Tuesday, February 10, 2009

Suara Rasa Dari Jendela Seni

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Segala puji bagi-Mu ya Allah!

Buat renungan sahabatku di medan seni, jauh di mata dekat di hati. Buat tilikan taulanku yang rendah diri dan baik hati – bacalah alam ini, sebagaimana Firman Tuhanmu.

Pandanglah alam ini dari rasa jendela seni. Nescaya berkatalah hati pada diri sendiri betapa indahnya alam ini, betapa rapinya ciptaan Ilahi, betapa agungnya ALLAH sendiri. Rupanya yang dicari ada di sisi, tidak ke sana, tidak ke sini. Terpegun kagum jadi nanar. Tak terluahkan oleh lidah ini, tak tergambarkan akal ini, tak terkarangkan tangan ini. Hanya yang berbakat sahaja sanggup menyatakan rasa ini, mengikut ke mana bakatnya jatuh, menurut pula ke mana rasanya tumpah. Dan hanya yang sanggup itulah itulah yang berjiwa seni, hanya yang sanggup itulah anugerah diberi.

Berdebur ombak di pantai, hijau tumbuhan di rimba, berdesir angin di angkasa, subur tanah di bumi, merah mentari di ufuk, terang rembulan di langit, siapakah pula yang sanggup merasa sanggup pula menyata. Dan kalau anda seorang pengarang, tertumpahlah dakwat hitam di atas kertas putih. Dan jikalau anda seorang penyair, terangkumlah kata-kata indah di ruang kasa. Dan andainya anda seorang pelukis, tercalitlah campuran warna di kanvas yang tak terlukiskan orang kebanyakan. Tak tertahan, anugerah itu datang mencurah-curah laksana air kali mengalir ke lembah, tanpa disekat tanpa dibatas. Bukan paksaan, bukan keluhan tetapi itulah dipanggil orang – ilham.

Dan terlihatlah oleh kita pada hari ini, manusia sangat asyik hatinya. Lalai pada Tuhan, mengisi hati nurani dan sedap telinga dengan irama dan hiburan yang bermacam-macam. Tegaklah bulu roma ini, berpinarlah mata ini, hibalah hati ini melihatkan kejadian itu. Kadang-kadang berubah peribadi dan cara pakainya baik lelaki mahupun perempuan, baik tua ataupun muda, tak mengira usia dan tak mengenal siapa, hilang rasa malunya – pada masyarakat dan Tuhan. Tatkala itu, nafsu dan syaitanlah yang menjadi raja. Akan karamlah sebuah jiwa – rosak. Akan karatlah rasa hati – gelap dan akan hapuslah rasa seni – kosong.

Suara Ilham
Kemudian, terbit pula dari sana sekumpulan anak-anak muda kita, berperibadi gagah, berpandangan jauh dan menjadi syiar pula buat mengisi kekosongan ini, ilham dari ALLAH barangkali. Lahir mereka ke tengah masyarakat laksana sekumpulan bangau putih di tengah gagak-gagak hitam. Kadang-kadang, sanjungan jadi santapan. Kadang-kadang caci hamun jadi makanan. Teguhkan hati, pantang mundur!

Tercetus dari ilham, sanggup pula menyatakan pada khalayak, buat mereka yang lalai. Dari rasa hati yang bersih murni, dari momentum ilham tadi – minta diluahkan, mereka menyatakan rasa itu dengan suara-suara harmoni, dengan kata-kata yang menambat hati pendengar kepada kemuliaan akhlak, keagungan Rasul dan kebesaran Ilahi.

Nyatalah kepada kita, mereka itu dianugerah ALLAH, ilham yang seni. Padahal mereka sendiri, sebenarnya ilham dari rasa seni tadi. Demikian lahirlah suara-suara harmoni diberi nama – Raihan, diberi nama – Hijjaz, diberi nama – Rabbani dan banyak lagi buat menyemarakkan lagi alam ini dengan suara-suara indah memuji-muja Ilahi.



Suara rasa dari jendela seni – suatu ilham, suatu hiburan dan suatu persembahan semacam syiar yang mengutamakan kekuatan mesej, keutuhan peribadi dan keharmonian irama lebih dari penggunaan alat-alat muzik semata. Bukan akal jadi sasaran, tetapi jiwa itulah. Bukan minda jadi tumpuan, tetapi hati itulah. Maju terus pemuda Rabbani, maju terus sahabat Mujahid, maju terus sahabat Amal. Seruanku – moga-moga ALLAH memberkati. Moga-moga cita dan cinta kalian di sanalah bersemadi.

Ilham Rasa,
Abuyon
Keramat Wangsa, Isnin, 13 Oktober 1997
3.46 pagi




Entry di atas adalah antara tulisan saya untuk cuba-cuba menulis, yang dicetuskan oleh kuatnya pengaruh Buya Hamka dalam diri ini. Beliaulah sumber inspirasi saya. Pernah pada satu ketika, saya obses mengumpul buku-buku beliau, saya selongkar kedai-kedai buku di KL, Pustaka Antara antara yang masih saya ingat hingga balik kampung di Terengganu. Alhamdulillah, banyak bukunya menjadi koleksi saya termasuklah setengah dari tafsirnya, Al-Azhar.

