Tuesday, February 3, 2009

Gerak kita, gerak Dia. Bukan kita, tapi Dia.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang.

Bertemu kembali kita di dalam naungan rahmat-Nya. Moga Allah merahmati kita sokmo. Kawan-kawan, meskipun seumur hidup kita di alam pembelajaran baik ketika di sekolah tadika, rendah atau menengah juga di peringkat universiti dan lebih tinggi, kita diajar dan dilatih untuk mengguna dan menguatkan minda serta logik. Jarang sangat pembelajaran kita menyentuh soal-soal hati atau pendidikan jiwa. Kalaupun ada, hanyalah teori semata-mata bukannya amalan atau praktikalnya. Kalaupun ada, tenaga pengajar di depan mata bukanlah role model atau meminjam istilah seorang kawan, raw model yang boleh kita tiru.

Justeru, apa yang dipelajari tentang soal hati tadi, tidaklah benar-benar membekas ke dalam jiwa, tidak benar-benar menjejak ke dasarnya. Lantas, lahirlah peribadi yang tinggi akalnya tetapi rendah budinya, kuat mindanya tetapi lemah spiritualnya. Penting juga ditegaskan di sini, konsep role model ini adalah kaedah pendidikan Rasulullah SAW yang paling ampuh sekali (yang pastinya, model utama role modelnya yang paling agung, yang paling popular dan yang paling glamour sepanjang masa adalah Rasulullah SAW sendiri).

Bagi mereka yang tahu dan mahu, ada sekolah atau guru yang boleh mengajar dan mendidik soal-soal hati ini, bila-bila masa. Siap sekali dengan role modelnya. Boleh cari, boleh daftar di mana-mana pun tanpa banyak masalah kerana pastinya, tiada sebarang yuran akan dikenakan. Ataupun barangkali gurunya sudah adapun di depan mata. Tetapi biasalah seperti kata pepatah, "Kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak."



Jadin
ya, banyak tindakan, keputusan, perkataan dan gerak kita secara sedar atau tanpa sedar berlandaskan logik akal. Tidaklah salah tetapi selalunya, gerak kita tadi akan menjadi rigid, straight, agak atau sedikit keras. Umpamanya, anda kecemasan dan memandu laju, lantas ditahan trafik. Logiknya, anda akan disaman kerana gagal mematuhi had laju dan sebagainya, tetapi jika anda mohon timbang rasa lantaran kecemasan dan kawan kita tadi pun, ada rasa timbang rasa, membuat keputusan berdasarkan rasa hati bukan logik, kebarangkalian anda akan terlepas adalah besar, dengan amaran pertama barangkali.

Kawan-kawan, meskipun pendidikan rasmi saya, dari tidak tahu menulis hinggalah tahu menulis patah perkataan seperti ini di sini, adalah pendidikan berteraskan logik dan berorientasikan peperiksaan, saya sendiri adalah seorang yang melakukan sesuatu berdasarkan gerak hati. Berdasarkan naluri, intuisi kata orang akademik sekarang. Ya, banyak tindakan dan perkataan saya diputuskan oleh gerak hati ini. Kadang-kadang, ada perkara yang orang minta saya buat, tetapi tidak tergerak hati saya untuk buat, saya tak buat. Banyak juga keadaan, bila orang tak minta saya buat, tetapi tergerak hati ini untuk buat, saya buat.

Tetapi gerak hati yang dimaksudkan di sini bukanlah reaksi pantas seorang ibu apabila berhadapan insiden yang berlaku kepada anaknya, misalnya atau yang sinonim dengan wanita, menurut perasaan. Gerak hati seorang ibu atau wanita itu adalah fitrah kejadiannya, naluri atau intuisi seorang perempuan yang lebih kepada pembawaan emosi atau perasaan mereka. Dan gerak emosi atau perasaan tadi lahirnya juga dari hati. "Ikut rasa, binasa! ikut hati, mati!" pesan orang tua-tua kita.

Maksud gerak hati saya adalah, gerak hati yang telah diasuh, terlatih dan terdidik melalui rasa dan fahamnya, pengalaman dan pengetahuannya, adab dan ilmunya, sekolah dan gurunya. Dua gerak dari satu institusi yang sama, hati. Serupa tapi tak sama. Perkataan serupa, isi tak sama. Sebutan serupa, makna tak sama. Justeru, gerak hati yang dimaksudkan oleh kata pepatah di atas tidak terpakai dalam konteks ini.

