Sunday, February 22, 2009

Ayam Oh Ayam

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

“Ayam bermacam ayam, ada ayam kampung, ayam daging …”
entah betul atau tidak, saya cuba-cuba menyanyi sambil cuba-cuba mengingati lirik bertajuk ayam, nyanyian Jalil Hamid yang pernah famous satu ketika dulu, tetapi tak ingat sebab memang tak hafal pun.

Antara daging haiwan yang paling diminati sebagai hidangan makanan, dulu dan sekarang ialah ayam. Kalau lembu atau kambing, kita sebut daging dan namanya selepas itu, tetapi berbeza dengan ayam. Kita tak sebut daging dan ayam selepas itu, kita hanya menyebutnya ayam.

Sebut ayam, namakan saja gaya dan menu masaknya; ayam goreng, ayam goreng berempah, ayam masak madu, ayam masak asam, ayam gulai, ayam masak lemak cili api, ayam goreng kunyit, ayam masak rendang, ayam percik, ayam golek dan macam-macam fesyen lagi. Belum ditambah lagi menu ayam yang dipakejkan dengan pelbagai jenis nasi; nasi ayam, nasi ayam Hainan, nasi kukus ayam goreng berempah, nasi lemak ayam, nasi beriani ayam dan terbaru, yang saya teringin cuba ialah nasi ayam organik HPA. Ada lagi, chicken chop, burger ayam, tom yam ayam, satay ayam, nugget ayam, sup ayam, sosej ayam dan banyak lagi. Itu belum diceritakan lagi bagaimana telurnya dipelbagaikan gaya dan kaedah masaknya. Biar bagaimana gaya dan menu masakannya, ayam tetap ayam dan orang tetap suka ayam, suka makan ayam.



Justeru, berterima kasihlah kita sebanyak-banyaknya, kepada Allah SWT sebab Dialah yang menciptakan binatang yang bernama ayam ini, yang semua orang tak kira tua atau muda, miskin atau kaya suka memakannya, yang semua bangsa dan semua agama dibolehkan memakannya, tidak mengharamkannya.

Selain makanan dan menjadi bahan perniagaan, ayam juga menjadi punca manusia derhaka kepada Tuhan kerana menzalimi ciptaan Tuhan ini dengan pertandingan laga ayam. Meskipun laga ayam masih ada sekarang tetapi tidaklah berleluasa lagi, tidak sehebat dulu-dulu. Orang kita dulu menjadikan ayam sebagai laga pertandingan macam orang kita sekarang menjadikan manusia sebagai objek pertandingan, samada lelaki atau wanitanya. Lagi hebat, lagi dahsyat, menjadi obses di hadapan TV.

Seringkali juga, ayam ini dikaitkan dengan perkara yang tiada kualiti misalnya, “Nak buat macamana, asyik rosak je, dah memang mesin basuh ni cap ayam.”

Barang-barang atau pakaian kalau rosak, dikatakan cap ayam, jenama tidak berkualiti, walhal ayam itu hari-hari dimakannya. Kalau hendak makan sardin, cap ayam jugalah yang menjadi pilihan utama dan pertama, cap lain tak mahu dia. Ayam juga antara objek yang sering menjadi subjek kepada pepatah, perumpamaan, peribahasa dan bidalan orang Melayu,


“Kokok berdegar-degar, ekor bergelumang tahi.”
“Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.”

“Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.”


“Cakar ayam, ajak-ajak ayam, tidur-tidur ayam, ayam tambatan, ibu ayam, ayam pencen, ayam berak kapur,” sebut isteri satu persatu setelah saya memaksanya menyenaraikan apa saja peribahasa dan perumpamaan Melayu tentang ayam. “Ayam togel?” saya menyampuk, sambil ketawa isteri beredar ke dapur setelah puas memerah otak, menolong saya.


Betapa taksubnya kita dengan ayam, sampaikan kulitnya pun kita makan meski diberitahu bahayanya kepada kesihatan. Selain kulit, yang paling mengasyikkan sekali bagi penggemar ayam ini ialah, makan ayam sampai ke tulang sum-sumnya. Dikunyah dan dimamahnya tulang sampai ke sut, kata orang Terengganu. Bukan makan tinggal tulang lagi dah, tetapi makan sampai tulang-tulang pun hilang. “Habis jin kelaparan,” isteri mencelah selamba.


Saya? Saya sendiri pun suka makan ayam, tetapi tidaklah sampai menjilat jari. Alhamdulillah, lidah dan tekak saya, lidah dan tekak orang Terengganu. Makan ikan lebih saya suka dari makan ayam, meskipun kadang-kadang jenis ikan tidaklah saya kenal sangat. Ikan yang digoreng, ikan goreng apa saja jenis yang dimakan bersama nasi dan sambal serta sedikit ulam sudah memadai buat saya sebagai hidangan tengahari. Sangat sedap lebih-lebih lagi dimakan saat perut ini tiba-tiba berkeriut, berkeroncong.