Tulisan ini saya dedikasikan khas kepada Ustaz Amal kerana beliau adalah sebagaimana yang saya nukilkan di atas. Yang utamanya, kerana beliau istiqamah dengan perjuangannya, dengan konsep solonya. Sedangkan solo yang lain, hilang dan ghaib. Ustaz, pada masa tersebut rasanya ustaz bersama Raihan. Tabik ustaz!

Tulisan ini juga saya tujukan kepada kawan-kawan yang berjiwa seni yang terkandung di dalamnya roh Islamiah samada penyairnya, penulisnya, pelukisnya, penasyidnya dan lainnya.

Dari tarikan nafas,
@buyon

Saturday, February 7, 2009

Saat Langit Berwarna Merah Saga

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Ya Allah! Ya Allah! Hancurkan mereka,
jahanamkan mereka!

Ya Allah, menitis lagi airmataku. Kali ini bukan membaca kisah tetapi menyaksikan video-video Palestin di dalam satu program, yang sarat dengan darah, api, perjuangan dan peperangan. Kali ini bukan menitis lagi, tetapi saya menangis semaunya, tak dapat ditahan-tahan lagi. Terasa darah naik sampai ke kepala. Seolah-olah mahu pengsan saja. Rasa mahu terkeluar segala yang ada. Rasa terlepas apa yang disimpan selama ini di dalam hati. Mujurlah ramai orang, kalau tak pasti saya meraung dan menjerit. Ya Allah, sungguh saya menangis, dari hati yang paling-paling dalam.

Saat mendengar seruan pidato dalam bahasa Arab yang diterjemah pada skrin, meremang bulu roma saya, naik semangat. Saat mendengar jeritan hati anak Palestin, ya Abi! ya Abi! Sebak hati ini, menangis rawan. Mata sudah berkaca, airmata mengalir laju. Sambil mengesatnya, saya tidak upaya pun untuk melihat apa yang berlaku di sekeliling. Hilang rasa malu kepada orang. Rasa marah, geram dan sedih, kesal memuncak-muncak bercampur baur.



Kemuncak rasa saya ialah apabila seorang ibu menyatakan kekesalannya, marahnya dan kecamannya yang ditujukan kepada seluruh umat Islam yang ada sekarang, yang sedang menonton mereka dibantai, yang sedang mengenang nasib mereka di Palestin. Ya Allah, ya Allah, tatkala mesej itu sampai ke hati dan akal saya, saat itulah terasa darah dan segala uratnya naik ke muka. Seolah-olah ibu itu berada di hadapan saya. Seolah-olah kata-kata itu ditujukan kepada saya. Airmata ini terus mengalir mahu dan laju, tak dapat ditahan lagi. Saya sudah tidak peduli keliling-kelalang saya. Saya sudah tenggelam dalam dunia saya.

Ya Allah, bagaimana mahu saya nukilkan di sini, perasaan saya ketika itu. Saat itu, hati dan jiwa saya berperang, berkecamuk. Rasa malu yang amat, tercabar yang amat. Rasa sungguh sangat tidak berguna, seolahnya saya sedang dihempaskan dari tempat yang tinggi, ke batu yang sangat keras. Pecah hati saya ini mendengar luahan hati seorang ibu Palestin, saudara seagama saya. Memang dia berkata kepada saya di depan dan atas muka saya!

Bagaimana tuan kalau ada seorang ibu, seorang ibu yang berada di tengah-tengah medan perang, yang dipenuhi darah dan isi lainnya dengan kudrat yang lemah mengangkat senjata meski hanya batu-batu kerikil melawan tentera-tentera Yahudi, di hadapan tuan, di muka tuan melemparkan segala kekesalan, marahnya dan cabarannya. Bagaimana tuan?

Kita saudara seagama, tetapi kita tidak dapat berbuat apa-apa. Tak ada batu! Maaf jika saya sekasar ini di sini, saya sebutkan juga kata cela itu, yang saya tujukan pada saya sendiri. Barangkali itulah yang mahu ibu itu katakan. Ya Allah, yang kita mampu, hanya menonton saja. Ya manusia, buatlah apa-apa, buatlah apa-apa, buatlah apa yang terdaya. Mengecam, menyesal, marah, berdoa, demo, derma, boikot dan apa saja, demi saudara kita, tuan buatlah! Jangan banyak alasan, jangan banyak bicara, jangan banyak berkira!

Ya Allah, hati ini meraung dan merintih, apabila dimalukan, dicabar dan dicela oleh seorang ibu. Maafkan saya ibu, maafkan saya saudara di Palestin. Ampunkan aku ya Tuhan.

Ya Allah, hati ini menjerit, melihatkan anak-anak Palestin dibunuh, dibom dan dilukakan. “Biadap sungguh engkau Yahudi! Kurang ajar engkau Yahudi! Jahanam engkau Yahudi! Jahanam engkau Amerika! Ya Allah Engkau hancurkan mereka, Engkau jahanamkan mereka!” Laung mulut dan jerit hati saya, sekuatnya.

Ya Allah, telah lama hati ini didesak-desak menulis sesuatu untuk Palestin, tetapi baru saat ini, hati ini tergerak. Bukan tidak mahu, tetapi tidak tahu. Lantas, ibu tadi telah menyedarkan saya, niat yang lama terpendam. Terima kasih ibu. Ya Allah bukan dia, bahkan Engkaulah jua yang telah menggerakkan saya!