Tambah lagi, sebenarnya gerak hati tadi satu saja, yang itu juga. Mengambil misalan hati seorang perempuan, gerak hatinya akan menjadi, apabila sudah dibangunkan dengan iman, apabila sudah dibangunkan dengan ihsan, apabila sudah masuk sekolah dan berguru. Justeru, gerak hatinya yang emosi, yang menurut perasaan tadi akan menjadi lebih bersih dan stabil. Apabila sudah bersih, gerak hatinya akan tepat dan selaras dengan kehendak Allah.

Teringat saya bait-bait nasyid evergreen ini, jika anda di muka radio (yang berkaset) dengarkanlah, tetapi di sini bacalah, cubalah lagukan nasyid ini penuh rasa,

Pandangan mata selalu menipu,
pandangan akal selalu tersalah,
Pandangan nafsu selalu melulu,
Pandangan hati itu yang hakiki,
Kalau hati itu bersih …

Hati kalau sudah bersih,
pandangannya tepat menembusi hijab.
Hati jika sudah bersih,
firasatnya tepat kehendak Allah ...

Tapi hati, jika dikotori,
bisikannya bukan lagi kebenaran …
Ulang 2X

Hati tempat jatuhnya pandangan Allah,
jasad lahir tumpuan manusia …
Ulang 2X

Utamakanlah pandangan Allah,
daripada pandangan manusia …
Ulang 2X

Ini penting, gerak hati ini sebagaimana yang guru kita syaratkan, "Mesti selaras dengan syarak, jika menyalahi, bathil!". Ya, harus difahami juga, gerak hati ini meskipun spontan tetapi mesti ditunjangi syariat Allah SWT. Tiap yang syariat mesti ada roh, hakikatnya. Dan tiap yang hakikat mesti ada bekas, syariatnya.

Gerak hati ini apabila sudah bersih, digerakkan gerak Allah SWT. Justeru, tanamkanlah wahai kawan-kawan, dalam jiwa dan mindamu, pesanan ini – gerak kita, gerak Dia. Bukan kita, tapi Dia. Jadikanlah ia pedoman, amanat saya buatmu. Madah tersebut adalah intipati sajak saya yang nanti akan dihantarkan di sini, Insya-Allah (kena cari dulu duduk letaknya, hampir 10 tahun tersimpan entah di mana).

"Tidak bergerak sebesar zarah melainkan dengan izin-Nya."


Dari tarikan nafas,
@buyon

Dua Kali Aku Menitiskan Air Mataku

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Sebenarnya, bukan dua kali saja saya menitiskan air mata. Bahkan berkali-kali. Tiap kali saya membaca kisah ini, tiap kali itulah saya menitiskan air mata, meskipun sudah membacanya entah yang ke berapa kali. Ya, cerita ini yang disalin dari sebuah buku adalah suatu kisah yang berlaku di zaman pemerintahan Sayydina Umar Al-Khattab. Sungguh saya tak tertahan, rasa pecah hati, terharu sangat apabila membaca cerita ini.

Dua kali aku menitiskan air mataku, adalah kerana di dalam kisah ini, ada dua tempat yang saya baca, pasti mengalirkan air mata. Justeru kawan, kalau sudah baca kisah ini, dan benar-benar menitiskan air mata, beritahulah saya. Beritahu juga bahagian yang mana membuatkan anda menangis. Yang pastinya, saya yakin ada dua tempat yang mampu membuatkan anda menitiskan air mata. Bacalah kawan, dengan hatimu yang putih, paling bersih. Moga-moga beroleh rasa, Insya-Allah.



Seorang pemuda bernama Hassan, keluar dari kampungnya dengan menunggang seekor unta untuk membuat satu perjalanan yang jauh. Setelah lama menunggang, dia keletihan lalu turun dari untanya dan bersandar di sebatang pokok lalu tertidur. Setelah sedar dari tidurnya, didapati untanya tidak ada. Hassan lalu terburu-buru mencari untanya itu. Dalam keadaan cemas dan bimbang itu, Hassan terjumpa untanya tetapi telah mati. Alangkah hairan dan marahnya Hassan.

“Pakcik yang membunuhnya,” kata seorang tua yang ada di sisi bangkai unta itu. “Tetapi bukan sengaja,” sambung orang tua itu lagi. “Ketika unta ini memakan tanaman pakcik, pakcik lontar dengan batu kecil. Kena betul-betul di kepalanya. Lepas itu, ia berpusing-pusing dan jatuh lalu mati.” Orang tua itu bercerita menerangkan kejadian yang sebenarnya.