Teringat saya ketika bekerja di KL, ikan bakar yang paling sedap saya pernah makan ialah, ikan terubuk bakar dengan air asam dan ulamnya di pasar Datuk Keramat. Ringkas saja hidangannya tetapi ada umph. Entah masih wujud atau tidak gerai ikan bakar itu di sana sementalahan pula sekarang, sudah siap pasar besar moden tidak berapa jauh dari situ, yang saya yakin banyak pula peniaga yang berasa payah untuk berpindah ke sana.

Paling saya suka, ikan aya samada digoreng atau dimasak asam. O ya ikan aya, kalau sebelah luar, dipanggil orang ikan kayu atau ikan tongkol. Sebut ikan aya, ingat saya kepada nasi lemak. Pada lidah saya, nasi lemak negeri Terengganulah yang paling sedap kerana, dimakan dengan ikan aya. Itulah nasi lemak tradisional gaya Terengganu, dimakan bersama ikan aya atau kadang-kadang dimakan dengan ikan bilis. Selain nasi lemak, nasi dagang dengan ikan ayanya juga menjadi kegemaran, maklumlah tekak orang Terengganu. Pun begitu, ada juga kawan-kawan apabila sarapan bersama, dipesannya nasi dagang dengan lauknya, ayam. Waduh, hebat sungguh penangan ayam.

Saya yakin, kita dan anak-anak, sebut sahaja ayam goreng pasti terbayangkan KFC. Dan barangkali di negara kita ini, ayam goreng KFClah ayam goreng yang paling sedap sekali dengan resipi asli dan rahsianya, yang kita makan sampai menjilat-jilat jari.

Kawan-kawan, menjilat jari ini pada kita, ada dalam sunnah Rasul-Nya, ada hikmah kesihatan di sebaliknya, namun setengah orang apabila kita makan dan menjilat jari dipandangnya sebelah dengan tajam mata. Tetapi apabila KFC menjadikan “sehingga menjilat jari” ini taglinenya, kita yang pandang sebelah dan tajam mata tadi, sungguh-sungguh pula makan sehingga menjilat tak cukup jari. Dan seringkali juga, apabila kita meraikan sesuatu kejayaan, paling mudah ialah, berbelanja ayam goreng di KFC dengan segala macam makneka aksesorinya. Tetapi ingatlah kawan-kawan, siapa di belakang kesedapan ayam goreng KFC. Ketika kita sedang enak meratah kepak ayam KFC, saudara kita di Palestin sedang enak diratah Yahudi dengan peluru.

Saya sudah lama tidak makan ayam KFC. Pertama, kerana memboikotnya, sudah lama. Kedua, sebabnya itu bertambah kuat, semenjak membaca buku Produk Halal oleh Ustaz Ahmad Adnan dan menyaksikan video halal dan haram oleh PPIM, saya meragui status halal haram ayam daging pada hari ini, samada kaedah sembelihannya atau sumber yang menjadi bahan makanannya atau vaksin yang menjadi suntikan hormonnya. Bukan sahaja KFC malahan ayam-ayam daging di pasaran sekarang.

Dek kerana banyaknya permintaan ayam, dicarilah orang alternatif cara sembelihannya. Mana larat, mana sanggup kalau sehari beratus, beribu ekor ayam hendak disembelih macam biasa. Digunakanlah kaedah renjatan, atau diselam ke dalam air, yang kadang-kadang belum disembelih, sudah menjadi bangkai ayam itu. Allah, bangkai yang menjadi hidangan.

Justeru, saya dan keluarga sekarang istiqamah, memilih ayam organik HPA sebagai hidangan, yang saya yakin sahih halalnya. Meski harga sedikit mahal berbanding ayam daging biasa, tetapi amat berbaloi lantaran keyakinan terhadap halalnya, yang nanti menjadi rezeki kepada anak-anak.

Impaknya, kini saya lebih berhati-hati terhadap hidangan ayam apabila menjamu selera samada ketika makan di luar atau ada jemputan. Saya memilih untuk tidak makan ayam meski kadang-kadang kecur juga liur melihat dan terbau aromanya. Tegasnya, saya tidak lagi memakan ayam selain ayam organik, dan saya mohon kepada Allah SWT agar saya tetap dan konsisten di dalam pemeliharaan-Nya.

Ayam organik Dr. Zainol juga menjadi pilihan sekiranya bekalan ayam HPA terputus, kerana mempunyai modus operandi dan matlamat yang sama, halalan dan toyyiban. Barangkali selepas ini, akan muncul pula tagline sebegini, “Sehingga menjilat jari, bukan ayam KFC tetapi ayam RFC.” Moga Allah SWT membuka jalan, ameen. Alah membeli, menang memakan.




