Thursday, January 29, 2009

Boikot : Anda Serius?

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Isnin, 26hb Januari 2009 di petang Tahun Baru China, mata ini terpaku menatap dakwat-dakwat hitam akhbar Siasah bertarikh 18—24hb Januari 2009, halaman 36: Saya membaca tulisan Faisal Tehrani yang bertajuk “Boikot Amerika dan Zionis : Anda serius?” Membaca tajuknya saja, yup!, saya terus setuju kerana memang saya serius. Beberapa lama, ayat demi ayat, saya nyata serius membaca tiap line tulisannya. Tidak mengangguk kepala, jiwa dan minda saya menyatakan setuju dengan patah perkataannya. Ya setuju, kerana tulisan tersebut seolah-olah pemikiran saya yang dicatat kembali di atas kertas. Ia senada dengan jiwa saya selama ini. Barangkali kalau boleh disebut, itulah isi jiwa dan minda saya apabila disentuh soal-soal boikot Amerika dan Zionis.



Terima kasih Faisal. Sungguh, dia telah menolong saya mengungkapkan pemikiran tersebut lewat tulisannya yang sentiasa bernas, segar dan bergaya yang saya sendiri tidak mampu melakukan sebaiknya, meskipun mahu. Tambah menarik, apabila kandungannya penuh informasi dan fakta. Kotak minda saya padat dan berisi apabila dimasukkan input bagaimana Hollywood dikuasai Yahudi, rungutan Marlon Brando dan maafnya Mel Gibson serta lainnya, baris demi baris.

Justeru kawan, bukan produk ekonomi saja yang mesti diboikot tetapi juga produk filem dan televisyennya. Penting juga kita mesti memboikot gaya hidup mereka yang sudah mendarah daging dalam masyarakat kita. Pun begitu, yang benar-benar menyentuh hati dan menyentap fikiran saya ialah dua perenggan ini yang ditulis oleh Faisal.

Pertama — Jika anda bercakap tentang hasrat untuk memboikot AS dan Yahudi, anda harus bermula dengan televisyen di rumah anda.

Kenyataannya yang ini, saya sokong 100%. Dan pada saya inilah barangkali point terpentingnya di dalam artikel tersebut. “Itulah punch linenya!” celah seorang kawan. Saya menyokong saranannya kerana pada saya itulah asasnya. Tiap sesuatu ada asasnya, samada sesuatu itu berbentuk material mahupun secara konsepnya. Kalau rumah, asasnya tapaknya. Kalau agama, asasnya tauhidnya. Jika asas ini tidak difahami bahkan tidak pernah pun terlintas di fikiran kita — bagaimanakah harusnya boikot ini boleh ditegakkan. Kita tidak mahu jadi seperti kata pepatah, “Kokok berdegar-degar, ekor bergelumang tahi.” Justeru kawan, pada saya apabila kita sudah memahami dan menerima pandangan ini — anda harus bermula dengan televisyen di rumah anda — persoalannya, sudahkah kita melaksanakannya. Faham satu hal, terima satu hal dan hal terpenting ialah melaksanakannya. Bagaimanakah pelaksanaannya? Barangkali yang dimaksudkan oleh Faisal apabila mengungkapkan saranan tersebut ialah kita jangan menonton siaran yang nyata buatan Amerika dan Yahudi, yang lain persilakan.

Tetapi saya menyokongnya 100% kerana telah sekian lama di rumah saya, tidak adapun sebuah peti televisyen, inilah punch line saya barangkali atau orang putih sendiri panggil the idiot box.

Kedua — Anda mahu boikot Amerika? Argh kelakar, saya ulang — hanya Iran sahaja yang berkemampuan untuk melakukannya!

Samada gurauan ataupun tidak, cabaran ataupun tidak, sindiran ataupun tidak, sengaja atau tidak, kenyataan terakhirnya atau penutupnya itu tetap dan sangat menyakit dan melukakan hati saya, meskipun saya mengerti apa yang cuba disampaikan olehnya. Aduh! permulaannya baik, pertengahannya baik, semuanya baik-baik tetapi pengakhirannya pada rasa dan faham saya, tidaklah sebaik mana. Yang mencacatkan keseluruhan artikel yang baik ini ialah perkataan — argh kelakarnya. Sungguh, anda seperti memperlekehkan bahkan menghina mereka yang bersungguh-sungguh memboikot. Bahkan perkataan anda yang satu ini sebenarnya menjadi hujah dan alasan kepada mereka yang sememangnya tidak bersetuju dan tidak menyokong usaha memboikot ini.