Hassan dalam keadaan bingung kerana terkejut dari tidur dengan tiba-tiba mencabut pedangnya dan dihayun ke arah orang tua itu dan terpenggallah leher dari badan. Hassan seakan-akan baru bermimpi tersedar dari kejadian itu dan menyesal yang amat sangat. Hassan lalu mencari keluarga si mati dan menceritakan segala-galanya. Dua orang anak lelaki orang tua itu terus membawa Hassan kepada Amirul Mukminin hari itu juga. Dan Hassan pun dihadapkan ke mahkamah pengadilan. Amirul Mukminin sendiri yang menjadi hakimnya. Dengan dihadiri oleh beberapa orang Sahabat, perbicaraan pun dijalankan. Sayyidina Umar selaku hakim setelah mendengar pengakuan Hassan sendiri, telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hassan. Mendengar itu Hassan berkata:

“Demi Allah, saya lebih sanggup dibunuh di dunia daripada mendapat hukuman Neraka di akhirat. Tapi, wahai Amirul Mukminin, saya minta ditangguhkan hukuman itu dalam beberapa hari kerana saya mohon untuk memberitahu ibubapa saya, anak isteri saya dan saudara-mara tentang perkara ini. Mereka semua belum tahu dan kerana jauhnya dari sini tentu mereka tak akan tahu kalau saya tidak memberitahunya.”

Sayyidina Umar kerana tegas dan adilnya menjawab, “Tidak. Tiada jaminan bahawa engkau datang lagi untuk menjalani hukuman ini.”

Hassan merayu lagi, “Kasihanilah saya tuan hakim. Semua orang yang mengasihi saya sedang menunggu keputusan saya. Mereka tentu tertanya-tanya kalau saya tidak pulang memberitahu tentang perkara ini.” Sekali lagi, Sayyidina Umar menunjukkan ketegasan dan keadilannya, “Tidak,” katanya.

Kali ketiga Hassan merayu, tiba-tiba salah seorang Sahabat bangun dan berkata, “Sekalipun saya tidak kenal saudara Hassan, namun atas nama Sahabat Rasulullah, saya minta tuan hakim memperkenankan permohonan Hassan. Jika sekiranya Hassan tidak datang pada hari akan dijatuhkan hukuman, maka biarlah saya yang dihukum.”

Dengan jaminan yang diberikan oleh Sahabat itu, Abu Zar, Sayyidina Umar pun membenarkan hukuman itu ditangguhkan. Dan Hassan pun dibenarkan pulang setelah menentukan tarikh yang akan datang. Sesampai di rumah, Hassan terus memberitahu keluarganya tentang apa yang berlaku dan berkata, “Biar saya jalani hukuman di dunia dari hukuman di Akhirat.” Menangislah ibubapa dan anak isterinya. Tetapi Hassan tidak lemah semangat terus dipacunya kuda menuju ke tempat pengadilan. Dia lebih takut pada Allah daripada anak isteri. Dia lebih cintakan Akhirat daripada dunia.



Di pertengahan jalan, tiba-tiba tali pacu kudanya putus. Hassan cemas kalau-kalau dengan itu, dia terlewat sampai. Bagaimanapun dengan susah payah, Hassan dapat membetulkan tali kekang kudanya dan akhirnya dapat meneruskan perjalanannya. Tetapi sudah lewat.

Di padang tempat hukuman hendak dijalankan, kerana kelewatan Hassan, semua yang menanti sangat cemas. Mereka cemaskan Abu Zar yang terpaksa menggantikan tempat Hassan. Dalam suasana kecemasan yang memuncak, tiba-tiba berbalam-balam di kejauhan semua yang hadir nampak kuda pacuan berlari kencang menuju ke tempat itu. Setelah yakin Hasaan yang datang, mereka bertempik: “Allahu Akbar! Allahu Akbar!”

Suasana tiba-tiba bertukar menjadi sedih dan terharu. Betapa jujurnya anak muda Hassan memegang janjinya sekalipun nyawanya akan melayang. Sebaik sahaja turun dari kudanya, Hassan menghadap tuan hakim dan berkata, “Demi Allah, saya tidak berniat untuk menempah kelewatan ini. Tali kuda saya putus di tengah padang pasir. Puas saya usahakan mencari tali untuk menyambungnya. Alhamdulillah, saya dapat dan selamat tiba ke sini, tuan hakim.” Kemudian katanya lagi, “Sebelum saya dihukum bunuh, izinkan saya bersolat dua rakaat.”