Ya Allah, jika Nabi-Mu mengajar, seseorang apabila saudara yang lainnya bersin, dan lidahnya terlancar kalimat alhamdulillah, hendaklah engkau sambut dan mendoakannya, yarhamkallah. Begitu ajaran Nabi. Itu kalau terbersin, betapalah ini, kejadian ini, peristiwa pembunuhan ini, yang berlaku kepada saudara-saudara kita di Palestin!

اللهم اُنْصُرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُجَاهِدِينَ عَلىْ اليَهُود..اللّهم انْصُرْناَ عَلَيْهِم فِي كُلِّ مَكَانٍ..اللّهمّ أَرِناَ فِيْهِمْ عَجَائِبَ قُدْرَتِكَ .. اللّهمّ أًحْصِهِمْ عَدَداً وَاقْتُلْهُمْ بَدَداً وَلاَ تُغَادِرْ مِنْهُمْ أَحَداً..اللّهمّ اجْعَلْهُمْ غَنِيْمَةً لِلْمُسْلِمِيْن..اللّهمّ اجْعَلْ سِلاَحَهُمْ فِي صُدُوْرِهِمْ وَكَيْدَهِمْ فِي نُحُورِهِمْ وَتَدْبِيْرِهِمْ تَدْمِيْراً لهَمُ , اللّهمّ اْجْعَلْ الملائكةَ تُعِيْنُ المسلمين ..اللّهمّ سَدِّدْ رَمْيَهُمْ .. اللّهمّ سَدِّدْ رَصَاصَهُمْ


"Ya Allah, bantulah muslimin dan pejuang Islam dalam pertempurannya dengan Yahudi. Ya Allah, bantulah kami mengalahkan mereka di mana-mana saja. Ya Allah, tunjukkan mereka keajaiban kuasa-Mu. Ya Allah, jadikanlah mereka boleh dibilang dan janganlah Engkau lepaskan mereka walau seorang. Ya Allah jadikanlah senjata dan harta mereka sebagai rampasan di tangan kaum muslimin. Ya Allah, jadikan senjata mereka mengenai dada mereka sendiri, dan helah mereka mengenai tengkuk mereka, dan perancangan mereka menghancurkan mereka sendiri. Ya Allah, jadikanlah malaikat membantu kaum muslimin. Ya Allah, tepatkanlah tembakan dan lontaran mereka."

Saya tujukan doa ini kepada saudara kita di Palestin, yang dipetik daripada Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman. Saya juga tujukan perkataan di bawah ini kepada semua, kepada saudara seagama dan agama lainnya, kepada yang ada rasa kemanusiaan, kepada PBB, OIC, EU dan kerajaan-kerajaan yang ada, kepada Yahudi dan Amerika, kepada semua yang memekakkan hati dan telinga atas kejadian ini. Meminjam patah sajak Usman Awang, “Jika kita menyesali kematian atas seseorang, dan hati tidak berdenyut untuk kematian yang lain, maka kemanusiaan tidak ujud di mahkota kebenaran, sebab bukanlah kemanusiaan bila ia ada perbatasan.”

Terngiang-ngiang di telinga, nasyid Merah Saga oleh kumpulan Shoutul Harakah;

Saat langit berwarna merah saga
Dan kerikil perkasa berlarian
Meluncur laksana puluhan peluru
Terbang bersama teriakan takbir

Semua menjadi saksi
Atas langkah keberanianmu
Kita juga menjadi saksi
Atas keteguhanmu

Ketika Yahudi-yahudi membantaimu
Merah terkesimbah di tanahairmu
Mewangi harum genangan darahmu
Membebaskan bumi jihad Palestina
Perjuangan telah kau bayar dengan jiwa
Syahid dalam cinta-Nya

Kematian itu samada dibunuh atau
Penyakit ialah perkara yang sama
Kita semua menunggu
hari terakhir hidup kita
Tiada yang berbeza
samada ditembak Apatche atau
kerana sakit jantung
Saya memilih dibunuh dengan
Apatche …

[Asy-Syahid Dr. Aziz Rantisi]

Ketika saya menceritakan kepada isteri, yang saya sampai menangis melihat tayangan video tersebut, dia mencelah, "Kalau tengok ke tuan, bekeng, tapi nangis juga, lembut hati." Aduh, saya rasa terkena tetapi berfikir sejenak, kemudian sambil-sambil tersenyum, saya menjawab, "Ummi, tak ingatkah ummi cerita Sayyidina Umar yang tak percaya Nabi sudah wafat. Umar begitu bekeng tapi dia menangis juga, tak tahan hati." Saya menyambung lagi, "Bekeng ada tempatnya, lembut pun ada tempatnya."

Justeru kawan, saya pasti akan menulis lagi, untuk saudara seagamaku jika ada izin-Nya, Insya-Allah. Saya berdoa juga kepada-Nya supaya rasa dan semangat ini jangan sampai bermusim, biar terus -terus sampai terbebasnya Al-Aqsa di bumi Palestin!


Dari tarikan nafas,
@buyon

Thursday, February 5, 2009

Antara Gerak

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Allahu Akbar! Sungguh, Allah itu Maha Besar

Telah berlaku semalam, satu gerak di negeri Perak yang menggemparkan semua orang, baik orang itu orang baik atau orang jahat. Baik orang itu orang BN atau orang PR, baik orang itu orang atas atau bawah pagar. Baik orang itu orang atas-atas atau orang bawah-bawah, baik orang itu orang serba tahu atau serba tak tahu. Semua orang jadi gempar sebab gerak itu.