Teringat saya kepada kisah Sayyidina Abu Bakar As Siddiq, tatkala beliau mendapat tahu yang makanan yang sedang dimakan itu adalah makanan syubahat maka beliau mengorek-ngorek mulutnya hingga muntah-muntah, kemudian berkata, "Wahai Tuhanku, janganlah Engkau bertindak ke atasku apa yang telah dihisab untuk peluh dan yang telah bergaul dengan perut panjang."


Kita adalah apa yang kita makan. “You are what you eat,” tegas saya kepada audiens ketika menyampaikan ceramah satu ketika dahulu. Dan apa yang kita makan, menunjukkan siapa kita. Baik makanan kita, baiklah kita. Kotor makanan kita, kotorlah kita. Jadi, saya tidak mahu makan sesuatu yang saya ragui statusnya. "Yang halal itu jelas, yang haram itu jelas dan antara keduanya terdapat yang syubhah," tegas Rasulullah SAW.

Sabda Baginda lagi, "Ketahuilah! Sesungguhnya dalam diri manusia ada seketul daging. Bila baik daging itu, baiklah seluruh jasad. Bila rosak, rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah! itulah hati."


Ini punch line tulisan saya kali ini – saya menyesal, sangat-sangat menyesal kerana tidak mengamalkan fatwa tentang ayam yang saya telah tahu, lama dahulu, puluhan tahun dahulu. Dan sekarang, fatwa tersebut terbukti dengan banyaknya penemuan dan kajian tentang status halal dan haram ayam ini. Justeru, saya sangat-sangat bersyukur kepada-Nya saat mengetahui kebenaran fatwa tersebut. Ya Allah, sejuta terima kasih kepada-Mu ya Allah kerana menggerakkan aku, mengingati semula ilmu-Mu yang diberikan melalui lidah tuan guru kami pada satu masa dahulu. Guru dan sahabat saya, pernah memberitahu, pada tahun 1996 tentang fatwa yang dinyatakan oleh tuan guru, syeikh kami pada tahun 80-an,

“Jangan kamu makan sembelihan pada hari ini. Sembelihan hari ini telah samar-samar. Lebih baik kamu makan ikan yang di laut.”

Mohon ampun ya Tuhan, maafkan saya ya syeikh. Bukan saya tidak tahu soal-soal halal dan haramnya ayam ini. Bukan saya tidak pernah mencuba, tetapi lemahnya enjin hati menyebabkan tak kuat menanggung meter perjalanan. Lemahnya ikatan dengan guru, menyebabkan jauh dari rahmat-Mu, ya Allah.

Nampak sangat pengaruh ayam dalam kehidupan manusia, lebih-lebih lagi orang kita. “Macam dah tak ada benda lain nak makan,” tambah seorang kawan, apabila saya bercerita obsesnya orang Melayu terhadap ayam.

Dan sebagai penutupnya, saya tuliskan senario biasa orang kita yang mengaku Allah itu Tuhan kita, bilamana berhadapan dengan nikmat ayam atau hidangan makanan yang lainnya.

“Biar bagaimana gaya dan menu masaknya, sokmo-sokmo kita terlupa untuk bismillah, menyebut nama-Nya sebelum memakannya dan mengakhirinya dengan sendawa, bukan alhamdulillah, memuji dan memuja-Nya.”

Jangan lupa juga, tentang kepatuhan ayam sebagai hamba Allah terhadap aturan waktu-Nya, dialah lebih dulu menyembah Tuhan, di samping menyeru-nyeru umat manusia dengan kokok nyaringnya di subuh-subuh hari.

Malu sikit kita!

Dari tarikan nafas,
@buyon

4 comments:

  1. abuyon...
    tp ana konpius la..antara ayam dan telor ayam...yg mn 1 ada dl??? hehe...

    ReplyDelete
  2. O senang aje tu, pertama, tak payah pening kepala nak fikir, antara ayam dan telur ayam, bismillah ngap makan saja, hehe. Kedua, boleh juga kita tamsilkan kejadian ayam ini sebagaimana Allah SWT jadikan Nabi Adam AS, Baginda dijadikan dari tanah, bukan dari air mani. Justeru, barangkali ayam terus diciptakan Allah SWT, tak perlu telur untuk pertama kalinya.

    ReplyDelete
  3. salam ziarah...RFC...cawangannya dah sampai ke mana ya? Kami di lembahkelang tertunggu2 juga.

    ReplyDelete
  4. Rasanya baru ada dua. 1. Sungai Petani. 2. Alor Setar. HPA sedang mengusahakan agar setiap negeri dan tempat yang berpotensi ada RFC. Jadi, kalau ada pelabur yang berminat share 50:50 dialu-alukan. Boleh baca di http://www.hpa.com.my

    Jom mari kita sama-sama sokong ekonomi ummah.

    ReplyDelete