Sayyidina Umar pun membenarkan. Dalam doa akhirnya, Hassan berdoa: “Ya Allah, ampunkan keterlanjuranku dunia dan di Akhirat.” Selesai menyapu muka, Hassan pun menghadap menyerahkan dirinya untuk menjalani hukuman bunuh. Tetapi pada saat yang genting itu, tiba-tiba kedua beradik anak si mati menghadap tuan hakim dan berkata:

“Kami telah menyaksikan kejujuran dan keikhlasan saudara Hassan dan telah kami saksikan juga keberanian dan kasih sayang saudara Abu Zar. Juga telah kami saksikan ketegasan dan keadilan Amirul Mukminin menjalankan hukuman Tuhan. Hasilnya, kami memperolehi kekuatan untuk meredhakan kematian ayah kami dengan memaafkan saudara kami, Hassan. Lepaskanlah saudara Hassan daripada hukuman, wahai Amirul Mukminin.” Mendengar itu sekali lagi, padang itu bergema dengan laungan: “Allahu Akbar! Allahu Akbar!”

Mereka semua bersyukur kerana terampunnya seorang saudara mereka dari hukuman di dunia dan Akhirat. Insya-Allah.

“Tidak beriman seseorang kamu sehingga ia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri,” sabda Rasulullah SAW.



Ya Allah! Betapa saya tidak menitiskan airmata, berkali-kali. Cerita yang sebegini indah, yang merakamkan keagungan iman dan kasih sayang adalah satu keajaiban dalam sejarah manusia sepanjang zaman.

Anda bagaimana?

Selain kisah ini, ada satu lagi kisah yang terjadi terhadap junjungan kecintaan kita, Rasulullah SAW saat-saat kewafatannya yang menyebabkan berkali-kali saya menitiskan air mata. Ya Rasulullah, aku merinduimu, mencintaimu. Ah, bukan dua kali aku mencintaimu ya Rasulullah, bahkan aku mencintaimu yang tiada kali-kalinya. “Ya Rabbi solli ‘ala Muhammad, ya Rabbi solli ‘alayhi wassalim, ya Rabbi solli ‘ala Muhammad, ya Rabbi solli ‘alayhi wassalim,” hati saya bernyanyi penuh rindu.

Insya-Allah akan saya salinkan di sini, jika sudah ketemu sumbernya. Begitulah sokmo, bila kita nak dia tak ada. Bila kita tak nak, dia ada.


Dari tarikan nafas,
@buyon

Sunday, February 1, 2009

Bravo Erdogan!

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Takbir! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Allahu Akbar!


Melihatkan keberanian Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan, teringat kembali saya kepada penegak empayar Turki Usmaniah — Sultan Usman ibn Sauji ibn Artugrul ibn Sulaiman Shah ibn Kia Alp yang berjaya mengembalikan kegemilangan Islam s
etelah runtuhnya Kerajaan Islam Abbasiyyah di Baghdad. Ya, daripada anak cucu mereka inilah lahirnya generasi pewaris empayar yang telah menggerunkan kerajaan-kerajaan Eropah hingga 500 tahun lamanya. Dalam hadisnya, Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Konstantinopel akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.”

Setelah 600 tahun hadis itu diucap oleh Rasulullah SAW, barulah realitinya terjadi. Seorang Sultan Bani Usmaniah berjaya mendaki anak tangga terakhir dan berjaya membebaskan Kota Konstantinopel. Dia ialah Sultan Muhammad Al-Fateh — mahkota cemerlang di kening sejarah empayar Turki Usmaniah.



Kalau kita kaji semula sejarah empayar Usmaniah ini, kita akan dapati bahawa daripada titisan darah mereka inilah yang menyebabkan besarnya jiwa Erdogan saat itu di Forum Ekonomi Dunia (WEF). Ketika semua yang ada bertepuk, beliau menyergah Presiden Israel. K
etika pemimpin Arab diam melihat anak-anak Palestin dibantai, beliau bangun membela. Mesej telah sampai, atas muka Shimon Peres. "Padan muka!" jerit saya dalam hati. Boleh bblah Yahudi! Boleh bblah Amerika! Boleh bblah PBB! Boleh bblah sesiapa saja yang menyokong mereka!

Saya yakin, pada momen Erdogan menyergah Peres, “Kamu bunuh mereka!” Allah SWT telah mencampakkan gerun di hatinya. Ya, Erdogan dialah orangnya, kena pada tempatnya, tepat pada masanya. He is the man, the
right person at the right time, at the right place. Apakah ‘history in the making’ sedang terjadi? Apakah Erdogan akan menjadi pemimpin de facto negara-negara Islam yang bakal mengulangi sejarah empayar Turki Usmaniah?