Ya, gerak itu apabila bergerak, orang pun tak jangka, biarpun orang itu pakar dalam hal jangka-menjangka. Lain yang dijangka, lain pula yang bergerak. Yang dijangka tak bergerak. Yang tak dijangka pula yang bergerak.

Gerak banyak gerak. Gerak yang dimaksudkan ini lebih agresif dari berjalan, barangkali lebih agresif dari berlari, gerak yang namanya lompat. Justeru, pada saya orang yang melompat itu mestilah orang yang lebih agresif dari sekadar agresif. Cuma kita tidak tahu, agresifnya yang lebih itu memang sikapnya begitu atau jadi begitu sebab ada orang agresif yang mengasak-ngasak, menghentak-hentak. "You jump, I jump," sampuk seorang kawan sambil-sambil ketawa.

Dalam dunia ciptaan Tuhan ini, tidak banyak makhluk ciptaan-Nya yang dikurniakan gerak lompat ini. Kalau begitu, gerak lompat ini adalah gerak khas. Tak semua orang boleh buat. Tak semua binatang boleh buat. Kalau begitu, spesisnya tentulah unik dan boleh dibilang-bilang. Antara spesis tersohor dengan gerak lompat-lompat atau gerak-gerak lompat ini ialah katak. Jadi, pada saya kalau kita nak tahu kenapa dan mengapa gerak itu terjadi, kenalah buat R&D yang objek dan subjeknya, katak.

Gerak itu, pada orang BN, gerak yang hebat, menyelamat. Gerak itu, pada orang PR, gerak yang celaka, menyakitkan. Tetapi gerak itu pada orang-orang awam, gerak yang meresahkan yang kadang-kadang tak dikisahkan pun.

Tetapi biar siapapun kita, orang BN atau PR, biar apapun pandangan kita, setuju atau tidak, biar bagaimanapun reaksi kita, marah atau tidak, biar apapun ulasan kita, sokong atau tidak, ingatlah satu perkara ini, jangan sampai terlucut aqidah, tercabut iman. Jangan sampai terlupa dan terleka bahawa;

Gerak kita, gerak Dia. Bukan kita tapi Dia. Ya, antara semua gerak, gerak Allahlah yang paling atas. Gerak Allah di atas semua gerak.

Ingat juga ini, lawan gerak ialah diam dan diam itupun gerak Dia juga. Justeru kawan, gerak Dia bukan sebarang, gerak Dia gerak Tuhan. Berhati-hatilah kawan, semua yang berlaku ini adalah atas kehendak-Nya. Pasti ada hikmah, pasti ada sebab, yang kadang tak terjangka dan terjangkau oleh akal dan hati kita, biar bagaimana hebatpun kita dan gerak kita. Jadi, kalau suka, jangan suka sangat. Kalau kecewa, jangan kecewa sangat. Kalau marah, jangan marah sangat. Reservelah sedikit untuk Tuhan.

Firman-Nya, “Dan tiadalah kamu berkehendak melainkan apa yang dikehendaki oleh Allah, Tuhan yang mengatur seisi alam.” [Surah At-Takwir : 29]


Dari tarikan nafas,
@buyon


Tuesday, February 3, 2009

Gerak kita, gerak Dia. Bukan kita, tapi Dia.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang.

Bertemu kembali kita di dalam naungan rahmat-Nya. Moga Allah merahmati kita sokmo. Kawan-kawan, meskipun seumur hidup kita di alam pembelajaran baik ketika di sekolah tadika, rendah atau menengah juga di peringkat universiti dan lebih tinggi, kita diajar dan dilatih untuk mengguna dan menguatkan minda serta logik. Jarang sangat pembelajaran kita menyentuh soal-soal hati atau pendidikan jiwa. Kalaupun ada, hanyalah teori semata-mata bukannya amalan atau praktikalnya. Kalaupun ada, tenaga pengajar di depan mata bukanlah role model atau meminjam istilah seorang kawan, raw model yang boleh kita tiru.

Justeru, apa yang dipelajari tentang soal hati tadi, tidaklah benar-benar membekas ke dalam jiwa, tidak benar-benar menjejak ke dasarnya. Lantas, lahirlah peribadi yang tinggi akalnya tetapi rendah budinya, kuat mindanya tetapi lemah spiritualnya. Penting juga ditegaskan di sini, konsep role model ini adalah kaedah pendidikan Rasulullah SAW yang paling ampuh sekali (yang pastinya, model utama role modelnya yang paling agung, yang paling popular dan yang paling glamour sepanjang masa adalah Rasulullah SAW sendiri).

Bagi mereka yang tahu dan mahu, ada sekolah atau guru yang boleh mengajar dan mendidik soal-soal hati ini, bila-bila masa. Siap sekali dengan role modelnya. Boleh cari, boleh daftar di mana-mana pun tanpa banyak masalah kerana pastinya, tiada sebarang yuran akan dikenakan. Ataupun barangkali gurunya sudah adapun di depan mata. Tetapi biasalah seperti kata pepatah, "Kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak."