Saya tidak mahu mengulas panjang persoalan ini, cukuplah saya berpesan begini — bayi yang baru belajar merangkak tidak harus ditertawakan kerana tidak dapat berjalan. Kita sewajarnya menghargai setiap daripada umat ini, usaha-usaha yang dilakukan biarpun sedikit biarpun tidak istiqamah untuk umat Islam yang lainnya. Ataupun anda harus mengambil ibrah dari cerita tersohor ini — bagaimana seekor burung cuba memadamkan api kebakaran hutan. Ataupun anda harus belajar lagi satu ilmu dari banyak-banyak ilmu di muka bumi Tuhan ini — ilmu ikhlas!

Tambahan sedikit, yakinkah anda hanya Iran sahaja yang berkemampuan untuk melakukannya! Sepertimana yang anda ungkapkan - kita tahu peti televisyen di Mekah dan Madinah sekalipun (dengan menggunakan satelit dan ceper parabola) boleh membawa Britney Spears menari separuh bogel bergeser-geselan dengan Madonna. Soalan saya - tidakkah juga perkara ini boleh dilakukan di sana, Iran!


Dari tarikan nafas
@buyon

Monday, January 19, 2009

Kalam Penyair

Terima kasih ya Tuhan. Ketika saya sedang terkial-kial mengkonfigurasikan blog ini dengan menaip-naip nama abuyon di carian Google tiba-tiba tersenarai nama tersebut di pautan ke laman web Idanradzi dengan tagline saya - dari tarikan nafas.

Ya Allah, syukur alhamdulillah. Terlupa sungguh saya bahawa satu ketika dulunya saya begitu teruja menulis patah-patah sajak. Mencipta sajak-sajak dengan bantuan ilham dari-Nya dengan sedikit inspirasi daripada penyajak-penyajak terkenal Usman Awang dan Masuri serta mengambil perkataan-perkataan tokoh sufi seperti Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani.

Bacalah kawan-kawan, sajak saya yang tidak seberapa ini. Bacalah dengan hati, moga-moga beroleh rasa, Insya'-Allah.


Kalam Penyair

Sejahtera untukmu wahai diri
Seorang penyair dengan kalam
Terlukis di kanvas rasa terpendam
Penuh suci dan berdenyut dalam

Cantik halamanmu wahai penyair
Bagai taman yang indah mekar
Penuh harum dan juta-juta warna
Ada kumbang singgah sebentar
Beroleh rasa sampai ke tasik fana

Akan puisimu wahai penyair
Ini pesanku si fakir hina
Meniti bicara atas lidah Masuri
Sebagai penyair kita harus berwatak jelas
Kita harus berotak waras
Harus berani dilempari bunyi
Harus sanggup dihinggapi tuli

Dari tarikan nafas -
Abuyon
Madrasah Sains
11 Jun 99 2.30 pagi


Kini tahun 2009 dan tahun 1999 tarikh sajak di atas disiapkan, sudah 10 tahun lamanya. Juga sudah 10 tahun rupanya saya berhenti menulis bait-bait puitis ini. Terima kasih kepada Idanradzi yang lamannya masih wujud di dunia online ini. Dan saya alhamdulillah sudah diberikan rezeki oleh Allah dengan tagline - dari tarikan nafas - untuk diangkat kembali di sini, setelah lama memohon-mohon kepada-Nya untuk mengilhamkan tagline yang sesuai. Sungguh, apabila kita hanya bergantung kepada-Nya, pertolongan itu pasti datang.