Pada saya, beliaulah Sultan Muhammad Al-Fateh zaman moden ini. Beliau telah mengulangi sejarah datuk nenek moyangnya yang dicatatkan dengan tinta emas. Beliau benar-benar telah “Berkata benar walaupun pahit”. Beliau benar-benar telah berpegang kepada hadis Rasulullah SAW ini. Beliau telah menjunjung wasiat yang ditinggalkan oleh Sultan Usman, yang berbunyi:


“Harapan pertamaku padamu anak-anak dan sahabat-sahabatku, ialah agar kamu menjunjung tinggi agama Islam yang agung ini. Teruskanlah berjuang selagi nyawa dikandung badan. Untuk mencapai kesempurnaan dalam jihad, kamu hendaklah sentiasa mengibarkan bendera suci Nabi Muhammad SAW.”

Jutaan manusia menjadi saksi. Jutaan manusia menyaksikan peristiwa bersejarah ini, yang pasti diulang-ulang lagi oleh kecanggihan teknologi kini. Ya, untuk mengajar bangsa yang sombong, barangkali cukuplah memalukan pemimpin mereka sedemikian.

Bravo Erdogan!



Moga-moga ulasan ini dapat menyemarakkan lagi semangat perjuangan kita, orang-orang Melayu untuk menegakkan Islam di muka bumi Allah SWT. Kredit untuk Pahrol Mohamad Juoi — sebahagian tulisan ini dipetik dari bukunya, Istanbul: Iktibar sebuah empayar, 1993.


Dari tarikan nafas,
@buyon

Tinta Baru di Era IT

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang


Memoir lama
Masih aku ingat ketika belajar dulu, perit aku kumpulkan duit untuk membeli sebuah mesin taip guna untuk aku siapkan assignment. Campur duit pinjaman KPM dengan duit bulanan ehsan ayahanda, tercapai juga cita-citaku yang satu itu. Harga sebuah mesin taip ketika itu mahal sungguh, sekitar RM300. Mesin taip aku bukan sebarang, mesin taip aku berjenama, mesin taip aku Olivetti. Bukan calang-calang orang yang dapat mengadakannya.

Sebaik saja habis solat Isyak berjemaah surau, aku terus balik ke dorm, jauhnya tiga blok dari surau di tingkat dua. Buka baju, buka kipas terus mengadap mesin taip, maklumlah mesin taip baru, ada semangatlah sikit – lagipun assignment bertambun-tambun tengah menunggu giliran. Roommate aku, Azhar Hassan nak pergi beli makan di bawah, cafetaria – aku pesan satu bungkus sirap limau dan tiga ketul karipap. Biasalah, kirim air liur, nanti ada duit baru aku bayar.

Aku ketuk-ketuk mesin taip itu sampailah dekat subuh hari. Itupun tak siap-siap juga, esok dateline. Tapi aku tak panik, kalau terpaksa sangat – copy saja member punya, biasalah. Aku masih ingat – taip, taip alamak! silap. Mikro dieja makro, bahasa dieja basa. Terkial-kial aku mencari Liquid Paper. Senang saja cara pakainya. Sapu pada perkataan yang salah, semudah A. B. C. Kemudian, ketuk lagi, mikro ejanya mikro, bahasa ejanya bahasa.

Aku berhenti sekejap bila terasa lenguh jari-jemari ini. Aku kepal kuat-kuat, aku lepas, aku kepal lagi, kemudian aku lepas lagi buat melegakan urat-urat jari. Sengal sendi tulang empat kerat ini, kira menitis jugalah peluh nak menyiapkan satu assignment. Tapi paling aku bangga, bila sudah siap, sudah hantar – dapat A, alhamdulillah, syukur pada-Mu ya Allah. Kira berbaloilah apa yang aku usahakan selama ini, ketuk-ketuk mesin taip itu. Itulah tinta aku yang paling canggih sekali selepas jenuh bertinta dengan pen bermata bola.

Era bekerja
Kemudian, telah sampai era sekarang – dipanggil orang era teknologi maklumat atau popularnya IT. Telah berubah cara hidup orangnya, cara pakainya, begitu juga alat-alatnya yang canggih-canggih belaka. Budak-budak U, budak-budak poli pun aku tengok, tengok mesin taip macam tengok besi buruk saja. Mereka dah tak pakai mesin taip lagi. Mesin taip mesin buruk – tak laku lagi, tinta lama. Mereka sekarang pakai tinta baru di era baru, era IT ini – canggun lagi, canggih campur anggun. Tinta baru yang dipanggil orang – komputer!