Jadin
ya, banyak tindakan, keputusan, perkataan dan gerak kita secara sedar atau tanpa sedar berlandaskan logik akal. Tidaklah salah tetapi selalunya, gerak kita tadi akan menjadi rigid, straight, agak atau sedikit keras. Umpamanya, anda kecemasan dan memandu laju, lantas ditahan trafik. Logiknya, anda akan disaman kerana gagal mematuhi had laju dan sebagainya, tetapi jika anda mohon timbang rasa lantaran kecemasan dan kawan kita tadi pun, ada rasa timbang rasa, membuat keputusan berdasarkan rasa hati bukan logik, kebarangkalian anda akan terlepas adalah besar, dengan amaran pertama barangkali.

Kawan-kawan, meskipun pendidikan rasmi saya, dari tidak tahu menulis hinggalah tahu menulis patah perkataan seperti ini di sini, adalah pendidikan berteraskan logik dan berorientasikan peperiksaan, saya sendiri adalah seorang yang melakukan sesuatu berdasarkan gerak hati. Berdasarkan naluri, intuisi kata orang akademik sekarang. Ya, banyak tindakan dan perkataan saya diputuskan oleh gerak hati ini. Kadang-kadang, ada perkara yang orang minta saya buat, tetapi tidak tergerak hati saya untuk buat, saya tak buat. Banyak juga keadaan, bila orang tak minta saya buat, tetapi tergerak hati ini untuk buat, saya buat.

Tetapi gerak hati yang dimaksudkan di sini bukanlah reaksi pantas seorang ibu apabila berhadapan insiden yang berlaku kepada anaknya, misalnya atau yang sinonim dengan wanita, menurut perasaan. Gerak hati seorang ibu atau wanita itu adalah fitrah kejadiannya, naluri atau intuisi seorang perempuan yang lebih kepada pembawaan emosi atau perasaan mereka. Dan gerak emosi atau perasaan tadi lahirnya juga dari hati. "Ikut rasa, binasa! ikut hati, mati!" pesan orang tua-tua kita.

Maksud gerak hati saya adalah, gerak hati yang telah diasuh, terlatih dan terdidik melalui rasa dan fahamnya, pengalaman dan pengetahuannya, adab dan ilmunya, sekolah dan gurunya. Dua gerak dari satu institusi yang sama, hati. Serupa tapi tak sama. Perkataan serupa, isi tak sama. Sebutan serupa, makna tak sama. Justeru, gerak hati yang dimaksudkan oleh kata pepatah di atas tidak terpakai dalam konteks ini.

Tambah lagi, sebenarnya gerak hati tadi satu saja, yang itu juga. Mengambil misalan hati seorang perempuan, gerak hatinya akan menjadi, apabila sudah dibangunkan dengan iman, apabila sudah dibangunkan dengan ihsan, apabila sudah masuk sekolah dan berguru. Justeru, gerak hatinya yang emosi, yang menurut perasaan tadi akan menjadi lebih bersih dan stabil. Apabila sudah bersih, gerak hatinya akan tepat dan selaras dengan kehendak Allah.

Teringat saya bait-bait nasyid evergreen ini, jika anda di muka radio (yang berkaset) dengarkanlah, tetapi di sini bacalah, cubalah lagukan nasyid ini penuh rasa,

Pandangan mata selalu menipu,
pandangan akal selalu tersalah,
Pandangan nafsu selalu melulu,
Pandangan hati itu yang hakiki,
Kalau hati itu bersih …

Hati kalau sudah bersih,
pandangannya tepat menembusi hijab.
Hati jika sudah bersih,
firasatnya tepat kehendak Allah ...

Tapi hati, jika dikotori,
bisikannya bukan lagi kebenaran …
Ulang 2X

Hati tempat jatuhnya pandangan Allah,
jasad lahir tumpuan manusia …
Ulang 2X

Utamakanlah pandangan Allah,
daripada pandangan manusia …
Ulang 2X

Ini penting, gerak hati ini sebagaimana yang guru kita syaratkan, "Mesti selaras dengan syarak, jika menyalahi, bathil!". Ya, harus difahami juga, gerak hati ini meskipun spontan tetapi mesti ditunjangi syariat Allah SWT. Tiap yang syariat mesti ada roh, hakikatnya. Dan tiap yang hakikat mesti ada bekas, syariatnya.

Gerak hati ini apabila sudah bersih, digerakkan gerak Allah SWT. Justeru, tanamkanlah wahai kawan-kawan, dalam jiwa dan mindamu, pesanan ini – gerak kita, gerak Dia. Bukan kita, tapi Dia. Jadikanlah ia pedoman, amanat saya buatmu. Madah tersebut adalah intipati sajak saya yang nanti akan dihantarkan di sini, Insya-Allah (kena cari dulu duduk letaknya, hampir 10 tahun tersimpan entah di mana).

"Tidak bergerak sebesar zarah melainkan dengan izin-Nya."


Dari tarikan nafas,
@buyon

Dua Kali Aku Menitiskan Air Mataku

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Sebenarnya, bukan dua kali saja saya menitiskan air mata. Bahkan berkali-kali. Tiap kali saya membaca kisah ini, tiap kali itulah saya menitiskan air mata, meskipun sudah membacanya entah yang ke berapa kali. Ya, cerita ini yang disalin dari sebuah buku adalah suatu kisah yang berlaku di zaman pemerintahan Sayydina Umar Al-Khattab. Sungguh saya tak tertahan, rasa pecah hati, terharu sangat apabila membaca cerita ini.