Salam Penyair

@buyon

Sunday, January 18, 2009

Doa dan Boikot

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang











Ingatlah kawan-kawan, ketika Israel menyerang Palestin, membunuh anak-anak yang tidak berdosa dengan kekuatan yang dijana oleh industri yang menyokong mereka — apakah tindakan kita? Kita sesungguhnya tidak berdaya berbuat apa-apa meskipun sebenarnya kita punya kekuatan untuk menolong mereka — untuk berperang bersama-sama mereka di Palestin — jauh sekali. Untuk berdemonstrasi menyatakan sokongan — tidak juga. Justeru kawan, apa yang kita boleh buat, apa yang kita boleh tolong. Ya, ada dua perkara yang Insya-Allah kita boleh lakukan dengan kudrat lemah yang kita ada tetapi Insya-Allah mampu melumpuhkan kekuatan Israel.

Pertama Menadah tangan ke hadrat Allah memohon kemenangan dan keselamatan untuk umat Islam di Palestin. Kita berdoalah setiap hari selepas solat lima waktu. Kita ajak sekali keluarga kita berdoa. Kita tidak mahu apa yang terjadi di Palestin terjadi pula di sini. Marilah kita bermunajat kepada Allah agar mereka yang berjuang menegakkan kebenaran di Palestin terus berjuang dan terus istiqamah dalam perjuangan mereka. Satu usaha yang mudah tetapi bermakna — marilah sama-sama kita kirimkan doa qunut nazilah kepada saudara seagama kita di sana —

"Ya Allah, Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh-musuh kami dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan2 mereka. Ya Allah, leburkanlah kumpulan mereka, pecah-belahkan dan kacau bilaukan persatuan mereka. Goncangkan pendirian mereka dan hantarkanlah anjing-anjing kamu kepada mereka. Wahai Tuhan yang Gagah Perkasa! Wahai Tuhan yang penuh Raksasa! Wahai Tuhan yang bersifat Murka! Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah! Wahai Tuhan yang menurunkan kitab! Wahai Tuhan yang mengarakkan awan! Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab! Kalahkan mereka! Kalahkan mereka! Kalahkan mereka! Dan menangkan kami ke atas mereka!".

Kedua Kita boikot syarikat dan produk-produk yang menyokong Israel dengan sungguh-sungguh. Kita boikot Nestle dan produknya. Kita boikot Maggi, Nescafe, Milo dan lain-lain. Sedarlah kawan-kawan, banyak sudah produk haram yang kita telah guna dan pakai, banyak sudah produk yang merbahaya dan beracun yang kita telah guna dan pakai. Semua itu adalah strategi mereka untuk memusnahkan kita dan generasi kita agar lemah dan terus terlena. Kita boikot biar ekonomi mereka lumpuh dan jatuh.

Tetapi apabila kita boikot, kita mesti ada alternatifnya pula. Kita mesti bangunkan ekonomi umat Islam. Kita mesti sokong industri umat Islam agar dapat menjadi alternatif dan bersaing dengan ekonomi orang kafir. Satu alternatif, satu jalan penyelesaian yang sedikit tetapi bermakna — marilah sama-sama kita guna produk kegunaan harian yang dijamin suci lagi halal seperti ubat gigi, sabun, syampu dan sebagainya keluaran syarikat bumiputera Muslim seperti HPA yang komited untuk menegakkan fardhu kifayah ekonomi umat Islam di Malaysia. Jika kita menjadi pengguna dan pengamal produk umat Islam ini, 10 sen yang kita belanjakan akan membangkitkan sejuta kekuatan perjuangan umat ini. Justeru, marilah sama-sama kita menunaikan satu tanggungjawab agama yang besar ini — membawa produk-produk yang bersih, suci dan halal ke pangkuan umat Islam.

Ingatlah kawan-kawan ketika pemimpin politik gerakan Islam Hamas, asy-syahid Dr. Abdul Aziz Rantisi semasa hidupnya sebelum dibunuh rejim haram Israel menegaskan pentingnya memboikot produk Amerika bagi melemahkan ekonomi negara tersebut.

"Dana bantuan daripada Amerikalah yang selama ini digunakan untuk membunuh anak muslim kita di Palestin, Iraq dan lain-lain. Ini juga sebagai dokongan untuk mengusir Amerika yang hina dari Iraq agar persenjataan mereka melemahkan dan berhenti memerangi Islam," ujarnya dalam harian Quds Press [HarakahDaily].


Salam Perjuangan
@buyon