Ilham rasa,
Abuyon
Keramat Wangsa, 1997



Tulisan di atas adalah karya kali pertama saya ketika cuba-cuba menulis untuk dihantar ke mana-mana majalah, tetapi tak pernah dihantar pun dan telah tersimpan begitu lama, sedekad lebih. Orang baru belajar menulis, begitulah gaya tulisannya. Tahun 1997, ketika itu internet belum meletup, blog lebih-lebih lagilah. Jadi, di kesempatan ini, saya tujukan, dedikasikan nostalgia, tulisan tersebut kepada rakan-rakan sepoliteknik serta pensyarah-pensyarahnya, rakan-rakan seusrah, abang-abang senior lebih-lebih lagi khasnya kepada coursemate saya kursus STK/PKB/1992-94.


Dari tarikan nafas,
@buyon

Thursday, January 29, 2009

Boikot : Anda Serius?

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Isnin, 26hb Januari 2009 di petang Tahun Baru China, mata ini terpaku menatap dakwat-dakwat hitam akhbar Siasah bertarikh 18—24hb Januari 2009, halaman 36: Saya membaca tulisan Faisal Tehrani yang bertajuk “Boikot Amerika dan Zionis : Anda serius?” Membaca tajuknya saja, yup!, saya terus setuju kerana memang saya serius. Beberapa lama, ayat demi ayat, saya nyata serius membaca tiap line tulisannya. Tidak mengangguk kepala, jiwa dan minda saya menyatakan setuju dengan patah perkataannya. Ya setuju, kerana tulisan tersebut seolah-olah pemikiran saya yang dicatat kembali di atas kertas. Ia senada dengan jiwa saya selama ini. Barangkali kalau boleh disebut, itulah isi jiwa dan minda saya apabila disentuh soal-soal boikot Amerika dan Zionis.



Terima kasih Faisal. Sungguh, dia telah menolong saya mengungkapkan pemikiran tersebut lewat tulisannya yang sentiasa bernas, segar dan bergaya yang saya sendiri tidak mampu melakukan sebaiknya, meskipun mahu. Tambah menarik, apabila kandungannya penuh informasi dan fakta. Kotak minda saya padat dan berisi apabila dimasukkan input bagaimana Hollywood dikuasai Yahudi, rungutan Marlon Brando dan maafnya Mel Gibson serta lainnya, baris demi baris.

Justeru kawan, bukan produk ekonomi saja yang mesti diboikot tetapi juga produk filem dan televisyennya. Penting juga kita mesti memboikot gaya hidup mereka yang sudah mendarah daging dalam masyarakat kita. Pun begitu, yang benar-benar menyentuh hati dan menyentap fikiran saya ialah dua perenggan ini yang ditulis oleh Faisal.

Pertama — Jika anda bercakap tentang hasrat untuk memboikot AS dan Yahudi, anda harus bermula dengan televisyen di rumah anda.

Kenyataannya yang ini, saya sokong 100%. Dan pada saya inilah barangkali point terpentingnya di dalam artikel tersebut. “Itulah punch linenya!” celah seorang kawan. Saya menyokong saranannya kerana pada saya itulah asasnya. Tiap sesuatu ada asasnya, samada sesuatu itu berbentuk material mahupun secara konsepnya. Kalau rumah, asasnya tapaknya. Kalau agama, asasnya tauhidnya. Jika asas ini tidak difahami bahkan tidak pernah pun terlintas di fikiran kita — bagaimanakah harusnya boikot ini boleh ditegakkan. Kita tidak mahu jadi seperti kata pepatah, “Kokok berdegar-degar, ekor bergelumang tahi.” Justeru kawan, pada saya apabila kita sudah memahami dan menerima pandangan ini — anda harus bermula dengan televisyen di rumah anda — persoalannya, sudahkah kita melaksanakannya. Faham satu hal, terima satu hal dan hal terpenting ialah melaksanakannya. Bagaimanakah pelaksanaannya? Barangkali yang dimaksudkan oleh Faisal apabila mengungkapkan saranan tersebut ialah kita jangan menonton siaran yang nyata buatan Amerika dan Yahudi, yang lain persilakan.

Tetapi saya menyokongnya 100% kerana telah sekian lama di rumah saya, tidak adapun sebuah peti televisyen, inilah punch line saya barangkali atau orang putih sendiri panggil the idiot box.