Dua kali aku menitiskan air mataku, adalah kerana di dalam kisah ini, ada dua tempat yang saya baca, pasti mengalirkan air mata. Justeru kawan, kalau sudah baca kisah ini, dan benar-benar menitiskan air mata, beritahulah saya. Beritahu juga bahagian yang mana membuatkan anda menangis. Yang pastinya, saya yakin ada dua tempat yang mampu membuatkan anda menitiskan air mata. Bacalah kawan, dengan hatimu yang putih, paling bersih. Moga-moga beroleh rasa, Insya-Allah.



Seorang pemuda bernama Hassan, keluar dari kampungnya dengan menunggang seekor unta untuk membuat satu perjalanan yang jauh. Setelah lama menunggang, dia keletihan lalu turun dari untanya dan bersandar di sebatang pokok lalu tertidur. Setelah sedar dari tidurnya, didapati untanya tidak ada. Hassan lalu terburu-buru mencari untanya itu. Dalam keadaan cemas dan bimbang itu, Hassan terjumpa untanya tetapi telah mati. Alangkah hairan dan marahnya Hassan.

“Pakcik yang membunuhnya,” kata seorang tua yang ada di sisi bangkai unta itu. “Tetapi bukan sengaja,” sambung orang tua itu lagi. “Ketika unta ini memakan tanaman pakcik, pakcik lontar dengan batu kecil. Kena betul-betul di kepalanya. Lepas itu, ia berpusing-pusing dan jatuh lalu mati.” Orang tua itu bercerita menerangkan kejadian yang sebenarnya.

Hassan dalam keadaan bingung kerana terkejut dari tidur dengan tiba-tiba mencabut pedangnya dan dihayun ke arah orang tua itu dan terpenggallah leher dari badan. Hassan seakan-akan baru bermimpi tersedar dari kejadian itu dan menyesal yang amat sangat. Hassan lalu mencari keluarga si mati dan menceritakan segala-galanya. Dua orang anak lelaki orang tua itu terus membawa Hassan kepada Amirul Mukminin hari itu juga. Dan Hassan pun dihadapkan ke mahkamah pengadilan. Amirul Mukminin sendiri yang menjadi hakimnya. Dengan dihadiri oleh beberapa orang Sahabat, perbicaraan pun dijalankan. Sayyidina Umar selaku hakim setelah mendengar pengakuan Hassan sendiri, telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hassan. Mendengar itu Hassan berkata:

“Demi Allah, saya lebih sanggup dibunuh di dunia daripada mendapat hukuman Neraka di akhirat. Tapi, wahai Amirul Mukminin, saya minta ditangguhkan hukuman itu dalam beberapa hari kerana saya mohon untuk memberitahu ibubapa saya, anak isteri saya dan saudara-mara tentang perkara ini. Mereka semua belum tahu dan kerana jauhnya dari sini tentu mereka tak akan tahu kalau saya tidak memberitahunya.”

Sayyidina Umar kerana tegas dan adilnya menjawab, “Tidak. Tiada jaminan bahawa engkau datang lagi untuk menjalani hukuman ini.”

Hassan merayu lagi, “Kasihanilah saya tuan hakim. Semua orang yang mengasihi saya sedang menunggu keputusan saya. Mereka tentu tertanya-tanya kalau saya tidak pulang memberitahu tentang perkara ini.” Sekali lagi, Sayyidina Umar menunjukkan ketegasan dan keadilannya, “Tidak,” katanya.

Kali ketiga Hassan merayu, tiba-tiba salah seorang Sahabat bangun dan berkata, “Sekalipun saya tidak kenal saudara Hassan, namun atas nama Sahabat Rasulullah, saya minta tuan hakim memperkenankan permohonan Hassan. Jika sekiranya Hassan tidak datang pada hari akan dijatuhkan hukuman, maka biarlah saya yang dihukum.”

Dengan jaminan yang diberikan oleh Sahabat itu, Abu Zar, Sayyidina Umar pun membenarkan hukuman itu ditangguhkan. Dan Hassan pun dibenarkan pulang setelah menentukan tarikh yang akan datang. Sesampai di rumah, Hassan terus memberitahu keluarganya tentang apa yang berlaku dan berkata, “Biar saya jalani hukuman di dunia dari hukuman di Akhirat.” Menangislah ibubapa dan anak isterinya. Tetapi Hassan tidak lemah semangat terus dipacunya kuda menuju ke tempat pengadilan. Dia lebih takut pada Allah daripada anak isteri. Dia lebih cintakan Akhirat daripada dunia.



Di pertengahan jalan, tiba-tiba tali pacu kudanya putus. Hassan cemas kalau-kalau dengan itu, dia terlewat sampai. Bagaimanapun dengan susah payah, Hassan dapat membetulkan tali kekang kudanya dan akhirnya dapat meneruskan perjalanannya. Tetapi sudah lewat.

Di padang tempat hukuman hendak dijalankan, kerana kelewatan Hassan, semua yang menanti sangat cemas. Mereka cemaskan Abu Zar yang terpaksa menggantikan tempat Hassan. Dalam suasana kecemasan yang memuncak, tiba-tiba berbalam-balam di kejauhan semua yang hadir nampak kuda pacuan berlari kencang menuju ke tempat itu. Setelah yakin Hasaan yang datang, mereka bertempik: “Allahu Akbar! Allahu Akbar!”

