang paling buya sayang. Biar hilang teknologi, asal jangan engkau yang hilang, wahai anak-anakku.
Dari tarikan nafas,
@buyon