Kedua — Anda mahu boikot Amerika? Argh kelakar, saya ulang — hanya Iran sahaja yang berkemampuan untuk melakukannya!

Samada gurauan ataupun tidak, cabaran ataupun tidak, sindiran ataupun tidak, sengaja atau tidak, kenyataan terakhirnya atau penutupnya itu tetap dan sangat menyakit dan melukakan hati saya, meskipun saya mengerti apa yang cuba disampaikan olehnya. Aduh! permulaannya baik, pertengahannya baik, semuanya baik-baik tetapi pengakhirannya pada rasa dan faham saya, tidaklah sebaik mana. Yang mencacatkan keseluruhan artikel yang baik ini ialah perkataan — argh kelakarnya. Sungguh, anda seperti memperlekehkan bahkan menghina mereka yang bersungguh-sungguh memboikot. Bahkan perkataan anda yang satu ini sebenarnya menjadi hujah dan alasan kepada mereka yang sememangnya tidak bersetuju dan tidak menyokong usaha memboikot ini.

Saya tidak mahu mengulas panjang persoalan ini, cukuplah saya berpesan begini — bayi yang baru belajar merangkak tidak harus ditertawakan kerana tidak dapat berjalan. Kita sewajarnya menghargai setiap daripada umat ini, usaha-usaha yang dilakukan biarpun sedikit biarpun tidak istiqamah untuk umat Islam yang lainnya. Ataupun anda harus mengambil ibrah dari cerita tersohor ini — bagaimana seekor burung cuba memadamkan api kebakaran hutan. Ataupun anda harus belajar lagi satu ilmu dari banyak-banyak ilmu di muka bumi Tuhan ini — ilmu ikhlas!

Tambahan sedikit, yakinkah anda hanya Iran sahaja yang berkemampuan untuk melakukannya! Sepertimana yang anda ungkapkan - kita tahu peti televisyen di Mekah dan Madinah sekalipun (dengan menggunakan satelit dan ceper parabola) boleh membawa Britney Spears menari separuh bogel bergeser-geselan dengan Madonna. Soalan saya - tidakkah juga perkara ini boleh dilakukan di sana, Iran!


Dari tarikan nafas
@buyon

Monday, January 19, 2009

Kalam Penyair

Terima kasih ya Tuhan. Ketika saya sedang terkial-kial mengkonfigurasikan blog ini dengan menaip-naip nama abuyon di carian Google tiba-tiba tersenarai nama tersebut di pautan ke laman web Idanradzi dengan tagline saya - dari tarikan nafas.

Ya Allah, syukur alhamdulillah. Terlupa sungguh saya bahawa satu ketika dulunya saya begitu teruja menulis patah-patah sajak. Mencipta sajak-sajak dengan bantuan ilham dari-Nya dengan sedikit inspirasi daripada penyajak-penyajak terkenal Usman Awang dan Masuri serta mengambil perkataan-perkataan tokoh sufi seperti Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani.

Bacalah kawan-kawan, sajak saya yang tidak seberapa ini. Bacalah dengan hati, moga-moga beroleh rasa, Insya'-Allah.


Kalam Penyair

Sejahtera untukmu wahai diri
Seorang penyair dengan kalam
Terlukis di kanvas rasa terpendam
Penuh suci dan berdenyut dalam

Cantik halamanmu wahai penyair
Bagai taman yang indah mekar
Penuh harum dan juta-juta warna
Ada kumbang singgah sebentar
Beroleh rasa sampai ke tasik fana

Akan puisimu wahai penyair
Ini pesanku si fakir hina
Meniti bicara atas lidah Masuri
Sebagai penyair kita harus berwatak jelas
Kita harus berotak waras
Harus berani dilempari bunyi
Harus sanggup dihinggapi tuli

Dari tarikan nafas -
Abuyon
Madrasah Sains
11 Jun 99 2.30 pagi


Kini tahun 2009 dan tahun 1999 tarikh sajak di atas disiapkan, sudah 10 tahun lamanya. Juga sudah 10 tahun rupanya saya berhenti menulis bait-bait puitis ini. Terima kasih kepada Idanradzi yang lamannya masih wujud di dunia online ini. Dan saya alhamdulillah sudah diberikan rezeki oleh Allah dengan tagline - dari tarikan nafas - untuk diangkat kembali di sini, setelah lama memohon-mohon kepada-Nya untuk mengilhamkan tagline yang sesuai. Sungguh, apabila kita hanya bergantung kepada-Nya, pertolongan itu pasti datang.