Suasana tiba-tiba bertukar menjadi sedih dan terharu. Betapa jujurnya anak muda Hassan memegang janjinya sekalipun nyawanya akan melayang. Sebaik sahaja turun dari kudanya, Hassan menghadap tuan hakim dan berkata, “Demi Allah, saya tidak berniat untuk menempah kelewatan ini. Tali kuda saya putus di tengah padang pasir. Puas saya usahakan mencari tali untuk menyambungnya. Alhamdulillah, saya dapat dan selamat tiba ke sini, tuan hakim.” Kemudian katanya lagi, “Sebelum saya dihukum bunuh, izinkan saya bersolat dua rakaat.”

Sayyidina Umar pun membenarkan. Dalam doa akhirnya, Hassan berdoa: “Ya Allah, ampunkan keterlanjuranku dunia dan di Akhirat.” Selesai menyapu muka, Hassan pun menghadap menyerahkan dirinya untuk menjalani hukuman bunuh. Tetapi pada saat yang genting itu, tiba-tiba kedua beradik anak si mati menghadap tuan hakim dan berkata:

“Kami telah menyaksikan kejujuran dan keikhlasan saudara Hassan dan telah kami saksikan juga keberanian dan kasih sayang saudara Abu Zar. Juga telah kami saksikan ketegasan dan keadilan Amirul Mukminin menjalankan hukuman Tuhan. Hasilnya, kami memperolehi kekuatan untuk meredhakan kematian ayah kami dengan memaafkan saudara kami, Hassan. Lepaskanlah saudara Hassan daripada hukuman, wahai Amirul Mukminin.” Mendengar itu sekali lagi, padang itu bergema dengan laungan: “Allahu Akbar! Allahu Akbar!”

Mereka semua bersyukur kerana terampunnya seorang saudara mereka dari hukuman di dunia dan Akhirat. Insya-Allah.

“Tidak beriman seseorang kamu sehingga ia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri,” sabda Rasulullah SAW.



Ya Allah! Betapa saya tidak menitiskan airmata, berkali-kali. Cerita yang sebegini indah, yang merakamkan keagungan iman dan kasih sayang adalah satu keajaiban dalam sejarah manusia sepanjang zaman.

Anda bagaimana?

Selain kisah ini, ada satu lagi kisah yang terjadi terhadap junjungan kecintaan kita, Rasulullah SAW saat-saat kewafatannya yang menyebabkan berkali-kali saya menitiskan air mata. Ya Rasulullah, aku merinduimu, mencintaimu. Ah, bukan dua kali aku mencintaimu ya Rasulullah, bahkan aku mencintaimu yang tiada kali-kalinya. “Ya Rabbi solli ‘ala Muhammad, ya Rabbi solli ‘alayhi wassalim, ya Rabbi solli ‘ala Muhammad, ya Rabbi solli ‘alayhi wassalim,” hati saya bernyanyi penuh rindu.

Insya-Allah akan saya salinkan di sini, jika sudah ketemu sumbernya. Begitulah sokmo, bila kita nak dia tak ada. Bila kita tak nak, dia ada.


Dari tarikan nafas,
@buyon

Sunday, February 1, 2009

Bravo Erdogan!

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Takbir! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Allahu Akbar!


Melihatkan keberanian Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan, teringat kembali saya kepada penegak empayar Turki Usmaniah — Sultan Usman ibn Sauji ibn Artugrul ibn Sulaiman Shah ibn Kia Alp yang berjaya mengembalikan kegemilangan Islam s
etelah runtuhnya Kerajaan Islam Abbasiyyah di Baghdad. Ya, daripada anak cucu mereka inilah lahirnya generasi pewaris empayar yang telah menggerunkan kerajaan-kerajaan Eropah hingga 500 tahun lamanya. Dalam hadisnya, Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Konstantinopel akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.”

Setelah 600 tahun hadis itu diucap oleh Rasulullah SAW, barulah realitinya terjadi. Seorang Sultan Bani Usmaniah berjaya mendaki anak tangga terakhir dan berjaya membebaskan Kota Konstantinopel. Dia ialah Sultan Muhammad Al-Fateh — mahkota cemerlang di kening sejarah empayar Turki Usmaniah.



Kalau kita kaji semula sejarah empayar Usmaniah ini, kita akan dapati bahawa daripada titisan darah mereka inilah yang menyebabkan besarnya jiwa Erdogan saat itu di Forum Ekonomi Dunia (WEF). Ketika semua yang ada bertepuk, beliau menyergah Presiden Israel. K
etika pemimpin Arab diam melihat anak-anak Palestin dibantai, beliau bangun membela. Mesej telah sampai, atas muka Shimon Peres. "Padan muka!" jerit saya dalam hati. Boleh bblah Yahudi! Boleh bblah Amerika! Boleh bblah PBB! Boleh bblah sesiapa saja yang menyokong mereka!

Saya yakin, pada momen Erdogan menyergah Peres, “Kamu bunuh mereka!” Allah SWT telah mencampakkan gerun di hatinya. Ya, Erdogan dialah orangnya, kena pada tempatnya, tepat pada masanya. He is the man, the
right person at the right time, at the right place. Apakah ‘history in the making’ sedang terjadi? Apakah Erdogan akan menjadi pemimpin de facto negara-negara Islam yang bakal mengulangi sejarah empayar Turki Usmaniah?



Pada saya, beliaulah Sultan Muhammad Al-Fateh zaman moden ini. Beliau telah mengulangi sejarah datuk nenek moyangnya yang dicatatkan dengan tinta emas. Beliau benar-benar telah “Berkata benar walaupun pahit”. Beliau benar-benar telah berpegang kepada hadis Rasulullah SAW ini. Beliau telah menjunjung wasiat yang ditinggalkan oleh Sultan Usman, yang berbunyi:


“Harapan pertamaku padamu anak-anak dan sahabat-sahabatku, ialah agar kamu menjunjung tinggi agama Islam yang agung ini. Teruskanlah berjuang selagi nyawa dikandung badan. Untuk mencapai kesempurnaan dalam jihad, kamu hendaklah sentiasa mengibarkan bendera suci Nabi Muhammad SAW.”

Jutaan manusia menjadi saksi. Jutaan manusia menyaksikan peristiwa bersejarah ini, yang pasti diulang-ulang lagi oleh kecanggihan teknologi kini. Ya, untuk mengajar bangsa yang sombong, barangkali cukuplah memalukan pemimpin mereka sedemikian.

Bravo Erdogan!



Moga-moga ulasan ini dapat menyemarakkan lagi semangat perjuangan kita, orang-orang Melayu untuk menegakkan Islam di muka bumi Allah SWT. Kredit untuk Pahrol Mohamad Juoi — sebahagian tulisan ini dipetik dari bukunya, Istanbul: Iktibar sebuah empayar, 1993.


Dari tarikan nafas,
@buyon

Tinta Baru di Era IT

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang


Memoir lama
Masih aku ingat ketika belajar dulu, perit aku kumpulkan duit untuk membeli sebuah mesin taip guna untuk aku siapkan assignment. Campur duit pinjaman KPM dengan duit bulanan ehsan ayahanda, tercapai juga cita-citaku yang satu itu. Harga sebuah mesin taip ketika itu mahal sungguh, sekitar RM300. Mesin taip aku bukan sebarang, mesin taip aku berjenama, mesin taip aku Olivetti. Bukan calang-calang orang yang dapat mengadakannya.

Sebaik saja habis solat Isyak berjemaah surau, aku terus balik ke dorm, jauhnya tiga blok dari surau di tingkat dua. Buka baju, buka kipas terus mengadap mesin taip, maklumlah mesin taip baru, ada semangatlah sikit – lagipun assignment bertambun-tambun tengah menunggu giliran. Roommate aku, Azhar Hassan nak pergi beli makan di bawah, cafetaria – aku pesan satu bungkus sirap limau dan tiga ketul karipap. Biasalah, kirim air liur, nanti ada duit baru aku bayar.

Aku ketuk-ketuk mesin taip itu sampailah dekat subuh hari. Itupun tak siap-siap juga, esok dateline. Tapi aku tak panik, kalau terpaksa sangat – copy saja member punya, biasalah. Aku masih ingat – taip, taip alamak! silap. Mikro dieja makro, bahasa dieja basa. Terkial-kial aku mencari Liquid Paper. Senang saja cara pakainya. Sapu pada perkataan yang salah, semudah A. B. C. Kemudian, ketuk lagi, mikro ejanya mikro, bahasa ejanya bahasa.

Aku berhenti sekejap bila terasa lenguh jari-jemari ini. Aku kepal kuat-kuat, aku lepas, aku kepal lagi, kemudian aku lepas lagi buat melegakan urat-urat jari. Sengal sendi tulang empat kerat ini, kira menitis jugalah peluh nak menyiapkan satu assignment. Tapi paling aku bangga, bila sudah siap, sudah hantar – dapat A, alhamdulillah, syukur pada-Mu ya Allah. Kira berbaloilah apa yang aku usahakan selama ini, ketuk-ketuk mesin taip itu. Itulah tinta aku yang paling canggih sekali selepas jenuh bertinta dengan pen bermata bola.

Era bekerja
Kemudian, telah sampai era sekarang – dipanggil orang era teknologi maklumat atau popularnya IT. Telah berubah cara hidup orangnya, cara pakainya, begitu juga alat-alatnya yang canggih-canggih belaka. Budak-budak U, budak-budak poli pun aku tengok, tengok mesin taip macam tengok besi buruk saja. Mereka dah tak pakai mesin taip lagi. Mesin taip mesin buruk – tak laku lagi, tinta lama. Mereka sekarang pakai tinta baru di era baru, era IT ini – canggun lagi, canggih campur anggun. Tinta baru yang dipanggil orang – komputer!

Ilham rasa,
Abuyon
Keramat Wangsa, 1997



Tulisan di atas adalah karya kali pertama saya ketika cuba-cuba menulis untuk dihantar ke mana-mana majalah, tetapi tak pernah dihantar pun dan telah tersimpan begitu lama, sedekad lebih. Orang baru belajar menulis, begitulah gaya tulisannya. Tahun 1997, ketika itu internet belum meletup, blog lebih-lebih lagilah. Jadi, di kesempatan ini, saya tujukan, dedikasikan nostalgia, tulisan tersebut kepada rakan-rakan sepoliteknik serta pensyarah-pensyarahnya, rakan-rakan seusrah, abang-abang senior lebih-lebih lagi khasnya kepada coursemate saya kursus STK/PKB/1992-94.


Dari tarikan nafas,
@buyon