Salam Penyair

@buyon

Sunday, January 18, 2009

Doa dan Boikot

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang











Ingatlah kawan-kawan, ketika Israel menyerang Palestin, membunuh anak-anak yang tidak berdosa dengan kekuatan yang dijana oleh industri yang menyokong mereka — apakah tindakan kita? Kita sesungguhnya tidak berdaya berbuat apa-apa meskipun sebenarnya kita punya kekuatan untuk menolong mereka — untuk berperang bersama-sama mereka di Palestin — jauh sekali. Untuk berdemonstrasi menyatakan sokongan — tidak juga. Justeru kawan, apa yang kita boleh buat, apa yang kita boleh tolong. Ya, ada dua perkara yang Insya-Allah kita boleh lakukan dengan kudrat lemah yang kita ada tetapi Insya-Allah mampu melumpuhkan kekuatan Israel.

Pertama — Menadah tangan ke hadrat Allah memohon kemenangan dan keselamatan untuk umat Islam di Palestin. Kita berdoalah setiap hari selepas solat lima waktu. Kita ajak sekali keluarga kita berdoa. Kita tidak mahu apa yang terjadi di Palestin terjadi pula di sini. Marilah kita bermunajat kepada Allah agar mereka yang berjuang menegakkan kebenaran di Palestin terus berjuang dan terus istiqamah dalam perjuangan mereka. Satu usaha yang mudah tetapi bermakna — marilah sama-sama kita kirimkan doa qunut nazilah kepada saudara seagama kita di sana —

"Ya Allah, Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh-musuh kami dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan2 mereka. Ya Allah, leburkanlah kumpulan mereka, pecah-belahkan dan kacau bilaukan persatuan mereka. Goncangkan pendirian mereka dan hantarkanlah anjing-anjing kamu kepada mereka. Wahai Tuhan yang Gagah Perkasa! Wahai Tuhan yang penuh Raksasa! Wahai Tuhan yang bersifat Murka! Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah! Wahai Tuhan yang menurunkan kitab! Wahai Tuhan yang mengarakkan awan! Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab! Kalahkan mereka! Kalahkan mereka! Kalahkan mereka! Dan menangkan kami ke atas mereka!".

Kedua — Kita boikot syarikat dan produk-produk yang menyokong Israel dengan sungguh-sungguh. Kita boikot Nestle dan produknya. Kita boikot Maggi, Nescafe, Milo dan lain-lain. Sedarlah kawan-kawan, banyak sudah produk haram yang kita telah guna dan pakai, banyak sudah produk yang merbahaya dan beracun yang kita telah guna dan pakai. Semua itu adalah strategi mereka untuk memusnahkan kita dan generasi kita agar lemah dan terus terlena. Kita boikot biar ekonomi mereka lumpuh dan jatuh.

Tetapi apabila kita boikot, kita mesti ada alternatifnya pula. Kita mesti bangunkan ekonomi umat Islam. Kita mesti sokong industri umat Islam agar dapat menjadi alternatif dan bersaing dengan ekonomi orang kafir. Satu alternatif, satu jalan penyelesaian yang sedikit tetapi bermakna — marilah sama-sama kita guna produk kegunaan harian yang dijamin suci lagi halal seperti ubat gigi, sabun, syampu dan sebagainya keluaran syarikat bumiputera Muslim seperti HPA yang komited untuk menegakkan fardhu kifayah ekonomi umat Islam di Malaysia. Jika kita menjadi pengguna dan pengamal produk umat Islam ini, 10 sen yang kita belanjakan akan membangkitkan sejuta kekuatan perjuangan umat ini. Justeru, marilah sama-sama kita menunaikan satu tanggungjawab agama yang besar ini — membawa produk-produk yang bersih, suci dan halal ke pangkuan umat Islam.

Ingatlah kawan-kawan ketika pemimpin politik gerakan Islam Hamas, asy-syahid Dr. Abdul Aziz Rantisi semasa hidupnya sebelum dibunuh rejim haram Israel menegaskan pentingnya memboikot produk Amerika bagi melemahkan ekonomi negara tersebut.

"Dana bantuan daripada Amerikalah yang selama ini digunakan untuk membunuh anak muslim kita di Palestin, Iraq dan lain-lain. Ini juga sebagai dokongan untuk mengusir Amerika yang hina dari Iraq agar persenjataan mereka melemahkan dan berhenti memerangi Islam," ujarnya dalam harian Quds Press [HarakahDaily].


Salam Perjuangan
@buyon